Monday, February 23, 2009

CARA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA ( WASIAT, HIBAH, WAQAF ) .

WASIAT
Tujuan utama penyediaan wasiat ini bukanlah untuk menentukan pembahagian harta pusaka kepada waris, tetapi untuk memudahkan peralihan harta pusaka si mati yang telah dibekukan (disebabkan meninggal dunia) kepada waris, dengan melantik wasi/pentadbir harta pusaka yang sah (seperti Amanah Raya Berhad). Dan kemudian barulah harta pusaka dapat dibahagikan mengikut faraid dan cara yang dipersetujui.
- wasiat kebiasaannya akan diuruskan oleh pentadbir yang telah diamanahkan oleh pewasiat untuk dibahagikan kepada waris-waris mengikut faraidh ataupun mengikut cara yang dikehendaki oleh pewasiat. Pentadbir akan melunaskan segala hutang si mati atau apa-apa perkara yang belum sempat dilaksanakan oleh pewasiat barulah dibahagikan harta lebihan kepada ahli waris.
- untuk wasiat ini pewasiat hendaklah menulis wasiat melalui wakil-wakil yang membuat urusan wasiat seperti AMANAH RAYA BERHAD, FIRMA GUAMAN yang diiktiraf atau mana-mana ejen penulis wasiat. Satu dokumen wasiat akan diberikan kepada pewasiat yang mana di dalamnya mengandungi beberapa maklumat yang mesti diisi oleh pewasiat.
- segala pembahagian harta si pewasiat adalah boleh mengikut hukum faraid atau sebaliknya yang ditetapkan pewasiat.
- Pewasiat akan melantik pentadbir harta bagi mentadbir hartanya selepas pewasiat meninggal dunia.
CIRI-CIRI WASIAT ISLAM
Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:
1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.
2. Penerimanya hendaklah bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.
3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.
4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.
5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan pembayaran hutang simati.

APAKAH HARTA / TANGGUNGAN
YANG MEMERLUKAN DOKUMEN WASIAT?
• Rumah, Tanah, Kereta
• Akaun Bank (akaun simpanan dan semasa)
• Takaful, Insuran, KWSP, Tabung Haji, Akaun Saham Amanah
• Saham syarikat persendirian dan tersenarai
• Hutang-hutang agama (zakat, haji, nazar, fidyah, kifarah) yang belum ditunaikan
• Hutang-hutang sesama manusia yang belum ditunaikan

BENTUK DAN ISI DALAM PENULISAN WASIAT ( info dari Amanah Raya Berhad )
Dokumen Wasiat Amanah Raya terdapat dua jenis:
A. D okumen WasiatAsas
B. Dokumen Wasiat Komprehensif


A.Dokumen Wasiat Asas mengandungi:
1. Wasiat Terakhir Amanah Raya : 4 mukasurat
2. Borang permohonan Penyediaan/ Penyimpanan Wasiat dimana mempunyai dua bahagian:
a. Keterangan Mengenai Pewasiat
b. Pengakuan Pewasiat
B. Dokumen Wasiat Komprehensif mengandungi:
1. Keterangan Mengenai Pewasiat
2. Keterangan Mengenai Penjaga (Jika ada Kanak-Kanak)
3. Keterangan Mengenai Waris
4. Keterangan Mengenai Harta Pewasiat
4.1 Harta Tak Alih (contoh: Tanah/ Rumah)
4.2 Harta Alih (Contoh: Tunai/ Akaun Bank/ Saham)
5. Keterangan Mengenai Saksi-Saksi
6. Arahan Pewasiat
Tambahan: 1. Senarai Hutang (Mereka Pewasiat Hutang)
2. Senarai Pemiutang ( Mereka yang Berhutang kepada Pewasiat)
3. Maklumat harta Sepencarian
4. Pembahagian Pusaka Kepada Bukan Waris
7. Pengakuan Pewasiat
8. Untuk Kegunaan Pejabat

Rujukan : http://isiwasiat.blogspot.com/. (5.4.2008)
: http://www.iplanner.org/.Discovering Islamic financial planning world,( 5.2.2008)
: http://www.warisanmukmin.com/wasiat.htm (27/9/2008)
Rohana
Perunding Eksekutif [KOD PE 080]
Warisan Mukmin Sdn Bhd
[Agen Korporat Amanah Raya Berhad].














PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Rukun-rukun Pusaka
Pusaka ada tiga rukun :
o Orang yang mewariskan hartanya . Iaitu si mati yang hartanya boleh diwarisi.
o Waris . Iaitu orang yang ada hubungan dengan si mati melalui hubungan yang akan disebutkan nanti.
o Harta yang dipusakai . Iaitu harta peninggalan yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya.
Syarat-syarat Pusaka
Pusaka ada empat syarat :
o Kematiannya telah disahkan atau ia dianggap telah mati. Contohnya janin yang keluar dalam keadaan tidak bernyawa ketika ibunya masih hidup, atau janin yang keluar dalam keadaan tidak bernyawa setelah kematian ibunya disebabkan jenayah yang dilakukan ke atas ibunya. Oleh itu, janin itu dianggap masih hidup sebelum peristiwa tersebut dan kematiannya dianggap disebabkan jenayah yang dilakukan ke atas ibunya.
Ataupun, seseorang dianggap mati secra hukmi (secara hukumnya dia dianggap mati). Contohnya seorang hakim, berdasarkan penilaian (ijtihad) beliau mengesahkan kematian seseorang yang hilang.
o Waris disahkan masih hidup ketika kematian si mati walaupun hanya sedetik.
o Hubungan waris dengan si mati diketahui sama ada melalui hubungan kekeluargaan, pernikahan atau wala’.
o Hubungan yang melayakkan waris mewarisi harta dihuraikan secara terperinci. Syarat ini dilaksanakan oleh hakim. Oleh itu hakim tidak boleh menerima pengakuan waris sewenang-wenangnya, seperti melalui pengakuan seorang saksi kepada hakim : “Orang ini adalah waris si mati”. Malah dalam pengakuannya, saksi hendaklah menjelaskan sebab yang melayakkan waris ini menerima pusaka. Pengakuan saksi juga tidak cukup sekadar berkata : “Ini adalah sepupu si mati”. Malah mesti diketahui hubungan mereka berdua secara terperinci.
Pelaksanaan Hukum Pusaka adalah Wajib
Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, sunnah dan ijmak ulamak. Ia sama seperti hukum sembahyang, zakat, muamalat, dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah dan diabaikan walaupun ia telah lama disyariatkan. Ia merupakan syariat Allah Yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimanapun sekali manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah tetap yang terbaik. Allah berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 13-14 yang bermaksud :
“Segala hukum tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang sangat besar. Dan sesiapa yang durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina”.
Dan juga di dalam surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud : “Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia tlah sesat dengan kesesatan yang nyata”.
Pewaris Lelaki dan Perempuan
Orang-orang lelaki yang boleh mewarisi
Terdapat 10 golongan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan wala’, iaitu :
• Anak lelaki (al-Ibn).
• Anak lelaki kepada anak lelaki (ibn al-ibn) dan ke bawah.
• Bapa (al-Ab)
• Datuk (al-Jadd) iaitu bapa kepada bapa dan ke atas.
• Adik beradik lelaki (al-Akhy) seibu sebapa, sebapa atau seibu.
Al-Quran telah meletakkan hak mutlak kepada semua adik beradik lelaki untuk mewarisi harta. Walau bagaimanapun hak mereka berbeza mengikut kedudukan (seibu sebapa, sebapa atau seibu).
• Anak lelaki kepada adik beradik lelaki seibu sebapa (ibn al-Akh al-Shaqiq) dan sebapa (ibn al-Akh min al-Um), dia termasuk dalam golongan zawil arham (kaum kerabat) dan tidak berhak menerima pusaka secara fard.
• Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (al-Amm al-Shaqiq) dan sebapa (al-Amm min al-Ab). Berbeza dengan bapa saudara sebelah bapa seibu (al-Amm min al-Um), dia tidak berhak menerima pusaka secara fard kerana dia temasuk zawil arham (kerabat).
• Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (Ibn al-Amm al-Shaqiq) dan sebapa (Ibn al-Amm min al-Ab). Berbeza dengan anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu (Ibn al-Amm min al-Um), dia tidak berhak menerima pusaka secara fard kerana dia termasuk Zawil Arham.
• Suami (al-Zawj).
• Orang yang memerdekakan hamba. Mereka adalah golongan asabah kerana diri sendiri
Jika kita ingin menghitung mereka satu persatu, mereka boleh dibahagikan kepada lima belas (15) golongan.
Ini kerana golongan kelima mengandungi tiga pecahan, golongan keenam mengandungi dua pecahan, golongan ketujuh mengandungi dua pecahan dan golongan kelapan juga mengandungi dua pecahan.
Imam al-Rahabi menyebut dalam bait al-Rahabiyyah karangannya

Pewaris lelaki ada sepuluh
Mereka ini sememangnya diketahui umum
Al-Ibn dan ibn al-Ibn ke bawah
Al-Ab, al-Jadd, seterusnya ke atas
Al-Akh dari mana kedudukan
Telah Allah tetapkan hak mereka dalam al-Quran
Ibn al-Akh yang dihubungkaitan dengan bapa
Maka dengarlah ungkapan yang bukannya dusta ini
Al-Amm dan ibn al-Amm min al-Ab
Maka bersyukurlah kepada pemberi penjelasan dan pemberi ingatan
Al-Zawj dan orang yang memerdekakan hamba yang memiliki wala’
Demikianlah kesemua lelaki ini.

Wanita yang boleh mewarisi harta
Wanita yang boleh mewarisi harta melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan wala’ secara ringkasnya ada tujuh ataupun sepuluh jika diperincikan.
• Anak perempuan (al-Bint)
• Anak Perempuan kepada anak lelaki (bint al-ibn) dan ke bawah
• Ibu (al-Umm)
• Nenek dari sebelah ibu atau bapa (al-Jaddah min al-Umm aw al-Ab) dan ke atas.
• adik beradik perempuan (al-Ukht) daripada mana-mana kedudukan, sama ada seibu sebapa (al-shaqiq) atau sebapa (lil-Ab) atau seibu (lil-Umm).
• Isteri atau isteri-isteri (al-Zaujah)
• wanita yang memerdekakan hamba.
Imam al-Rahabiyyah menyebut dalam bait syair karangannya :
Wanita yang mewarisi pusaka ada tujuh
Syarak tidak memberi selain daripada tujuh wanita ini
Al-Bint, bint al-Ibn dan al-Umm yang pengasih
Al-Zaujah, al-Jaddah, dan wanita yang memerdekakan hamba.
Al-Ukht daripada mana-mana kedudukan
Demikian diterangkan bilangan mereka
Lelaki yang boleh mewarisi pusaka jika kesemua waris hidup
Apabila kesemua waris lelaki yang disebutkan tadi hidup ketika kematian si mati, hanya tiga golongan sahaja yang layak menerima pusaka kerana mereka tidak boleh dihijab (dihalang) sama sekali. Sementara yang lain hilang kelayakan untuk mewarisi pusaka menurut ijmak ulama’ kerana mereka boleh dihijab (dihalang). Mereka ialah bapa (al-Abb) , anak lelaki (al-Ibn) dan suami (al-Zawj).
Wanita yang boleh mewarisi pusaka jika kesemua waris hidup
Jika kesemua waris wanita yang disebut di atas masih hidup, hanya lima golongan sahaja yang akan mewarisi harta pusaka.
Mereka ialah anak perempuan (al-Bint), anak perempuan kepada anak lelaki (bint al-Ibn), ibu (al-Umm), adik beradik perempuan seibu sebapa (al-Ukht al-Shaqiqah) dan isteri (al-Zawjah)
Jika kesemua waris hidup
Jika kesemua waris lelaki dan perempuan ini masih hidup ketika kematian si mati, hanya lima golongan sahaja yang boleh mewarisi harta sementara yang lain gugur hak mereka.
Mereka ialah anak lelaki (al-Ibn), anak perempuan (al-Bint), bapa (al-Abb), ibu (al-Umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri.
• Para ahli feqah menyebut, berdasarkan senarai waris lelaki, jika seorang sahaja yang hidup semasa kematian si mati, dia boleh mewarisi kesemua harta kecuali suami dan adik beradik lelaki seibu (al-Akh lil Umm). Sementara waris wanita pula, jika seorang sahaja yang masih hidup, dia tidak boleh mewarisi kesemua harta kecuali wanita yang memerdekakan hambanya.
Ahli waris Yang Layak dan Ahli Waris Yang Berhak Menerima Harta Pusaka
• Ahli waris yang layak menerima harta pusaka terdiri dari 3 golongan iaitu ashabul furud, asabah dan dhawil arham.
• Golongan Ashabul Furud bermaksud waris yang telah mendapat bahagiannya mengikut faraid iaitu ½, 1/3, ¼, 1/6, 1/8 dan 2/3 yang telah ditetapkan mengikut syarak.
• Golongan Asabah Nasabiah pula adalah golongan waris yang tidak mendapat bahagian yang ditetapkan tetapi boleh menghabiskan baki harta setelah dibahagikan kepada Ashabul-Furud.
• Golongan Dhawil Arham adalah kaum kerabat si mati tetapi tidak termasuk dalam golongan Ashabul Furud dan tidak pula dalam golongan Asabah.
• Merujuk kepada ahli waris yang berhak menerima bahagian harta pusaka, mereka terdiri daripada lelaki dan perempuan.
• Terdapat sepuluh golongan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan wala’. Mereka itu adalah :
• Anak lelaki
• Anak lelaki kepada anak lelaki dan kebawah
• Bapa
• Datuk (sebelah bapa ke atas)
• Saudara lelaki seibu sebapa, sebapa dan seibu
• Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa dan sebapa
• Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa dan sebapa
• Suami
• Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa dan sebapa
• Lelaki yang memerdekakan hamba
• Manakala bagi golongan perempuan yang berhak menerima harta pusakanya adalah :
• Anak perempuan
• Anak perempuan kepada anak lelaki dank e bawah
• Ibu
• Nenek sebelah ibu atau bapa dan ke atas
• Adik-beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu
• Isteri atau isteri-isteri
• Wanita yang memerdekakan hamba
Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam
Pengurusan pewarisan dalam Islam sangat penting terutama dalam zaman moden ini dimana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru. Antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga boleh mencetuskan pertikaian, perbalahan, pergaduhan serta permusuhan di antara suami isteri, ibu bapa, anak beranak, saudara mara atau sebagainya. Apabila kebendaan dijadikan kayu ukur utama, krisis keluarga lebih mudah berlaku dan rumah tangga mudah menjadi porak peranda.
Krisis keluarga akibat kepentingan kebendaan bertambah parah dengan tiadanya kefahaman masyarakat kita tentang ilmu pembahagian harta pusaka atau apa yang disebut sebagai ilmu faraid.
