Saturday, December 12, 2009

JANGAN MUDAH MENUDUH ORANG WAHHABI
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Ketika saya dihubungi agar mengulas tentang satu gerakan yang suka
menuduh orang lain wahhabi, saya pada mulanya malas nak campur. Di kala
negara sedang gelut dengan krisis yang berbagai, ada juga puak yang sibuk
wahabi-mewahabi orang lain. Apatah lagi, saya pun dah lama tidak berfikir
tentang isu tersebut kerana sibuk dengan isu-isu yang lebih bersifat nasional
dan sejagat.
Sebenarnnya, di negara kita kini sedang muncul satu golongan yang
menyembunyikan identitinya. Mereka ini jika di negara Arab digelar Ahbash.
Puak ini berpusat di Lubnan dan mempengaruhi sesetengah pelajar kita di
sana juga yang di tempat lain. Perkataan ahbash merujuk kepada pengasas
dan pengikut mereka yang berketurunan Habsyi Afrika. Guru mereka ialah
Abdullah al-Harari. Seorang yang terkenal suka mengkafirkan orang lain yang
tidak sependapat dengannya. Dia sentiasa mendakwa bahawa hanya dirinya
Ahlussunnah wal Jamaah dan bermazhab Syafi’i. Sesiapa yang tidak
bersependapat dengannya itu sesat, atau kafir atau wahhabi. Hasilnya
berlakulah pembunuhan dan rusuhan. Mereka telah mengkafirkan ulamaulama
terdahulu seperti al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Qayyim, al-Imam
al-Zahabi, al-Imam Ibn Kathir, Muhammad bin Abdul Wahhab dan lain-lain.
Ulama semasa yang dikafirkan oleh mereka termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi,
Dr. Said Ramadhan al-Buthi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb, al-Albani, Mufti
Lubnan Hasan Khalid lain-lain. Sesiapa yang berminat mereka boleh layari
bankahbash.blogspot.com. untuk mengetahui sikap ektremis golongan ini.
Di Malaysia, mereka mula menyerap dalam sesetengah pihak berkuasa
agama di negeri-negeri tertentu. Mereka menganjurkan program-program
atas nama Ahlussunnah wal Jamaah. Isi kandungannya adalah menuduh
sesiapa yang tidak sebulu dengan mereka sebagai wahhabi. Slogan mereka
sama, sesiapa yang memberikan pendapat yang tidak sama dengan mereka
maka dia sesat atau wahhabi. Cara kebetulan pula pandangan sesetengah
golongan pembaharuan memang ada perbezaan dengan pandangan
agamawan tempatan. Namun, itu bukan kesalahan dan baru. Dahulu pun
dalam negara ini ada gerakan kaum muda seperti Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi,
Burhanudin al-Helmi, Abu Bakar al-Baqir dan selain mereka yang memang
diiktiraf sumbangan mereka dalam pembaharuan dan kemerdekaan.
Walaupun ada tentangan terhadap kaum muda dari kelompok konservertif
tradisionalis melayu, namun buku-buku sejarah yang jujur terus mengiktiraf
sumbangan kaum muda kepada pendidikan, perjuangan hak wanita,
kemajuan pemikiran, pembebasan dari kejumudan dan seumpamanya.
Namun hari ini puak Ahbash yang muncul dan menyelinap masuk
dalam masyarakat kita cuba membangkit perkara-perkara perbezaan ini
sehingga ke peringkat kafir mengkafir. Kata mereka golongan pembaharuan
menimbulkan pecah belah dalam masyarakat. Padahal jika mereka jujur,
perpecahan yang sebenar dalam masyarakat melayu sekarang adalah dalam
isu-isu politik, bukan isu kenduri arwah, tol orang mati dan joget tarekat yang
dipertahankan oleh mereka. Untuk menarik minat masyarakat, mereka
menuduh sesiapa sahaja yang memberikan pandangan berbeza itu sebagai
wahhabi dan ektremis. Padahal, golongan Ahbash ini menyimpan racun
mereka dan menunggu hari untuk dikeluarkan. Tidak hairan jika beberapa
pembunuhan di Lubnan dikaitkan dengan mereka dan ramai tokoh yang
menganggap mereka mempunyai hubungan dengan CIA. Sebab itu kita
melihat pendekatan Ahbash ini ada ala-ala Amerika. Jika Amerika yang
mengganas di negara orang, menuduh orang lain pengganas, demikian puak
Ahbash ini yang suka mengkafirkan orang lain, tetapi menuduh orang lain
pula mengkafirkan dan menumpahkan darah. Maka tidaklah pelik jika guru
Ahbash itu digelar al-fattan atau pencetus fitnah.
Di samping, kita juga tidak menafikan, wujudkan segelintir kelompok
yang menyandarkan diri kepada salafi kadang-kala ada ciri-ciri agak keras
dalam berinteraksi dengan amalan tradisi tempatan atau menimbul beberapa
pendapat yang tidak wajar dibesar-besarkan. Saya sendiri kurang bersetuju
untuk terlalu bertegas dalam perkara-perkara yang diizinkan syarak untuk
kita berbeza pendapat. Namun, kesilapan mereka itu hanya pada pendekatan
dan pemilihan keutamaan. Tidak sepatutnya untuk mereka dihukum sesat
atau dikafirkan oleh kelompok Ahbash ini.
