Friday, October 25, 2013

PELAKSANAAN MUDHARABAH DALAM AMANAH SAHAM BUMIPUTERA(ASB)



PENDAHULUAN.
Pelaburan pada masa kini menjadi fokus utama dalam industri kewangan kerana ianya dapat memberikan pulangan yang agak lumayan jika dapat dilaburkan dalam dana-dana tertentu. Di Malaysia terdapat banyak skim pelaburan yang dijalankan oleh syarikat pelaburan dan bank-bank tempatan dengan menyediakan berbagai kelebihan apabila melabur bersama mereka. Namun di dalam skim pelaburan yang lahir ini telah dibahagikan kepada dua sistem iaitu pelaburan berlandaskan konsep konvensional atau berlandaskan konsep islam. Kedua-dua sistem ini menjanjikan pulangan namun dari sudut dapatan dan hasilnya menjadi persoalan sama ada ianya patu syariah atau pun tidak patuh syariah. Pelaburan tidak patuh syariah sudah semestinya menjanjikan dapatan yang agak lumayan tetapi dalam masa yang sama ianya tidak bertepatan dengan konsep pelaburan di dalam Islam.

AMANAH SAHAM BUMIPUTERA
Merupakan satu skim yang disediakan oleh Amanah Nasional Berhad(ASNB) yang merupakan anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad(PNB). Syarikat ini menyediakan satu skim iaitu Skim Amanah Saham Bumiputera(ASB) kepada pelabur dengan mensasarkan objektif untuk menjana dapatan atau pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang-pemegang unit di samping memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum. Sasaran ia;ah pelabur yang memahami risiko dan pulangan pelaburan serta menjangkakan manfaat dari pertumbuhan jangka panjang tabung hasil pelaburan semua pengagihan pendapatan sekiranya ada dan penerimaan pendapatan sekiranya ada ke atas pelaburan yang mereka laburkan.

Kelayakan untuk melabur di dalam skim ini ialah rakyat Malaysia dengan membahagikan kepada dia kategori akaun iaitu Akaun Dewasa( 18 tahun dan ke atas) dan Akaun Remaja yang mengsyaratkan bagi akaun ini ibu bapa atau penjada sah berumur hendaklah tidak kurang 18 tahun yang melabur bagi kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 18 tahun dan ke bawah.

Harga saham bagai seunit diletakkan ialah RM1.00 yang mana diletakkan dalam bentuk Buku Pelaburan dan Sijil Pelaburan. Pelaburan permulaan minimum bagi buku pelaburan ialah 10 unit manakala bagi pelaburan tambahan minimum, buku pelaburan 1 unit dan bagi sijil dengan Gandaan 1000 unit. Pelaburan maksimum bagi skim ini bagi Akaun Dewasa ialah 200,000 unit manakala bagi Akaun Remaja ialah 50,000 unit. Pelaburan mengecualikan saiz tabung dengan tiada had dan tanpa mengenakan caj jualan dan caj jualan balik, tempoh bertenang juga tiada dan pembayaran jualan balik adalah serta merta.[i]

PELAKSANAAN KONSEP MUDHARAH DI DALAM AMANAH SAHAM BUMIPUTERA
Mudharabah dari sudut bahasa adalah berasal dari adh-dharbu fil ardhi, yang memberi makna melakukan perjalanan untuk berniaga. Seperti yang dimaksudkan didalam firman Allah:-

“Dan orang-orang yang berjalan dimuka bumi mencari sebahagian dari kurniaan Allah”( Al-Muzammil:20)

Mudharabah juga disebut qiradh berasal dari kata qardh yang bererti qath (sepotong), kerana pemilik modal telah mengambil sebahagian dari hartanya untuk diperdagangkan atau dilaburkan dan ia berhak mendapat sebahagian dari keuntungannya.

Manakala dari sudut istilah fiqh pula mudharabah bermaksud akad perjanjian antara dua pihak yang salah satunya memberi modal kepada pihak yang satu lagi supaya dikembangkan dan kemudiannya keuntungan dari itu dibahagikan keduanya sesuai dengan perjanjian yang disepakati.[ii]



Rukun dan syarat mudharabah hendak dipatuhi sebelum melaksanakan konsep pelaburan mudharah ini, antara syarat mudharabah adalah seperti berikut:-

       I.            Aqidan, iaitu pemodal(rabb al-mal) dan Pengusaha(Mudarid atau amil).
    II.            Ma`qud Alaiyh, iaitu merangkumi modal(ra`s al-mal),
 III.            Sighah, iaitu Ijab dan Qabul.[iii]

Di dalam mazhab Hanafi, rukun mudharabah hanyalah ijab dan qabul sahaja, selainnya adalah menjadi syarat kepada mudharabah.

PERBINCANGAN DAN PERBAHASAN HUKUM PELABURAN DI DALAM ASB
Pelaburan di dalam ASB telah menimbulkan perbincangan dan perdebatan hangat dikalangan ahli muamalat islam kerana wujud keraguan terhadap dana yang dilaburkan walaupun pihak ASNB telah mempunyai panel syariah tersendiri namun ianya tetap menjadi pertikaian akibat dari keraguan pelaburan dana yang telah dilaburkan oleh pelabur.

Namun ada pandangan yang mengharuskan pelaburan ini seperti yang kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa syariah perak telah membuat keputusan berdasarkan pendapat terbanyak dengan alas an-alasan syarak yang dikemukan. Kenyataan berikut adalah:-

“ Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungan berupda dividen atau bonus hukumnya adalah HALAL”.

Alasan yang diberikan ialah kerana:
1.      Penglibatan umat Islam dalam skim ASN dan ASB yang ditaja kerajaan bagi membiak dan mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di Negara ini yang bermuamalah atas jalan `Qiradh. Apabila didapati pelaburanya kepada yang halal lebih banyak daripada yang Haram hukumnya adalah HARUS seperti mana nas yang terdapat di dalam kitab Ihya Ulumuddin dan Al Fawaid Al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair `Ala Mazhab As-Syafei.

2.      Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di Negara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah dilihat dari aspek ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.


Ada juga fatwa yang mengharamkan, antaranya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor dengan memberi pandangan:-
“ Wang bonus dan dividen yang terima daripda hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syara”

Fatwa lengkap Negeri Selangor berkaitan pelaburan ASN&ASB, namun fatwa ini adalah tidak diwartakan.
“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

               ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.”[iv]

Ahli jawatankuasa Perundingan Hukum Syara` juga bersetuju dengan memberi pandangan bahawa, oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini terdapat pelaburan ditempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara` maka ianya tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari tempat-tempat tersebut. Ahli Jawatankuasa tersebut juga bersetuju dengan tidak membenarkan wang hasil dari pelaburan ini(ASB) digunakan untuk urusan ke tanah suci dengan pandangan yang sama.[v]

Perbezaan pandangan ini adalah tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa ASB ini adalah HARAM seratus peratus tetapi ianya merupakan perbezaan pandangan kerana setiap Halal dan Haram yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Jawatankuasa Hukum Syara` mempunyai alasan dan jawapan tersendiri berdasarkan dalil-dalil dan hujah yang bernas.

Secara jelasnya, pelaksanaan Mudharabah di dalam pelaburan ASB dapat dilihat masih tidak jelas samada mengikut Qiradh atau Mudharabah kerana jika dilihat dari fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa negeri perak, sekiranya menggunakan konsep mudharabah sebagai yang didakwa oleh Majlis Fatwa Negeri Perak hendaklah diketahui bahawa pelaburan ini disyaratkan menentukan kadar nisbah pembahagian keuntungan seperti 80:20 dan sebagainya diawal pelaburan, namun yang menjadi persoalan ialah perkara ini tiada dinyatakan langsung didalam pelaburan ASB. Hendaklah kita sedari bahawa sekiranya sesuatu akad itu tidak sah dari sudut syara` maka pelaburan tersebut akan terbatal secara sendirinya tanpa mengira pelaburannya diletakkan di dalam industi Halal atau Haram.
Dari sudut jaminan modal atau capital juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut pematuhan syariah kerana telah termaktub bahawa modal pelaburan didalam ASB adalah dijamin oleh PNB. Ini bermakna syarat dalam aqad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudharabah dalam Islam yang mana tidak membenarkan pengusaha iaitu mudharib menjamin selamatnya modal para pelabur. Dan menurut mazhab syafei aqag pelaburannya dikira batal. Jaminan Modal ini juga adalah tidak sah menurut jumhur ulama empat mazhab(Syafei, Maliki, Hanafi&Hambali) kerana dalam konsep pelaburan Islam yang dikenali mudharabah dan musyarakah tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin.[vi]

Berdasarkan dapatan ini, pelaksanaan konsep mudharabah di dalam pelaburan ASB adalah tidak menepati konsep pelaburan dengan menggunakan konsep mudharabah kerana terdapat perkara yang masih tidak jelas dan pelaburanya masih meragukan.




Sunday, May 26, 2013

SENGSARA RAKYAT KEGEMBIRAANMU

Di saat rakyat negeri dan negara ini menderita...
Engkau menerima berita gembira dan rakyat menerima berita duka....
Disaat rakyat mencari sumber rezeki dengan penuh sengsara...
Engkau senang-senang mengambil hak mereka...

Apakah engkau lupa sengsara dan derita rakyat jelata...
mereka melakukan apa sahaja dengan kelangsungan hidup di dunia...
Namun engkau hanya senang menerima dengan bermegah-megah di media...
Ahh...sungguh celaka dirimu sedemikian rupa...
tatkala rakyatmu daif dan hidup melata...

Engkau memakai pakaian dihiasi jenama dunia...
tapi rakyatmu hanya memakai pakaian yang tiada jenama..
hanya kelusuhan yang nyata dan tiada harganya..
Apakah ini keangkuhan mu sebagai pemimpin yang dikenali dunia...

Martabatmu kau letakkan setingginya..
rakyatmu kau letakkan sebawahnya....
tiap malam rakyatmu merintih derita..
namun engkau tiap malam dengan hilai tawa...
Ternyata engkau pemimpin yang durjana...

Rakyatmu perit dan lelah mencari harta..
saban bulan saban tahun mereka membayar cukai harta..
namun mereka tidak mengecapi sepenuhnya..
namun engkau mengaut kesemuanya dan memberi sedikit sisa kepada mereka..
Ahh...Sungguh dayus dan jelek tingkah laku mu untuk mereka...

Engkau bukanlah pemimpin yang sehebat mana..
kelak dirimu jua kembali ke sana...
di atas hamparan tanah berbalut kain putih tiada berwarna...
menjadi habuan ulat, cacing dan kala....
tatkala itu tiada hilai tawa dan suka ria...
hanya ada duka dan derita....

Rakyatmu berdoa setiap masa...
dalam keluhan nada sengsara...
kepada Tuhan yang Berkuasa....
agar dibinasakan kezaliman yang ada...
agar mereka dapat hidup dengan bahagia...
dengan hidup tanpa sengsara...
dengan harapan dirimu binasa....

Tiada keagungan dan sanjungan buatmu pemimpin durjana...
tiada kelayakan untukmu di atas dunia...
semoga Tuhan tunjukkan kuasa...
agar engkau di binasa dengan kuasaNYA...
kerana kuasa rakyatmu belum tentu terlaksana...
kerana peraturanya lebih Maha Berkuasa dengan kudratNYA...
Semoga Tuhan mendengar rintihan hambanya...
agar engkau ditenggelamkan dengan keogaan mu di dunia..
tersungkur jatuh tiada berkata sepatah bicara...

Nukilan,
Mohd Suhelmi Azham
22/5/2013
Rabu.

Thursday, January 10, 2013

Tidak ku mampu lari segala UjianMu.....

Ya Allah peritnya hendak ku lalui saat ini......
hanya ku mampu mengalirkan air mata di atas sejadah ini..
agar dapat ku rawat bisa-bisa yang terpahat di hati ini...
agar ia berlalu tenang ibarat air di kali..

ku bisikkan kalimah taubat padaMu..
atas keterlanjuran dari beribadah kepadaMu..
agar kau mengampuni segala dosa-dosaku..
yang bagai buih dan pepasir pantai di lautan biru..

Ya Allah.......Ya Rahman...Ya Rahim..........

Andainya tidak ku mampu menghadapi dugaanMu ini..
janganlah sekali kau pesongkan hatiku untuk menjauhkan diri dariMU...
aku masih merindui kasih&rahmatMu...
selautan hamparan ku tadah tangan bermohon padaMu...
agar Engkau sentiasa di dalam hatiku...
kerana aku tahu setiap ujianMu adalah KerinduanMu untuk mendengar rintihan ku padaMu....

Tuesday, January 8, 2013

BAHANG PILIHANRAYA UMUM KE-13: BIAR ILMUAN BERBICARA

Assalamualaikum w.r.t...

setelah sekian lama sy tidak mengupdatekan apa2 artikel dan post di dalam blog saya ini akibat kesuntukan&kesibukan saya di pejabat dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai pelajar. Bukan mudah untuk membahagikan masa antara tugas, kerja&pelajaran. saya rasa tercuit dihati untuk memberi sedikit komentar terhadap isu politik yang semakin menjadi2 di Malaysia pada masa kini sehingga melampaui batas moral&nilai2 agama yang boleh mencetuskan fenomena y mungkin tidak dapat diduga. Di dalam membicarakan bab politik ini, seseorang haruslah mempunyai ketinggian ilmu untuk menyusuri perjalanan politik terutamanya ilmu agama&sejarah kerana amat mempunyai pengaruh besar di dalam sistem politik di dunia.Dalam erti kata yang lain, setiap urusan kita di dunia ini mestilah bersandarkan kepada agama&ilmu yang mantap.

ISU AMANAT HAJI HADI&ISU KALIMAH ALLAH

Isu ini adalah amat lama bagi saya, namun ianya telah dibangkitkan kembali dan dalam masa kebangkitan isu ini, ada masyarakat kita yang baru menjejakkan kaki di dalam dunia politik ini terus menafsirkan permasalahan ini dalam sudut yang amat negatif apabila penjelasan tidak diberikan sepenuhnya di media massa arus perdana. Sedangkan bagi mereka yang telah lama&menjadi pemerhati politik yang berlandaskan agama&ilmu mempunyai jawapan yang cukup positif&baik kerana jika di susuri amanat tersebut tidak ada istilah kafir mengkafir&perpecahan, tetapi isu ini diputarkan belitkan hanya kerana nafsu politik yang meliar&menjadi punca perbalahan masyarakat sekarang ini.

 http://drmaza.com/home/?p=2255 ( amanat haji hadi )

Manakala isu penggunaan Kalimah Allah juga menjadi isu&topik yang cukup menarik, satu pihak menghentam pihak yang membenarkan penggunaan Kalimah Allah ini di dalam Bible dengan alasan pihak tersebut tidak menjaga kesucian Islam tersebut dan pihak yang menghentam itu cuba menjadi HERO dalam isu ini sehingga mengheret Raja2 dan sultan ke kancah ini sedangkan dasar mereka sendiri pun tidak menepati kehendak syarak itu sendiri. Saya melihat isu ini sengaja dipermainkan kerana ingin meraih undi bukan Muslim dan Muslim pula menghentam muslim dipihak satu lagi. Suasana ini tidak seperti pada zaman Kejatuhan Uthmaniah di turki yang akhirnya diperintah oleh Mustafa Kamal Atartuk. Begitu kotor taktik sebegini, sedangkan dalam keadaan sebegini kita harus menyampaikan dakwah kpd mereka y bukan muslim untuk mendekati muslim, tetapi apabila isu ini dijadikan bahan politik. Maka ianya telah mencalit satu calitan kotoran di kain yang putih berseri yang akhirnya menampakkan kecacatan pada kain y cantik itu. Apa yang saya nampak, pihak yang menghemtam ini tidak ubah seperti masyarakat jahiliah dahulu.

Tahukah kita bahawa kita sekarang berada di dalam dunia yang lebih jahil dari zaman jahiliah. Bukan mudah mencerahkan ISLAM pada masa kini jika tidak mempunyai methode penyampaian yang fleksibel&moden tanpa membelakangi syarak. Allah tidak kisah sesiapa saja yang ingin menyebut namaNYA. Cuma pencerahan yang disampaikan oleh pihak yang membenarkan disiarkan sepenuhnya. Isu2 ini biarlah ilmuan yang berbicara bukan ahli politik yang tidak tahu apa2 hanya makan gaji berbicara kerana akan memincangkan kekuatan&kesyumulan Islam itu sendiri.

 (Sekadar pandangan peribadi penulis)

Wednesday, February 1, 2012

MUSTAFA KAMAL ATARTUK: ANTARA KEBIJAKSANAAN KEPIMPINAN&PENGKHIANATAN...

Oleh:
Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi

PENDAHULUAN
Kepimpinan merupakan satu perkara yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia di atas muka bumi ini, bermula dari awal kejadian manusia hinggalah pada masa kini kepimpinan tidak boleh dipisahkan lagi dengan kehidupan manusia. Hal ini kerana Allah telah melantik kita sebagai khalifah di muka bumi ini dan sekaligus menjadi pemimpin kepada manusia yang lain.

Kepimpinan adalah merupakan perkara yang penting dalam pembentukan sesuatu organisasi, kumpulan, bangsa atau negara. Hal ini dapat dilihat dari kepimpinan baginda Rasulullah S.A.W dalam memimpin bangsa arab dari kegelapan menuju jalan cahaya yang diredhai, kemudian ianya di sambung oleh para sahabat-sahabat baginda menerajui kepimpinan hinggalah terbinanya sebuah negara yang maju dan berkembang dengan pesatnya hingga tersebarnya Islam ke seluruh dunia. Ini semua adalah berpunca dari kemantapan kepimpinan yang di redhai oleh Allah S.W.T.

Satu perkara yang memainkan peranan yang amat penting dalam kepimpinan ialah corak pemikiran pemimpin yang memimpin sesebuah organisasi. Ianya meliputi pemikiran bagaimana untuk memajukan diri, memajukan bangsa. memajukan organisasi, memajukan negara. Hari ini kita dapat lihat, dari corak pemikiran pemimpin yang memimpin maka sesebuah negara itu akan maju atau mundur. Jika pemikiran pemimpin mempunyai daya pemikiran yang baik maka majulah sesebuah negara, jika pemikiran pemimpin adalah hanya untuk kepentingan diri sendiri maka tunggulah saat kehancuran sesebuah negara.

Kepimpinan dan pemikiran adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan dalam setiap aspek kepimpinan. Kerana pemikiranlah yang menjana kepimpinan.



PENGENALAN
Di dalam perbincangan ini ialah akan membicarakan tentang corak pemikiran dan kepimpinan Mustafa Kamal Atartuk yang merupakan seorang perdana menteri Turki. Sebut sahaja nama beliau, siapakah yang tidak kenal dengan hamba Allah ini.

Pemikiran Mustafa Kamal Atartuk ini dapat membawa perubahan kepada negara Turki, perubahan yang dilakukan cukup meninggalkan kesan kepada adat, budaya dan agama yang mana membuatkan masyarakat dunia terutamanya mereka yang beragama Islam terkejut dengan perubahan yang dilakukan oleh beliau. Adalah bukan niat untuk mengagungkan Mustafa Kamal Atartuk tetapi tujuannya adalah untuk membicarakan corak kepimpinan beliau sehingga berlakunya perubahan yang cukup besar kesannya kepada sejarah dan menjadikan sejarah kepimpinannya tidak akan dilupa dan tercatit di helaian penulisan sejarah.

BIOGRAFI MUSTAFA KAMAL ATARTUK
Mustafa Kamal Atartuk di lahirkan pada 19 Mei 1881 di Salonika atau dikenali juga Salanik (Thessalonik) Beliau merupakan anak kedua daripada 2 orang adik beradik. Ibunya bernama Zubaidah Hanim seorang wanita Muslim, ayahnya kepada ibunya merupakan seorang tokoh agama dan penghafaz Al-Quran, akan tetapi ayah kepada Mustafa Kamal Atartuk ini tidak dikenali siapakah yang menjadi bapanya. Hal ini kerana pada tahun 1299 bersamaan 1880 Masihi satu majlis menyambut malam pesta kambing diadakan di sebuah kawasan yang lapang di pinggi sebuah bandar yang bernama Salonika, Macedonia yang terletak di utara Greece. Majlis yang diadakan itu di hadiri oleh golongan yahudi Dunamah, mereka merupakan orang-orang yahudi yang berpura memeluk agama Islam tetapi masih mengamalkan ajaran agama nenek moyang mereka. Pada malam ini, ibu Mustafa Kamal ini telah pergi bersama suaminya Ali Reza Efendi untuk meraikan malam itu, apabila tiba lewat malam sahaja, lampu dipadamkan kemudian mereka yang hadir akan melakukan seks dalam keadaan yang gelap gelita, Zubaidah yang pada ketika itu terlepas dari suaminya telah ditarik oleh seorang lelaki dan berlakulah hubungan seksual dan tidak tahu siapa yang melakukan. Menjadi kepercayaan masyarakat yahudi dunamah ini apabila melakukan seks pada malam ini mereka yang tidak dapat anak akan memperolehi anak. Tiga bulan selepas kejadian malam ini, Ali Reza iaitu suami kepada Zubaidah gembira bila mendapat tahu bahawa isterinya mengandung dan Ali Reza mempercayai ianya berpunca dari keberkatan Malam itu, akan tetapi Zubaidah tidak senang dengan anak ini. Maka bila tiba masanya, maka lahirlah Mustafa Kamal Atartuk ini.

Mustafa Kamal mendapat pendidikan awal pada tahun 1886 di sekolah rendah Salonika. Selepas kematian ayahnya, beliau telah menyambung pelajarannya pada tahun 1892 di sebuah sekolah kadet di Salonika Manastar. Beliau mendapat nama Kamal daripada guru Matematiknya.

Pada tahun 1896, beliau belajar di maktab tentera di Manastar kemudian pada tahun 1899 beliau mendapat pendidikan di Kolej Tentera di Istanbul. Pada Tahun 1902 beliau telah menyertai pasukan tentera dan dilantik menjadi leftenan, beliau memulakan kerjayanya sebagai tentera dengan menyandang pangkat leftenan. Kemudian pada tahun 1905 beliau dilantik menjadi kapten di dalam pasukan tentera.

Beliau memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1906, pada waktu inilah beliau mula aktif dalam politik lalu beliau dengan pengaruh yang ada menubuhkan “ Parti Tanah Air dan Kemerdekaan” di Damsyik. Karier politiknya mula mempunyai ramai pengaruh, lalu pada tahun 29 Oktober 1907 beliau menubuhkan cawangan Parti Tanah Air dan Kemerdekaan di Salonika.

Dari Corak kepimpinan dan daya pemikirannya yang pintar membuktikan kepimpinan dengan menggunakan kuasanya dalam pasukan tentera dengan berjaya menyuraikan rusuhan yang berlaku di Istanbul pada tahun 31 Mac 1908.

Apa yang dapat kita lihat di sini ialah, kepimpinan beliau adalah bermula dari alam ketenteraan setelah dilatih dengan pemikiran kepimpinan ketenteraan. Semasa beliau menjadi pegawai tentera turki pada masa itu, Turki adalah dibawah kekuasaan kerajaan Uthmaniah yang merupakan Kerajaan yang di segani di mata dunia dan banyak negara tunduk kepada Kerajaan Uthmaniah pada waktu itu.

KEJAYAAN MUSTAFA KAMAL ATARTUK DALAM KEPIMPINAN
Kejayaan beliau di dalam kepimpinan adalah disebabkan beberapa perkara, antaranya ialah:-
1. Pengaruh yang kuat dari orang yahudi.
2. Daya pemikirannya yang cergas dan pintar.
3. Kekuatan parti politik yang ditunjanginya.
4. Kemahiran mengatur strategi.
5. Sokongan kuat dari pemimpin atau menteri-menteri kerajaan.
Pengaruh yang kuat dari orang yahudi ini datangnya dari pengaruh bapanya dan bapa angkatnya yang merupakan seorang Ahli perniagaan yang terkenal, begitu juga dengan angkatnya yang bernama Abdul Muhsin Agha yang mempunyai kenalan rapat dalam kerajaan dari menteri-menteri dan merupakan orang kaya. Tambahan pula Mustafa Kamal dilahirkan hasil dari makan malam orang yahudi di hari yang di agungkan. Jadi dari sinilah datangnya pengaruh yang cukup kuat.

Faktor daya pemikirannya yang cergas dan pintar juga memainkan peranan yang penting dalam kepimpinannya. Hal ini kerana beliau telah dilatih dengan daya pemikiran dan keinginan yang tinggi dari bapa angkat setelah kematian bapanya. Daya pemikiran inilah digunakan untuk melakukan kepimpinan disamping pengalamannya dalam bidang politik dan menghadapi situasi politik negara di era peperangan di turki pada waktu itu

Kekuatan parti politik yang dianggotai juga memainkan peranan yang amat penting. Hal ini kerana parti yang ditunjanginya merupakan parti politik yang boleh dikatakan kedua terbesar selepas sebuah parti yang di anggotai majoritinya oleh masyarakat Islam turki dibawah pimpinan Ali Basya. Ditambah pula dengan kehendak rakyat yang inginkan perubahan pada waktu itu membuatkan partinya mendapat sokongan yang tidak kurang hebatnya.

Kemahiran mengatur strategi juga dimiliki oleh beliau. Hal ini kerana jika kita lihat beliau mendapat pendidikan yang cukup lama dalam bidang ketenteraan sehingga dilantik menjadi pegawai tentera dan kemudianya menjawat jawatan yang penting dalam pasukan tentera turki pada waktu itu. Di dalam pasukan tentera juga, beliau diajar bagaimana cara mengatur strategi pertahanan mengatur pergerakan untuk menakluki sesuatu tempat dan menjadi tradisi pasukan tentera untuk mempelajari dan menguasai ilmu tersebut.

Sokongan yang kuat dari pemimpin kerajaan memainkan peranan yang amat penting dalam kepimpinan beliau. Hal ini kerana ada pemimpin kerajaaan yang cuba berpaling tadah dan tidak suka pemerintahan yang sedia ada dan cuba melakukan perubahan. Jadi disaat inilah Mustafa Kamal Atartuk mengambil peluang.

BERMULANYA PENGKHIANATAN MUSTAFA KAMAL ATARTUK
Kebijaksanaan yang dimiliki oleh Mustafa Kamal Atartuk mula digunakan pada saat ini, apabila segala kebijaksaannya digunakan untuk menjatuhkan Kerajaaan Uthmaniah yang memerintah turki pada waktu dan dalam masa yang sama beliau memimpin pasukan tentera pada waktu itu semasa Turki di dalam pergolakan peperangan.

Ianya bermula pada tahun 1912 apabila Itali menyerang turki dan Mustafa Kamal Atartuk dihantar ke sana. Beliau amat berat hati untuk dihantar ke sana, beliau telah mempengaruhi rakan-rakanya dengan berkata “peperangan ini adalah sia-sia, langsung tidak ada faedahnya melainkan menipu rakyat dengan berkata kewajipan kepada negara perlu diberikan keutamaan dan perhatian.

Semasa beliau di Libya, beliau tidak berjuang secara bersungguh-sungguh dan sering menunjukkan sikap penakutnya dengan sering kali mengelak dari bertempur dengan tentera Itali dan kemudiannya beliau bijak memberikan laporan palsu kepada pihak atasan dengan mengatakan bahawa tentera dibawah pimpinannya telah berjuang habis-habisan. Peperangan yang berlaku dalam tahun sama ialah pertempuran dengan tentera Bulgaria di kepulauan Ghalalaibu, dalam masa yang sama beliau telah dihantar dan memimpin pasukan tentera di sana dibantu dengan tentera tambahan dibawah pimpinan Anwar Basya. Di sinilah bermulanya pengkhianatan terhadap Anwar Basya dengan tidak mematuhi arahan Anwar Basya, apabila beliau telah melakukan mesyuarat dengan ketua-ketua pasukan bagi merancang strategi menghapuskan musuh.

Pengkhianatan ini bertujuan untuk mengelakkan dari Anwar Basya mendapat pujian sekiranya tentera Turki berjaya mempertahankan Pulau Ghalalaibu. Apabila pertempuran sedang berkecamuk Mustafa Kamal memerintahkan pasukan tenteranya berundur dan kemudiannya kepulauan tersebut ditawan musuh. Pemerintah negara pada masa itu ialah Sultan Muhammag mengarahkan 100 ribu tentera turki untuk merampas kembali kepulauan Ghalalaibu dan dalam masa yang sama beliau mengutuskan surat kepada pihak musuh agar segera berundur. Kemudiaanya beliau mengatakan bahawa beliau dan pasukannya telah berjaya merampas kembali dan akhirnya mendapat nama.

PENGKHIANATAN MUSTAFA KAMAL ATARTUK SEMASA MEMEGANG JAWATAN MENTERI@PRESIDEN TURKI
Pada 29 Oktober 1923, beliau telah dilantik menjadi Presiden Turki yang pertama. Pada masa inilah beliau memulakan segala pengkhianatan terhadap Agama dan pemerintahan di Turki. Di sinilah terselah siapakah dia sebenarnya Mustafa Kamal Atartuk ini. Semuanya tidak di duga berlaku akan berlaku dan berlaku. Inilah kepintaran Mustafa Kamal Atartuk sehinggakan tiada orang dapat menyangka.
Berkaitan dengan Atartuk di hujung namanya bermaksud leluhur Turki, beliau mendapat gelaran ini pada tahun 24 November 1934. Dan di sinilah beliau dikenali dengan Mustafa Kamal Atartuk oleh penduduk Turki dan seluruh pelusuk dunia berpunca dari kebangkitan turki ke arah Turki Moden dan pembaharuan yang dilakukan.
Perkara yang pertama dilakukan oleh beliau setelah menjawat jawatan sebagai presiden Turki ialah dengan membubarkan sistem khalifah yang dulunya diterajui oleh Sultan dari Kerajaan Uthmaniah dan dalam masa yang sama sistem pemerintahan Islam di Turki melalui sidang Dewan perwakilan Nasional pada 3 Mac 1924 setahun selepas dilantik menjadi Presiden Turki. Ini membuatkan Kerajaan Uthmaniah terus lumpuh dan berakhirlah zaman kegemilangannya.

Selain itu juga, Mustafa Kamal Atartuk ini juga telah menghapuskan kementerian wakaf yang telah dilaksanakan sekian lama oleh kerajaan di bawah pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniah dan semuanya kembali kepada sistem barat, ianya berlaku pada 30 Mei 1924.

Pada Tahun 1925, satu pengkhianatan yang cukup mengejutkan apabila beliau menutup segala masjid-masjid yang ada di Turki Kecuali Masjid Abu Ayyub Al-Ansari. Antaranya Masjid Aya Sofia, masjid tercantik di Turki dijadikan sebagai Muzium, dan Masjid Al-Fateh dijadikan Gudang. Sebab utama penutupan ini ialah Mustafa Kamal Atartuk berpandangan bahawa Masjid digunakan untuk menentang pemerintah.

Pada 1925, Mustafa Kamal Atartuk telah menggantikan hukum Islam di Turki dengan hukum swiss, manakala tarikh hijrah digantikan dengan tarikh Masihi.

Pada tahun 1926. Di dalam sistem pendidikan pula beliau telah menukarkan sistem huruf jawi kepada sistem huruf latin dan rumi, bagi wanita pula di arahkan untuk berpakaian dan mengamalkan cara berpakaian seperti wanita kaum barat, manakala kaum lelaki pula dikehendaki memakai topi koboi dan dilarang keras memakai serban. Al-Quran yang merupakan kitab suci bagi umat Islam yang diturunkan dalam bahasa arab di tukarkan kepada bahasa Turki dan seruan azan juga perlu dilaungkan dan dikemundangan dalam bahasa Turki.


Pada Tahun 1991, telah berlaku pilihanraya turki dan beliau telah terpilih untuk menjadi presiden buat kali ketiga pada tarikh 4 Mei 1931. Apabila menjawat jawatan ini kembali, bertambah lagi pengkhianatan yang dilakukan dalam merubah sistem Islam di Turki.

Pada Tahun 1933, semua sekolah agama dan institusi agama ditutup termasuklah Universiti Islam Istanbul turut menerima nasib yang sama.

Pada tahun 1935 pada tarikh 1 Mac 1935, Mustafa Kamal Atartuk telah terpilih sekali lagi untuk menjadi presiden buat kali yang keempat dan berlakunya juga pengkhiatan yang dilakukan antaranya ialah beliau mengumumkan bahawa cuti umum pada hari jumaat digantikan dengan hari Ahad seperti yang di amalkan di negara kita Malaysia.

Antara pengkhianatan agama lain yang dilakukan oleh beliau ialah, Wanita yang hendak bertudung adalah dibenarkan tetapi dengan syarat memakai skirt pendek, setiap Majlis Keramaian Mestilah Mempunyai arak untuk di minum, Seks bebas dilakukan setelah majlis dan menjadikannya sebagai kebiasaan dalam setiap Majlis.
Dalam pengkhianatan akidah pula, setiap anggota tentera, anggota kerajaan dan rakyat hendaklah menganggap beliau sebagai tuhan, yang mana dalam satu peristiwa yang mana beliau bertanya kepada seorang anggota tentera “siapakah yang paling berkuasa, Allah atau aku...??”.. lalu tentera itu menjawab “ Tuan lebih berkuasa...”, Mustafa Kamal Atartuk tersenyum gembira dan mengatakan bagus, sesiapa yang menjawab selain dari dirinya, maka akan di seksa bahkan ada yang dibunuh. Inilah pengkhianatan yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Atartuk semasa pemerintahannya di Turki.

Tindakan yang dilakukan beliau ini membuatkan rakyat semakin benci dan marah terhadap dirinya dan rakyat turki cukup menyesal dengan tindakan yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Atartuk ini.

BERAKHIRNYA PEMERINTAHAN MUSTAFA KAMAL ATARTUK
Pada 16 Oktober 1938, Mustafa Kamal Atartuk mengalami sakit kronik yang sukar diubati oleh semua doktor pakar, dan segala urusan pemerintahan di ambil oleh menteri-menterinya semasa beliau sedang sakit.

Semasa terlantar sakit, Mustafa Kamal Merasakan terlalu panas, hinggakan pasukan bomba datang menyiram bumbung rumahnya, badannya terlalu sakit dan tidak bermaya, sakit di dalam perut dan dada, Koma dan berbagai lagi penyakit yang di alaminya.

Akhirnya pada 10 November 1938, beliau meninggal dunia di Istana Dulamah Baghjah, Istanbul kerana mengidap penyakit radang hati ( Lever Cyruz ) dan berbagai lagi penyakit misteri yang tidak dapat dikenal pasti oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila Jenazahnya selesai diuruskan semasa hendak dikebumikan, apabila hendak diletakkan di dalam kubur, jenazahnya tidak turun mencecah ke tanah, berbagai cara dilakukan, dari satu tempat ke satu tempat dibawa jenazahnya untuk dikebumikan tetapi perkara yang sama tetap berlaku, lalu datang seorang Ulama turki mengatakan “Bukan setakat bumi Turki sahaja yang tidak menerimanya Bahkan seluruh bumi Allah tidak akan menerimanya” . Jenazahnya di bawa ke suatu tempat dan dibina sebuah blog batu berbentuk kotak diletakkan secara terapung ( jarak dari tanah ) dan diletakkan batu di atasnya, barulah selesai urusun pemakaman.
Pada 21 November 1938 mayat beliau diletakkan di Muzium Etnografi di Ankara dan kemudiaanya pada 10 November 1953 peti mayat beliau dipindahkan dari muzium Etnologi ke memorial. Pemergiaannya tidak ditangisi oleh rakyatnya sendiri.




PENGAJARAN DARI KEPIMPINAN MUSTAFA KAMAL ATARTUK
Pengajaran yang boleh diambil dari kepimpinan Mustafa Kamal Atartuk dari sudut yang positif ialah:-
I. Seorang pemimpin haruslah bijak
II. Seorang pemimpin haruslah mempunyai sifat berani
III. Seorang pemimpin haruslah mempunyai perancangan strategik
IV. Seorang pemimpin haruslah meletakkan kepercayaan rakyat kepadanya sebagai asas untuk memimpin
V. Seorang pemimpin haruslah mendapatkan sokongan kepimpinan.

Pengajaran yang tidak boleh di ambil dari kepimpinan Mustafa Kamal Atartuk dan merupakan perkara yang negatif:-
I. Menipu
II. Tidak amanah
III. Tidak bertanggungjawab
IV. Melampaui Had Manusia
V. Mencemari Agama
VI. Mengkhianati Agama
VII. Zalim

Apa yang dapat di gambarkan disini ialah, Mustafa Kamal Atartuk ialah seorang yang bijak, tetapi tidak menggunakan kebijaksaan yang dimilikinya ke arah kebaikan untuk membangunkan Agama Islam, bangsa dan negara. Adalah tidak salah jika saya mengatakan bahawa Mustafa Kamal Atartuk ialah Jelmaan firaun yang sering menentang Islam pada suatu ketika dahulu.
Ibnu Taimiyah berkata: “Sesunggunnya Allah akan menegakkan sebuah pemerintahan yang adil walaupun diperintahkan oleh orang yang kafir dan akan meruntuhkan pemerintahan yang zalim walaupun diperintah oleh orang Muslim”.

RUJUKAN
Mustafa Kamal Atartuk:Penegak Agenda Yahudi. 2011. Abdul Latip Talib. PTS litera Utama Sdn Bhd.

Monday, January 30, 2012

APAKAH TERLARANG CINTA SEBELUM KAHWIN..???/

Oleh:
Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama spouses and partners. Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.

Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.


Anti-cinta

Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata:

“Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.


Jatuh cinta

Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitnah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.


Rayuan cinta

Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahu kah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?


Dua kekasih

Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).


Haram

Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitnah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitnah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

KEBERKATAN DALAM MENCARI REZEKI

Oleh:
Mohd Suhelmi Azham Bin Mohd Saufi

Dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, Allah membenarkan hamba-hambanya mencari rezeki di muka bumi ini dengan cara yang halal dan baik. Hal ini kerana dengan rezeki yang halal akan menjanjikan kehidupan yang sempurna, keberkataan dan menjanjikan kesihatan. Kerana hasil yang kita dapat akan dihadamkan di dalam perut dan menjadi darah daging kita. Daging yang tumbuh dari rezeki yang haram maka api neraka adalah lebih Aula kepadanya. Dan rezeki yang tidak berkat akan membuatkan kita sering mengalami masalah dalam kehidupan seperti kurang rezeki, anak-anak selalu sakit, masalah rumahtangga dan masalah dalaman.
Kita sering mengalamai masalah rumahtangga dengan berbagai masalah, cuba kita muhasabah kembali seminit atau beberapa zaman seketika dengan melihat segala permulaan hidup, permulaan rezeki, dari mana kita mendapatkan dan menghabiskannya. Saya yakin anda pasti kurang memikirkan kerana kita terlalu mengejar harta keduniaan tanpa kurang memikirkan sejauh mana halal haramnya dan baik buruknya. Sudah menjadi kebiasaan manusia mengejar apa yang tiada yang sering dirisaukan dan meninggalkan apa yang ada mencukupi di hadapan mata dan di tangan kita. Tatkala kita bermuhasabah dengan berpandukan Iman yang dikurniakan kepada kita, pasti kita akan dapat mencari penyelesaian. Di dalam dunia ini beberapa perkara akan merubah diri manusia, saya letakkan 3 perkara utama yang boleh merubah manusia kepada baik menjadi tidak baik dan sebaliknya. Perkara tersebut ialah WANITA, TAKHTA &HARTA. Dengan mengejar wanita manusia boleh hilang pertimbangan, dengan mengejar takhta manusia akan lupa segala tanggungjawab dengan mengejar harta manusia melupakan iman dan amalnya.
2. GAJI KITA...ADALAH HAK KITA....TAPI ADAKAH IANYA BERKAT....?????
Tepuk dada tanya diri buka minda tanya akal. Kita pasti dapat memikiran keadaan ini, dalam kehidupan kita ini Islam tidak pernah melarang kita bekerja samada bekerja sendiri atau mengambil upah( Makan gaji). Perkara ini telah di lakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W semasa hayat baginda, baginda pernah menjadi pengembala kambing dan menjadi ahli perniagaan. Antara sifat terpuji baginda di dalam pekerjaan ialah baginda merupakan seorang yang jujur dalam setiap urusan dan amalan pekerjaan
 SIDDIQ
 AMANAH
 FATHANAH
Andai ada sahaja ustaz atau guru yang mengatakan tentang sifat-sifat ini, kita pasti mengatakan “ itu nabi..kita manusia..mana nak sama..”. Tanggapan sebegini adalah salah sama sekali, hal ini kerana Allah telah mengutuskan baginda S.A.W untuk menyempurnakan akhlak manusia dan menjadi ikutan yang baik. Allah mengurniakan sifat sebegini kepada baginda dan dilihat oleh masyarakat sekelilingnya dan sudah mestinya ia menjadi contoh. Kita ambil contoh yang mudah, Kita melihat seseorang model memakai pakaian yang cantik dan dalam masa yang sama kita juga ingin sepertinya kerana ingin meniru segala pakaian dan perbuatan model tersebut. Begitu juga di utuskan baginda ke dunia ini agar kita mengambil contoh yang telah di didik oleh Allah S.W.T. Di dalam perkerjaan kita seharian semestinya kita mengambil contoh seperti yang di ajarkan oleh baginda kerana itulah contoh yang terbaik yang sudah pasti menjanjikan keberkatan kepada diri kita dan rezeki akan bertambah bila di berkati, kata sarjana Islam “Sedikit rezeki yang halal mencukupi dari sedikit rezeki yang haram tidak pernah mencukupi”.
Saya ambil contoh yang cukup mudah, andainya gaji kita RM2000.00 tetapi kerja yang kita lakukan sambil lewa tanpa memenuhi kehendak gaji yang diberikan dan skop pekerjaan. Maka gaji tersebut akan dipersoalkan di hari akhirat nanti tatkala mulut kita dibisukan dan segala anggota badan kita akan berhujah dengan sendirinya. Dalam dunia pekerjaan kita mesti diberikan ruang untuk “claim”. Cuba kita renung sejenak adakah kita claim mengikut apa yang kita keluarkan? Mengikut apa yang ditugaskan? Mengikut hari yang dinyatakan dalam syarat?. Andai kita mengikuti semuanya, Alhamdulillah keberkatan bersama kita andainya tidak maka tidak ada keberkatan dalam rezeki yang kita terima, andainya kita gunakan untuk makan minum maka seperti yang dijanjikan oleh Allah api neraka adalah yang terbaik untuk kita. Kebiasaan dengan rezeki yang tidak berkat ini Allah akan membalas di dunia, misalnya anak-anak mempunyai masalah sosial, suami isteri selalu bergaduh, duit seringkali tidak mencukupi dan banyak masalah menimpa, kebarangkalian yang nyata ialah berpunca dari rezeki yang tidak diberkati oleh Allah S.W.T.
Dalam hidup ini “ What You Give You Get Back”, apa yang anda lakukan, yang anda berikan maka anda akan dapat kembali. Dalam konteks Islam pula sama ada Allah membalas di dunia ini secara cash atau di hari pembalasan nanti. Namun menjadi lumrah manusia bila menasihati mereka akan berkata “ Kubur masing-masing tak perlu susah-susah fikirkan aku...”, Jawapannya mudah sahaja, sebab kubur masing-masinglah kita sampaikan sebab tatkala di dalam kubur nanti tiada talian CELCOM, MAXIS, DIGI tiada NOKIA, SONY ERICCSON, SAMSUNG, GALAXY TAB, I PHONE nak tolong SMS kan jawapan terhadap persoalan Malaikat di alam barzakh nanti.

“ Antara yang perkara yang membuatkan Roh tertahan untuk naik ke langit ialah bila di tanya oleh Malaikat tentang harta yang kita dapat ke mana kita salurkan......”