Ini adalah kerana ilmu faraid merupakan ilmu yang mula-mula diangkat dari umat manusia. Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Hendaklah kamu pelajari ilmu faraidh, maka sesungguhnya ilmu faraidh adalah suruhan dari agama kamu dan bahawasanya ilmu faraidh adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut dari umatku.”(Riwayat Ahmad)
Sesungguhnya ilmu faraid itu dicabut bukan dengan dicabut dari manusia tetapi dengan kematian para ulama yang boleh membicarakannya. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w :
“Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula ” (Mutafaq ‘alaih)
Seperdua daripada ilmu
Sesungguhnya pada masa ini tidak ramai dikalangan ulama kita yang mahir dalam ilmu faraid jika dibandingkan dengan ilmu fiqh lain seperti solat, puasa dan lain-lain sedangkan hadis yang pertama di atas menerangkan tentang betapa pentingnya ilmu faraid sehinggakan di anggap sebagai seperdua daripada ilmu. Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid dan kamu ajarkan kepada manusia, maka sesungguhnya akulah orang yang didalam genggaman Allah dan bahawa ilmu faraid itu kelak akan digenggam dan akan nyata beberapa fitnah sehingga berselisih dua orang mengenai faraid, maka kedua-duanya tidak memperolehi orang yang menghukumkan dan menyelesaikan perselisihan di antara keduanya.” (Ibnu Majah)
Hadis-hadis di atas nampaknya memperkatakan apa yang sedang berlaku pada masa ini kerana tidak ramai dikalangan ulama kita yang mahir dalam bidang faraid. Malah tidak banyak surau atau masjid yang membicarakan tentang ilmu faraid sebaliknya kuliah-kuliah yang diadakan di kebanyakkan masjid berputar disekitar rukun Islam yang lima. Rata-rata seseorang yang ingin mengetahui tentang ilmu faraid terpaksa menunggu seminar atau bengkel yang jarang sekali di adakan. Ini adalah kerana untuk memahami ilmu faraid, seseorang itu harus menggarap dengan baik ilmu usul dan ilmu hisab sekali gus.
Pemahaman terhadap faraid
Mungkin kurangnya kefahaman tentang ilmu faraid membuat sebahagian umat Islam memberikan komen yang negatif terhadap ilmu faraid. Sebaliknya mereka yang faham tentang ilmu faraid telah memberikan komen yang baik walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan untuk memperlecehkan hukum Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan ”Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun” Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan, ”Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dalam ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan apa sekalipun, boleh ditentukan.”
Waris-waris yang berhak menerima harta pusaka
Kepentingan ilmu faraid mendapat tempat di dalam Al-Quran; yang mana Al-Quran sendiri menerangkan dengan agak panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka sedangkan ianya bukan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Menurut seorang mufassirin yang terkenal, Imam Ibnu Kathir, terdapat tiga ayat utama di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang pembahagian harta pusaka iaitu di dalam surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah berfirman :
“Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh seperdua harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa'atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (4:11)
Seterusnya dalam ayat 12 Al-Quran menyatakan :
“Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dariharta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” (4:12)
Kedua-dua ayat tersebut menerangkan dengan panjang lebar tentang bahagian-bahagian yang diperuntukkan kepada ibu, bapa, serta isteri atau suami. Ayat 12 juga menerangkan bahagian saudara kandung seibu, samada lelaki atau perempuan. Walaupun kedua-dua ayat tersebut agak jelas, namun kefahaman tentang ilmu faraid itu bergantung daripada satu lagi sumber syariah : iaitu As-Sunnah atau dikenali juga dengan Al-Hadis. Berdasarkan kepada Al-Quran, Al-Hadis serta pandangan dan pendapat sahabat, para ulama telah membuat beberapa rumusan bagi memudahkan orang awam seperti kita untuk mengetahui tentang pembahagian harta pusaka menurut Islam. Mereka menyatakan waris-waris yang layak menerima harta pusaka adalah seperti berikut :
Dari pihak lelaki
• Anak lelaki
• Cucu lelaki dari anak lelaki
• Bapa
• Datuk sebelah bapa ke atas
• Saudara sekandung
• Saudara seayah
• Saudara seibu
• Anak lelaki dari saudara sekandung
• Anak lelaki dari saudra seayah
• Bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah si mati.
• Bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah si mati.
• Anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah).
• Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah)
• Suami.


Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam
Dari pihak perempuan
• Anak perempuan
• Cucu perempuan dari anak lelaki dan terus ke bawah
• Ibu
• Nenek sebelah bapa dan ke atas
• Nenek sebelah ibu dan ke atas
• Saudara perempuan sekandung
• Saudara perempuan sebapa
• Saudara perempuan seibu
• Isteri
Sehubungan dengan ini, jika kesemua waris ada, yang berhak menerima pusaka hanya suami atau isteri, ibu, bapa, anak lelaki dan anak perempuan sementara yang lain tidak dapat mewarisi. Waris-waris yang lain, yang berada diluar bulatan pertama dihijab atau di dinding oleh lima waris ini. (Perbincangan mengenai hijab akan dibincangkan pada siri-siri akan datang). Gambarajah dibawah menunjukkan lima waris utama yang berhak menerima pusaka jika semua waris berkumpul.


Bahagian yang telah ditetapkan
Sebenarnya ilmu faraid tidaklah susah; asasnya boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya. Cuma, apabila kita sampai ketahap yang lebih mendalam, barulah kita mendapati perkara yang berkaitan dengan faraid agak sukar diselesaikan. Untuk kes-kes biasa, di mana simati meninggalkan waris-waris utama iaitu suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak, tidaklah sukar. Kedua-dua ayat al-Quran di atas, iaitu ayat 11 dan ayat 12 Surah An-Nisa dapat dijadikan panduan. Berdasarkan kepada ayat-ayat dan gambarajah di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa pada amnya ibu bapa mendapat 1/6 daripada harta pusaka, isteri mendapat ¼ jika suami yang meninggal tidak meninggalkan anak dan 1/8 jika suami yang meninggal ada meninggalkan anak. Begitu pula suami mendapat 1/2 jika isteri yang meninggal tiada meninggalkan anak dan 1/4 jika isteri yang meninggal ada meninggalkan anak. Baki daripada harta pusaka adalah untuk anak-anak dimana anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan. Jadual berikut memberikan penerangan mengenai perkara ini.
Waris Bahagian Kenyataan didalam Al-Quran*
Suami 1/2 Jika isteri tidak ada meninggalkan anak
1/4 Jika isteri ada meninggalkan anak
Isteri 1/4 Jika suami tidak ada meninggalkan anak
1/8 Jika suami ada meninggalkan anak
Anak perempuan 1/2 Jika seorang sahaja dan tiada anak lelaki
2/3 Jika lebih daripada seorang dan tiada anak lelaki
Ibu 1/3 Jika yang tinggal ibu dan bapa sahaja
1/6
Bapa 1/6
• Ulama ada membuat penafsiran mengenai kenyataan-kenyataan tersebut tetapi disini diterjemahkan secara literal sahaja.

• Cara penyelesaian Sebagai contoh, katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan ibu, bapa, isteri, seorang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Maka disini ibu bapa masing-masing akan mendapat 1/6 setiap seorang, isteri mendapat 1/8 (kerana suami meninggal ada meninggalkan anak) dan bakinya adalah untuk anak-anak dibahagikan mengikut kadar 2:1 bagi lelaki : perempuan. Cara untuk menyelesaikan masalah untuk kes-kes seperti di atas adalah seperti berikut :
1. Berikan bahagian suami/isteri jika ada
2. Berikan bahagian ibu jika ada
3. Berikan bahagian bapa jika ada
4. Campurkan semua, katakan jawapannya S
5. Tolak daripada 1 (iaitu 1-S) dan dapatkan baki, katakan B
6. Ambil bilangan anak lelaki dan darab dua, katakan 2b
7. Campurkan dengan bilangan anak perempuan, katakan p
8. Bahagian setiap anak lelaki = 2/(2b+p) X B
9. Bahagian setiap anak perempuan = 1/(2b+p) X B
Untuk mendapatkan S, kita hendaklah mencari gandaan sepunya terkecil (GSTK) bagi jumlah bahagian-bahagian suami/isteri, ibu dan bapa. Untuk kes di atas, GSTK ialah 24 kerana 24 adalah gandaan terkecil yang boleh dibahagi oleh 6, (iaitu penyebut bagi bahagian ibu dan bapa) dan 8, iaitu penyebut bagi bahagian isteri. Jadi, 1/6 bersamaan dengan 4/24 dan 1/8 bersamaan dengan 3/24. Maka S ialah :
S = 1/6 + 1/6 + 1/8 = 4/24 + 4/24 + 3/24 = 11/24
Maka baki B yang boleh dibahagikan kepada anak-anak ialah 1 – 11/24 = 13/24.
Untuk mendapatkan bahagian setiap anak lelaki dan perempuan, darab bilangan anak lelaki dengan 2 dan tambah dengan bilangan anak perempuan iaitu 1 X 2 + 3 = 5. Maka bahagian anak lelaki ialah 2/5 X 13/24 dan bahagian setiap anak perempuan ialah 1/5 X 13/24. Penyelesaian sepenuhnya adalah seperti berikut :
Bahagian anak lelaki ialah : 2/5 X 13/24 = 26/120
Bahagian setiap anak perempuan ialah : 1/5 X 13/24 = 13/120
Bahagian ibu dan bapa masing-masing ialah 1/6 = 4/24 = 20/120
Bahagian isteri ialah 1/8 = 3/24 = 15/120
Gambar rajah berikut memberikan gambaran penyelesaian kepada masalah tersebut.

Kaedah di atas juga boleh digunakan asalkan terdapat anak lelaki dan anak perempuan. Katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dalam kes ini, berdasarkan kepada ayat 12, isteri mendapat 1/8. Jadi bakinya ialah 7/8. Anak lelaki akan mendapat dua kali ganda anak perempuan. Berdasarkan kepada keadah di atas, anak lelaki akan mendapat 2/3 X 7/8 iaitu 14/24 dan anak perempuan akan mendapat 1/3 X 7/8 = 7/24.
Gambar rajah berikut memberikan gambaran penyelesaian kepada masalah tersebut.

Sebagai contoh yang lain, mungkin pembaca boleh menyelesaikan masalah berikut. Katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, bapa, dua orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Berapakah bahagian isteri dan setiap anak lelaki dan perempuan?
Hak Wanita dalam Sistem Pewarisan Islam
Jadi disini seolah-olah isteri sebagai wanita tidak mendapat hak yang sepatutnya. Disamping itu ayat 11 Surah An-Nisa memberikan bahagian anak lelaki dua kali ganda bahagian anak perempuan. Sehubungan dengan ini mungkin terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam dengan mengatakan bahawa Al-Quran meletakkan wanita dikelas kedua. Ini adalah kerana mereka tidak mengkaji hukum Islam secara menyeluruh. Sebagai contoh, anak lelaki diberikan bahagian dua kali ganda bahagian anak perempuan kerana lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan bukannya perempuan. Jika anak lelaki dan anak perempuan mendapat bahagian sama banyak sedangkan anak lelaki tadi mempunyai tanggungjawab yang berlebihan; iaitu memberikan nafkah kepada isteri (menantu simati) dan anak-anaknya (cucu simati) sedangkan anak perempuan tidak dibebankan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya suami beliau, iaitu menantu simati yang di pertanggungjawabkan untuk memikul beban tersebut. Disini jelas bahawa Islam memberikan hak bersesuaian dengan tanggungjawab.
Kesaksamaan
Sebaliknya apa yang berlaku di zaman moden ini ialah sistem kekeluargaan telah menjadi kucar kacir kerana sesetengah wanita menuntut hak yang sama dengan lelaki tetapi mereka ingin mengekalkan tanggungjawab yang sedikit. Sebagai contoh seorang wanita Muslim inginkan hak untuk bekerja, meninggalkan rumah dan mendapatkan gaji tetapi mereka menuntut agar suami menanggung semua perbelanjaan rumah dan menyara anak-anak sehinggakan kadang-kadang sang suami terpaksa menanggung hutang yang banyak sedangkan sang isteri dapat menyimpan wang dan membeli perhiasan yang mahal. Begitu juga dengan sesetengah pihak lelaki; mereka mahukan bahagian dua kali ganda saudara perempuan mereka tetapi menyerahkan kepada saudara perempuan untuk menjaga ibu tua yang telah kematian suami. Keporakperandaan sesuatu keluarga ini terjadi kerana berpunca daripada sikap cintakan dunia dan kebendaan dan tidak mempunyai keyakinan kepada ketetapan dan peraturan yang Allah telah berikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah.
Sesetengah pihak menyarankan agar sistem kekeluargaan dan sistem perwarisan dirombak untuk menyesuaikan dengan zaman moden dengan mencadangkan agar bahagian lelaki diberikan sama banyak dengan bahagian wanita. Mereka seterusnya mencadangkan juga agar wanita (isteri) hendaklah bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak dan menyediakan perbelanjaan isirumah serta lain-lain perbelanjaan termasuk pendidikan anak-anak. Malah inilah yang telah berlaku di barat. Sehubungan dengan ini, amatlah wajar bagi setiap orang menyedari bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara yang berkaitan dan sebijak mana pun manusia mereka tidak dapat menandingi ilmu Allah. Berhubung dengan harta pusaka, Al-Quran menyatakan “ ....Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi MahaBijaksana” (An-Nisa : 11). Seterusnya Al-Quran menyatakan, “....(Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi MahaPenyantun” (An-Nisa : 12)
Teliti
Perlu diingatkan bahawa Al-Quran bukan sahaja menyatakan dengan jelas hak wanita yang terdekat iaitu ibu, isteri dan anak perempuan, tetapi juga menyatakan bahagian-bahagian untuk kaum wanita yang lain iaitu saudara perempuan. Al-Quran juga memperuntukkan hak saudara-saudara perempuan dalam keadaan-keadaan tertentu; sebagai contoh, jika simati tidak mempunyai anak. Sehubungan dengan ini Al-Quran menyatakan “Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah. Katakanlah :"Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu) : jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang,maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudaralaki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (An-Nisa : 176)
Ayat ini menunjukkan kepada kita seolah-olah saudara perempuan mengambil tempat anak perempuan jika simati tidak mempunyai anak perempuan. Walaubagaimanapun, para ulama kita menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan “saudara lelaki” dan “saudara perempuan” ialah saudara sekandung; iaitu saudara seibu sebapa. Jika tiada saudara kandung, ianya diertikan kepada saudara sebapa. Ayat tersebut tidak berlaku kepada saudara (lelaki atau perempuan) seibu kerana hak-hak saudara perempuan seibu sebapa telah dinyatakan dalam ayat 12 Surah An-Nisa: “..........Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). .......” (AnNisa : 12)
Hak Wanita Dalam Sistem Pewarisan Islam – Beberapa permasalahan tentang bahagian ibu
Dalam bahagian lepas, kita telah membicarakan bahagian isteri dan bahagian anak perempuan. Kali ini kita membicarakan tentang satu lagi golongan perempuan yang terdekat dengan simati iaitu ibu. Al-Quran menjelaskan bahawa ibu mendapat satu per enam atau satu per tiga daripada harta pusaka. Ini dijelaskan melalui ayat “...Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam ...” (An-Nisa : 11)
Sesetengah daripada kita mungkin bertanya, “Jika ibu berserta bapa berhak mendapat satu per enam seorang, bukankah ini melebihi bahagian anak-anak, terutama simati yang mempunyai anak yang ramai?”. Persoalan tersebut timbul kerana naluri manusia yang inginkan yang sebaiknya untuk anak-anak mereka. Mereka kadang-kadang merasakan bahawa ibu-bapa tidak perlu kepada harta pusaka kerana sebab-sebab yang mereka lebih arif. Itu memang benar, tetapi Allah lebih mengetahui dan Allah memberikan jawapannya lebih awal dengan firmanNya, “(Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa'atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Akhir ayat 11 Surah An-Nisa)
Bahagian ibu
Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa ibu mendapat bahagian satu perenam daripada harta pusaka dalam keadaan berikut :
1. Apabila simati meninggalkan anak, samada lelaki atau perempuan, seorang ataupun banyak. Para ulama juga menyatakan bahawa “anak” di sini juga bermaksud keturunan daripada anak lelaki; sebagai contoh, cucu daripada anak lelaki dan sehingga kebawah.
2. Apabila simati meninggalkan lebih daripada seorang saudara samada semuanya saudara lelaki atau semuanya saudara perempuan atau sebahagian lelaki dan sebahagian perempuan, saudara seibu sebapa, saudara sebapa atau saudara seibu.
Ini bererti dalam kebanyakan kes, ibu mendapat satu perenam. Dalam beberapa kes ibu mendapat satu per tiga. Ibu akan mendapat bahagian satu per tiga apabila simati tidak meninggalkan anak atau cucu daripada anak lelaki atau tidak meinggalkan beberapa saudara. Perkara ini jelas daripada Al-Quran. Walaubagaimanapun, terdapat dua kes di mana bahagian ibu tidak jelas dan para ulama berselisih pendapat mengenainya.
Dua kes tersebut dinamakan kes gharawain. Ia juga dinamakan Umaryatin kerana diputuskan oleh Saidina ‘Umar Ibnul Khattab, khalifah Islam yang kedua. Kedua kes tersebut adalah seperti berikut:
1. Seorang perempuan yang meninggal dunia meninggalkan suami, ibu dan bapa sahaja.
2. Seorang lelaki yang meninggal dunia meninggalkan isteri, ibu dan bapa sahaja.
Penyelesaian
Sebelum kita membincangkan dengan lebih mendalam, cuba kita selesaikan kes pertama seperti biasa berpandukan kepada Al-Quran. Mengikut kaedah biasa, pembahagiannya adalah : suami mendapat setengah (kerana isteri meninggal tidak meninggalkan anak), ibu mendapat satu per tiga dan bapa mendapat satu per enam. Ilustrasi berikut memberikan gambaran kepada kes tersebut.

Disini seolah-olah terdapat kejanggalan jika ibu mendapat lebih daripada bapa. Ini berlawanan dengan konsep lelaki mendapat dua kali ganda bahagian perempuan. Sebagai contoh, anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan. Sehubungan dengan ini mazhab Shafie mengambil pandangan yang memberikan ibu sebanyak satu perenam dan bapa satu pertiga. Ini berdasarkan kepada keputusan Saidina Umar r.a yang diikuti oleh beberapa sahabat seperti Uthman khalifah kedua, Zaid bin Thabit pakar faraid yang ulung, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Mereka berpendapat bahawa ibu mendapat satu pertiga daripada lebihan setelah ditolak bahagian suami iaitu satu perenam dan selebihnya, satu pertiga, diberikan kepada bapa. Ilustrasi berikut memberikan gambaran kepada pandangan ini.
CARA PEMBAHAGIAN
• Berikan bahagian suami iaitu 1/2.
• Lebihannya ialah 1/2
• Daripada lebihan 1/2 ini kita berikan 1/3 kepada ibu. Ini sama dengan 1/6 daripada keseluruhan.
• Baki keseluruhan iaitu 1/3 diberikan kepada bapa.
• Jadi bapa mendapat 1/3 dan ibu mendapat 1/6. Ini bererti bapa mendapat dua kali ganda bahagian ibu.
Mereka memberikan alasan bahawa kalimat fali ummi thuluth dalam ayat 11 Surah An-Nisa boleh bererti satu pertiga daripada keseluruhan atau sebahagian. Jika tidak mengisyaratkan demikian maka kalimat wawarithuhu abawah tidak bererti apa-apa. Ini adalah kerana apabila Al-Quran menerangkan kalimat tersebut, ia memberitahu bahagian ibu iaitu satu pertiga dan bapa akan mendapat dua pertiga. Dalam hal ini ibu mendapat satu pertiga berdasarkan kepada ayat Al-Quran, “...jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat seper tiga;...” (An-Nisa : 11) dan bapa akan mendapat dua per tiga yang mana satu perenam sebagai ashabul furud dan selebihnya sebagai asabah (akan dibincangkan pada siri-siri akan datang). Kesimpulannya ialah bapa sebagai lelaki mendapat dua kali ganda bahagian ibu kerana bapa mendapat dua pertiga sedangkan ibu hanya mendapat satu pertiga daripada harta pusaka. Ketentuan ini tidak berlaku jika simati meninggalkan suami, ibu dan bapa dimana ibu mendapat satu pertiga kerana jika demikian maka ibu sebagai perempuan mendapat dua kali ganda bapa dan ini berlawanan dengan konsep umum. Mereka seterusnya mengaplikasikan doktrin asabah selepas ditolak bahagian suami dimana ibu dikira sebagai asabah bi ghairihi (akan diterangkan dalam bahagian ‘asabah) bersama-sama dengan bapa.
Percanggahan pendapat
Walaubagaimanapun, dalam sejarah Islam kes ini telah menjadi perdebatan dimana seorang sahabat yang tidak kurang ahlinya dalam sistem pewarisan Islam, iaitu Ibnu Abbas telah tidak bersetuju dengan kaedah di atas dan tetap dengan pendirian bahawa ibu mendapat satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Beliau mengemukakan hujah-hujah berikut untuk menyokong pendapat beliau :
1. Pertama, bahawa kalimat fali ummi thuluth (bagi ibu satu per tiga) dalam ayat 11 Surah An-Nisa bererti satu per tiga daripada keseluruhan. Ini adalah kerana kalimat tersebut sama dengan kalimat falahan nisfu (baginya setengah) yang mana ianya dikaitkan dengan ma taraka (apa yang kamu itinggalkan). Jadi kalimat fali ummi thuluth (bagi ibu satu pertiga) juga hendaklah dibaca sebagai satu pertiga daripada apa yang ditinggalkan dan bukannya satu pertiga daripada lebihan setelah ditolak bahagian suami.
2. Kedua, semua jenis fardu iaitu setengah, satu perempat, satu perlapan, satu perenam dan dua pertiga yang disebutkan di dalam Al-Quran semuanya merujuk kepada keseluruhan harta pusaka. Dengan itu satu pertiga juga merujuk kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Andainya satu pertiga merujuk kepada lebihan setelah ditolak bahagian suami, sudah tentu ada nas yang demikian. Memandangkan tiada nas maka kita kembali kepada asal iaitu daripada keseluruhan harta pusaka selepas ditolak hutang dan wasiat.
3. Ibu merupakan golongan ashabul furud dan hendaklah didahulukan dan bapa mendapat bahagian sebagai ashabul furud dan juga asabah binafsihi yang mana asabah binafsihi menghabiskan harta jika terdapat lebihan. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi, “Harta pusaka itu adalah untuk ahlinya, maka jika ada lebih, ianya diberikan kepada lelaki yang paling utama disebelah lelaki.” (Mutafaq ‘alaih)
Menurut Ibnu Qudamah, pendapat Ibu Abbas lebih kuat dan jika tidak kerana ijmak dikalangan sahabat maka berkemungkinan pendapat beliau dipakai. Namun demikian tidak juga dapat dikatakan ijmak dengan adanya percanggahan pendapat oleh Ibnu Abbas. Menurut seorang orientalis yang mengkaji sistem pewarisan Islam yang bernama Profesor Coulson, semua mazhab ahli sunah menerima pandangan ini kecuali mazhab Syiah Imamiyah yang memberikan ibu satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Jumhur ulama menerima pandangan Saidina Umar kerana ianya lebih kuat dan sesuai dengan kaedah lelaki mendapat dua kali bahagian perempuan apabila sama darjah. Wallahu a’lam.