Namun, jarum Ahbash ini nampaknya ada juga yang terpengaruh lalu
menuduh sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan pandangan mereka
sebagai wahhabi. Padahal, jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka
melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Mereka pun tak
pasti dan berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah
sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang
lain juga tidak qunut subuh. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu
Hanifah juga wahabi? Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia
tahlil maksudnya La ilah illa Allah, tahmid bermaksud Alhamd li Allah, tasbih
bermaksud subhana Allah. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana
mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi yang
dituduh wahhabi itu menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaanbacaan
mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!. Ada
yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Ramai yang
tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian,
kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi
sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata
wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang
sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.
Mungkin yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut
Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’.
Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang
menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku
Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang
tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama
ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fekah yang
ulung. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadis,
sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak tegas. Namun,
sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara
peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun
sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-
Aulawiyyat memuji Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, dengan berkata: “Bagi alImam
Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah
menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang
telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah
menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit
menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan
gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Juga
tokoh ahli fekah terkenal, Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan
menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang
sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran
yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang
menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling
berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad
dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf
al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada
kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan
muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan,
bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah
pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang
menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili,
Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak
lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Ramai lagi tokoh-tokoh lain
yang memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, apakah tokoh-tokoh agama
yang begitu ramai itu patut dituduh wahabi?!!!.
Kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i tulisan tokohtokoh
semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-
Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca
antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid'ah apa yang
dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai
kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat
puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari
harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh,
maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta
benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim
tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang
memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam). Apakah
semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita
dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah
merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid'ah bagi
orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas
memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian
daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi)
makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan
seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh
Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-
Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid'ah yang tidak elok”
(7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.
Apabila ada yang memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang
dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata:
“dia wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-
Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu
Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.
dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan
malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti
yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian
negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di
masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat
panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung
kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik
dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a
yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga
bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu
Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian
negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita
melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu
ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas
mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah
itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi,
Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga
wahabi?!!
Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam
mazhab al-Syafi'i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah
dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui
sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih
r.a adalah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan
bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati
dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah.
Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul.
Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.
Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-:
“Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit
yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh
dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh
golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan
yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah
haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah
keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu
membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-
226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di
zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan
tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka
mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab
al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:
“adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan
orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit
pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-
Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr). Tentu jika mereka masih hidup akan
dituduh wahabi!
Bahkan jika al-Imam al-Syafi’i masih hidup pun mungkin dia dituduh
wahhabi. Apa tidaknya dalam kitabnya al-Umm disebut: “Pendapatku untuk
imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat.
Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari
daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir.
Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu
hendaklah dia perlahankan" (al-Syafi'i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi'i: Al-Umm,
1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi). Tidakkah itu berbeza dengan
amalan orang melayu.
Ada kata golongan wahhabi tidak mewajibkan terikat dengan sesuatu
mazhab. Saya kata kalau begitu haramkanlah buku Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr
Wahbah al-Zuhaili, Dr Abd al-Karim Zaidan dan berbagai tokoh ulama
antarabangsa yang lain dari disebarkan di Malaysia ini. Sebab mereka ini
yang tidak mewajibkan terikat dengan satu-satu mazhab. Lihat apa kata Dr
Yusuf al-Qaradawi: “Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya
bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab
ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti
yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali
apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Maka al-Quran dan al-
Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak
menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan manamana
mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa
sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan
sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang
mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun.
Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik
manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru
menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang Allah
ta’ala tidak wajibkan. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama
yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang
memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf,
Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah)
Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah
bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan
adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka
diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku
buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua
mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa
takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam
Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendahrendahkan
puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan
keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil
antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Laranganlarangan
yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orangorang
yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah
kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah
memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita
sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan
terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Ramai
pendakwah yang menjadi mangsa akhlak buruk ini. Kita juga berdukacita dan
bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai nama pihak berkuasa agama.
Namun saya katakan kepada para pendakwah yang difitnah; bersabarlah.
Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi
Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah
dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam
Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah
mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya.
Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan
golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa
menuntut keikhlasan dan pengorbanan.
Wahai mereka yang suka menuduh orang lain atas sentimen tanpa
bukti. Berhentilah, banyak kerja lain yang patut kita buat. Jangan jumud.
Sekarang dunia moden, banyak pengetahuan boleh dicari hanya dengan
beberapa clik di hadapan internet. Jika kita tidak larat fikir, jangan halang
orang lain mencari maklumat dan berfikir. Tunjukkan imej keistimewaan Islam
itu dengan mengizin keperbagaian pemikiran hidup dalam iklim yang
harmoni selagi tiada penipuan dan pengkhianatan. Dunia fakta hanya
dimasuki oleh manusia yang cintakan ilmu. Bukan yang suka mengkafirkan
orang tanpa sebab atau menuduh orang wahabi hanya kerana tidak berkenan
di hati.

No comments: