Rundingcara bukanlah suatu perkara yang baru muncul malah ianya wujud
bersama-sama dengan kewujudan masyarakat manusia. Dewasa ini rundingcara
yang berlaku mungkin berbeza dari segi cara dan metodenya dan bukan pula
secara ikhtisas.
Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia istilah rundingcara perkahwinan
mula diperkenalkan bersama dengan perlaksanaan undang-undang keluarga
Islam di awal tahun lapan puluhan. Tetapi pada hakikatnya, rundingcara
perkahwinan telah pun diamalkan di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.
Tetapi amalan tersebut mungkin tidak menetapkan istilah seperti yang digunakan
pada hari ini. Begitu juga dari segi metode dan tekniknya tidaklah sebagaimana
yang diamalkan buat masa kini.
Di kalangan masyarakat Islam di kampung-kampung yang masih utuh
semangat muafakat dan tali persaudaraan yang masih intim, setiap persoalan
yang berhubung dengan kekeluargaan tetap dibawa berunding. Oleh sebab
itulah timbul pepatah Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan
“Muafakat itu membawa berkat”. Umpamanya bermula dari urusan yang paling
kecil iaitu ketika maharnya dan seterusnya tentang pengurusan kenduri kendara
perkahwinan.
Suatu lagi faktor yang menjauhkan golongan muda dari golongan tua
ialah apabila golongan muda dari desa bekerja dan bermastautin di bandar maka
hubungan dengan ibu bapa atau datuk nenek mula jauh. Mereka susah untuk
mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari golongan tua. Dalam hal yang seumpama
ini mereka tidak ada tempat untuk mengadu. Faktor corak hidup di bandar
merupakan suatu gejala yang boleh mempercepatkan lagi keperluan masyarakat
kepada rundingcara perkahwinan. Faktor inilah juga yang memantapkan lagi
perkhidmatan rundingcara perkahwinan di negara-negara yang telah maju
seperti di Amerika dan England.
Punca-punca Yang Menimbulkan Konflik Rumah Tangga
Punca-punca yang selalu menimbulkan konflik rumah tangga yang sering
diadukan ke mahkamah-mahkamah syariah ialah seperti:
i) Ketidakfahaman dan sikap cuai kedua suami isteri tentang
tanggungjawab perkahwinan seperti perkahwinan ketika usia terlalu
muda.
ii) Campur tangan mertua.
iii) Sikap suami yang bengis.
iv) Suami/isteri yang suka berpoya-poya.
v) Isteri yang terlalu cemburu.
vi) Suami mempunyai hubungan dengan wanita lain.
vii) Suami yang tidak mampu memberi nafkah.
viii) Perzinaan.
ix) Ketidakseimbangan dalam kemampuan seksual.
x) Isteri enggan dimadukan.
xi) Isteri mandul.
Masalah-masalah Rumah Tangga
Masalah-masalah rumah tangga boleh dibahagikan kepada empat bahagian yang
besar seperti:
a) Ekonomi
b) Peribadi (emosi dan fizikal)
c) Seks
d) Sosial
a. Ekonomi
Di samping memenuhi keperluan psikologi perkahwinan juga mestilah
memenuhi keperluan ekonomi. Dengan kata lain, di samping memberi kasih
sayang kepada isteri, seorang suami juga berkewajipan memberi nafkah kepada
isteri dan anak-anaknya. Terdapat beberapa masalah dari aspek ekonomi yang
sering mencetus masalah rumah tangga seperti:
i) Suami yang sememangnya tidak mampu menyediakan nafkah yang
mencukupi.
ii) Suami yang sengaja cuai menyediakan nafkah yang mencukupi.
iii) Sikap isteri yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak
dapat diadakan oleh pihak suami.
iv) Sikap suami yang memeras harta isteri.
v) Jika kedua suami isteri sama-sama bekerja, terdapat pula sikap berkira
di antara keduanya di dalam menguruskan ekonomi rumah tangga.
b. Peribadi
Apa yang dimaksudkan dengan masalah yang berpunca dari peribadi ialah
masalah yang melibatkan sikap fizikal dan emosional seseorang suami atau isteri.
Umpamanya masalah kesihatan fizikal pihak suami atau isteri – suami yang
mengidap penyakit yang tidak membolehkan ia mencari nafkah atau melayani
isterinya. Begitu juga dengan isteri yang terlantar sakit atau tidak dapat
melahirkan zuriat. Manakala masalah emosional pula seperti sikap suami yang
cepat naik berang, perungus atau mempunyai kebiasaan melakukan kekerasan
fizikal terhadap pihak isteri. Atau terdapat juga keadaan di mana isteri pula
mengalami masalah emosional seperti garang atau terlalu cemburu.
Di dalam suatu kes yang pernah berlaku, si suami terlalu cemburu dan
tidak mempercayai pihak isteri kerana isteri mempunyai hubungan yang karib
dengan teman lelaki sepejabatnya. Dia telah dua kali menceraikan isterinya.
Apabila dianalisa tentang latar belakangnya ternyata pihak suami telah
mengalami satu trauma kesan dari perkahwinan ibu dan bapanya yang hancur
dan begitu juga dengan perkahwinan saudara-saudara perempuannya yang lain.
c. Seksual
Lazimnya masalah seksual terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam
aktiviti seksual.
Pertama: Seperti suami/isteri yang mempunyai keinginan yang terlalu kerap
atau sebaliknya suami yang terlalu dingin atau sememangnya telah hilang
keupayaan seksual.
Kedua: Kejahilan atau kurang pengetahuan untuk mencapai kepuasan seksual
sehingga menganggap pasangannya kurang mampu melayaninya.
Ketiga: Suami yang mempunyai sikap kasar melakukan hubungan seksual atau
luar biasa.
Keempat: Suami atau isteri mempunyai hubungan seksual dengan orang lain.
d. Sosial
Aspek soaial yang selalu mencetuskan konflik rumah tangga merangkumi
hubungan sosial di kalangan ahli keluarga (maksudnya hubungan dengan orang
lain). Konflik rumah tangga yang melibatkan hubungan dikalangan ahli keluarga
terjadi apabila menantu enggan menghormati mertua atau tidak mesra dengan
ipar-duai. Begitu juga konflik boleh berlaku jika ibu atau bapa tidak begitu
mesra dengan anak-anak. Malahan lebih buruk lagi jika tidak terdapat
kemesraan antara kedua suami isteri. Umpamanya pihak suami selalu
memikirkan soal pekerjaannya sehingga tidak ada masa yang terluang untuk
dihabiskan bersama-sama isteri dan anak-anaknya.
Manakala hubungan yang melibatkan orang yang di luar hubungan
kekeluargaan berlaku apabila suami atau isteri mempunyai hubungan kasih
dengan orang lain atau telah melakukan perzinaan. Begitu juga dengan sikap
suami atau isteri yang suka berpoya-poya.
Rundingcara Perkahwinan Menurut Perspektif Islam
Pada hakikatnya Islam telah menganjurkan prinsip-prinsip tertentu untuk
membentuk, mengekal dan memperbaiki sesebuah rumah tangga. Tetapi dari
segi tekniknya atau pendekatannya hendaklah disesuaikan dengan keadaan
semasa. Rundingan di dalam bidang kekeluargaan amat diperlukan pada tiga
peringkat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman
Rasulullah SAW dan para sahabat.
Pertama: Pada peringkat awal iaitu ketika memilih pasangan.
Kedua: Apabila berlaku konflik rumah tangga.
Ketiga: Bagi pasangan yang telah lama berkahwin, tiba-tiba timbul perasaan
dingin dari satu pihak terhadap pasangannya.
i. Rundingcara Pra-Perkahwinan
Apa yang dimaksudkan dengan rundingcara pra-perkahwinan ialah rundingcara
yang diberi sebelum seseorang dara atau teruna mempastikan calon
pasangannya. Islam telah menentukan ciri-ciri yang mesti diikuti dan mesti
dijauhi di dalam memilih pasangan hidup. Misalnya di dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya ciri agama diberi keutamaan
meskipun pada hakikatnya manusia mengambil kira dari segi harta, rupa paras
dan darjat keturunan. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW melarang
seseorang lelaki mengahwini seorang wanita yang cantik jelita tetapi ia menjadi
punca kejahatan.
Salah satu daripada faktor yang boleh menguatkan ikatan perkahwinan
ialah rasa kasih dan suka kepada calon suami atau isteri, oleh itu Islam
menganjurkan supaya melihat calon pasangan masing-masing dengan penuh
adab yang digariskan oleh syara. Seorang calon suami dibenarkan melihat
setakat muka dan kedua tapak tangan calon pasangannya, tidak lebih dari itu.
Di samping itu selepas akad terdapat khutbah nikah yang menjelaskan
lagi tanggungjawab suami dan isteri. Oleh itu amatlah perlu bagi kedua
mempelai mendengar khutbah tersebut. Khutbah nikah mestilah disusun dengan
lebih kemas dan komprehensif. Meskipun dewasa ini kursus bagi pasangan yang
akan mendirikan rumah tangga telah dikendalikan, malah menjadi semakin
popular tetapi ternyata kursus yang diberikan hanya berkisar di sekitar tugas
suami isteri menurut perspektif hukum. Tetapi hal apa yang boleh
melengkapkan lagi kursus tersebut, termasuk juga hal yang berkaitan dengan
pengurusan perbelanjaan rumah tangga, pengurusan rumah tangga dan juga
kesediaan untuk menjadi ibu bapa (parenting).
Ternyata rundingcara pada peringkat awal ini lebih berbentuk tunjuk ajar,
penerangan dan perbincangan.
ii. Rundingcara apabila berlaku konflik rumah tangga
Dalam istilah fiqh terdapat perkataan “Nusyuz”. Nusyuz bermakna keadaan di
mana suami atau isteri enggan menunaikan kewajipannya sebagaimana yang
dituntut oleh syara’. Terdapat arahan yang jelas berhubung dengan sikap
seorang isteri yang enggan taat kepada suaminya.
Langkah awal yang mesti dilakukan terhadap isteri ialah dengan
menasihatinya.
Kedua, jika nusyuznya masih berterusan meskipun telah dinasihati maka
suami boleh meninggalkan tempat tidur dengan isteri.
Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya, pukulan sekadar mengajar
dan bukan pada tempat yang sensitif seperti di muka.
Sebaliknya jika pihak suami yang nusyuz maka isteri hendaklah mengadu
kepada Qadi.
Apabila nusyuz berlaku sehingga ke peringkat yang paling sengit maka
ianya dikenali sebagai “Shiqaq”. Apabila berlaku shiqaq maka terdapat satu
institusi pendamai yang dianjurkan oleh Islam yang dikenali sebagai “Hakim”.
Islam menganjurkan supaya dilantik seorang hakim mewakili pihak suami dan
seorang hakim mewakili pihak isteri.
Nusyuz di pihak isteri timbul apabila keadaan selisih faham kian
meruncing atau apabila pihak isteri terlalu membenci suaminya sehingga ia
menurut khuluk. Nusyuz dari pihak isteri boleh berlaku kerana sikap isteri sendiri
atau kerana sikap suami yang kejam.
Nusyuz dari suami pula berlaku kerana isteri sakit berpanjangan atau
kerana terlalu tua. Bagi isteri yang menyedari hakikat ini maka ia akan bertolak
ansur seperti memberikan gilirannya kepada isteri yang lain. Keadaan
seumpama ini telah berlaku kepada Saudah isteri Rasulullah SAW yang telah tua
dan mengizinkan gilirannya untuk A’ishah.
Pada peringkat ini rundingcara yang diperlukan adalah secara penyertaan
langsung (direct participation) terhadap masalah yang dihadapi oleh kedua-dua
pihak. Oleh itu konsep “Hakam” menetapi keperluan tersebut kerana wakil
dari kedua-dua pihak hendaklah terdiri dari kalangan mereka yang memahami
keadaan pihak yang diwakili. Maka dalam masyarakat yang sudah kompleks
ternyata lebih banyak aspek diceburi maka adalah wajar pihak yang terlibat
sebagai anggota Hakam terdiri dari berbagai-bagai kalangan.
iii. Rundingcara bagi Pasangan Yang Telah Lama Berkahwin
Terdapat dua keadaan bagi pasangan yang telah lama berkahwin:
Pertama, terdapat pasangan yang masih saling sayang menyayangi, malahan
hubungan menjadi lebih utama apabila semakin lama usia perkahwinan, kerana
pada peringkat tersebut perkahwinan lebih memupuk perasaan saling perlu
memerlukan dan persahabatan di antara keduanya.
Kedua, terdapat pasangan yang semakin lama usia perkahwinan mereka maka
semakin pudar kemesraan dan kasih sayang antara keduanya. (lama bermaksud
tujuh tahun ke atas).
Oleh sebab matlamat perkahwinan ialah untuk mengekalkan
“Mawaddah” dan “Sakinah” di dalam sebuah rumah tangga, dan penceraian
merupakan satu perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT maka motif
utama rundingan pada peringkat ini ialah:
(a) Memperhebatkan kembali ikatan suami isteri;
(b) Memberi panduan untuk mengatur program kehidupan demi untuk
mengelakkan dari rasa bosan dan kesunyian;
(c) Oleh kerana perkahwinan dalam kategori ini melibatkan mereka yang
telah berusia pastilah dalam jangkamasa yang begitu lama semakin
banyak pula masalah yang timbul sama ada dari aspek sosial, ekonomi,
mental, fizikal dan sebagainya. Oleh itu jika masalah yang timbul terlalu
serius maka masalah tersebut mesti diatasi atau jika perlu dirujukkan
kepada mereka yang mempunyai kepakaran.
Sebagai kesimpulan bentuk rundingcara pada peringkat ini lebih
berbentuk menyedarkan atau peringatan dan juga perawatan atau
pemulihan (curative and rehalilitative).
Runding Cara Menurut Perspektif Undang-Undang
Keluarga Islam Di Malaysia
Sebelum tahun lapan puluhan terdapat kesedaran bahawa perlu diletakkan
pegawai wanita di Pejabat Qadi sebagai pembantu kepada Qadi. Negeri yang
pertama mewujudkan jawatan Pegawai Wanita ialah Negeri Selangor. Kemudian
diikuti oleh negeri-negeri lain. Ternyata pegawai-pegawai tersebut ditegaskan
hanya sebagai pembantu Qadi di dalam melayani aduan di samping menasihati
mereka.
Ternyata masyarakat Islam yang sedang berkembang pesat menghadapi
proses pembangunan di Malaysia sedang berhadapan dengan suatu kenyataan.
Kenyataan tersebut ialah unsur-unsur yang boleh meruntuhkan nilai-nilai insani
telah mula menular bukan sahaja di bandar-bandar malahan juga ke desa-desa.
Kesannya akhlak mulia manusia sudah mula rosak, kebendaan menjadi nilai
utama dan masalah rumah tangga juga perlu turut meningkat.
Oleh itu pelaksanaan undang-undang Keluarga Islam adalah bertujuan
untuk mewujudkan keluarga bahagia dan mempastikan perlindungan kepada
pihak yang teraniaya. Maka demi untuk mencapai matlamat tersebut kita tidak
semestinya beranggapan bahawa segala “hukuman” yang terkandung di dalam
undang-undang berkenaan dapat menggarap kesemua permasalahan keluarga
tanpa melihat bahawa kadang-kadang kesalahan itu dilakukan oleh manusia
kerana dia tidak tahu, jiwanya tidak tenteram atau berbagai-bagai masalah lagi.
Maka adalah lebih adil sebelum ia menerima sebarang “hukuman” maka ia
dinasihati atau dipulihkan. Semoga ikatan perkahwinan yang hampir terlerai itu
akan berjaya diselamatkan.
Sebenarnya tidak terdapat suatu peruntukan khusus tentang rundingcara
perkahwinan di dalam undang-undang keluarga, tetapi secara tidak langsung
terdapat peruntukan yang memerlukan Mahkamah menasihati kedua-dua pihak
yang terlibat sebelum meluluskan perceraian. Misalnya jika suatu pihak telah
bersetuju untuk bercerai dan Mahkamah telah berpuashati setelah melakukan
penyiasatan bahawa perkahwinan tersebut tidak boleh diselamatkan, maka
Mahkamah hendaklah menasihati pihak suami supaya melafazkan talaq.
Manakala dalam keadaan di mana suatu pihak lagi tidak bersetuju dengan
perceraian atau terdapat kemungkinan untuk berdamai maka Mahkamah
hendaklah melantik Jawatankuasa Pendamai yang terdiri dari seorang Pegawai
Agama (Pengerusi) dan dua orang lagi yang mewakili pihak suami dan isteri.
Di samping itu terdapat institusi HAKAM bagi menyelesaikan masalah
shiqaq yang berlaku di antara kedua suami isteri. Jika sekiranya HAKAM yang
dilantik buat pertama kali gagal untuk mendapat jalan penyelesaian maka
dilantik HAKAM yang baru.
Ternyata keadaan dewasa ini memerlukan kita menghayati sepenuhnya
syariat Islam demi untuk kesejahteraan di dunia dan akhirat. Oleh itu, prinsipprinsip
pembinaan sebuah rumah tangga menurut perspektif Islam hendaklah
dihayati dan didokong dengan sepenuhnya. Berdasarkan kepada apa yang
berlaku ternyata persoalan berhubung dengan rundingcara perkahwinan di
kalangan masyarakat Islam perlu diperbaiki dan diperkemaskan. Oleh itu
dicadangkan:
(a) Setiap Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian mempunyai Unit
Rundingcara.
(b) Setiap Unit Rundingcara mestilah mempunyai seorang kaunselor lelaki
dan seorang kaunselor wanita.
(c) Kerajaan Negeri mestilah membuat peruntukan bagi jawatan
Kaunselor.
(d) Seorang Kaunselor mestilah mempunyai ijazah Pertama dalam bidang
Syariah dan diploma dalam bidang rundingcara.
(e) Setiap Enakmen Keluarga Islam mestilah membuat peruntukan yang
khusus berhubung dengan Unit Rundingcara dan bidang kuasa dan
tugas-tugasnya.
(f) Peruntukan berhubung dengan Jawatankuasa Pendamai dan HAKAM
mestilah dirombak untuk diubahsuai dengan peruntukan berhubung
dengan Unit Rundingcara.
No comments:
Post a Comment