Kes gharawain
Dalam kes kedua gharawain, seorang lelaki yang meninggal dunia meninggalkan isteri, ibu dan bapa. Sama seperti kes pertama, ulama juga berbeza pendapat. Pendapat pertama sama dengan pendapat jumhur iaitu; isteri mendapat satu perempat, ibu mendapat satu perenam dan selebihnya iaitu tujuh perduabelas diberikan kepada bapa. Pendapat kedua, iaitu pendapat Ibnu Abbas dan mereka yang sehaluan dengannya. Golongan ini berpendapat isteri mendapat satu perempat, ibu mendapat satu pertiga dan selebihnya iaitu lima perduabelas adalah untuk bapa.
Pandangan Jumhur Ulama Pandangan Mazhab Ibnu Abbas & Ibnu Sirin


Mazhab ikutan
Memandangkan bahawa mazhab yang dipakai di negara kita merupakan mazhab Shafie yang juga ahli sunah wal jamaah, maka sesiapa yang ingin memastikan ibu mendapat warisan yang secukupnya boleh menggunakan instrumen perancangan harta pusaka yang lain. Sebagai contoh, andaikan seseorang itu ingin meninggalkan RM 60,000 untuk ibunya sedangkan ia mempunyai harta sebanyak RM 180,000 maka ia harus menggunakan instrumen lain untuk membolehkan ibunya mendapat RM 60,000. Sehubungan dengan ini seseorang itu boleh mendapatkan khidmat Pusat Perancangan Harta di cawangan-cawangan Amanah Raya Berhad.
Rujukan: htp://www.warisanmukmin.com.












HIBAH
PENGERTIAN HIBAH
Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.
DALIL MENGHARUSKAN HIBAH
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 177:
Dan memberi seseorang akan harta yang dikasihinya kepada keluarga terdekat, anak-anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang yang berhajat dan hamba.
Hadis riwayat Ahmad, Sabda Rasulullah saw:
Berilah hadiah (hibah), nescaya kamu dikasihi.
SIFAT DAN CIRI-CIRI HIBAH
Hibah tidak boleh ditarik balik kecuali pemberian bapa kepada anaknya atau daripada datuk kepada cucunya.
RUKUN HIBAH
1. Pemberi hibah (wahib)
2. Penerima hibah (mauhub-lahu)
3. Harta yang dihibahkan (mauhub)
4. Sighah kontrak (penawaran dan persetujuan)

JENIS-JENIS HIBAH
Terdapat 2 jenis hibah iaitu Hibah Terus (Pindahmilik) dan Hibah Beramanah (menggunakan Pemegang Amanah)
KONTRAK HIBAH BERSYARAT
Terdapat 2 jenis kontrak hibah bersyarat iaitu al-'Umra dan al-Ruqba.
1. Al-'Umra
Istilah ini diambil dari perkataan al-'Umur. Kontrak hibah jenis ini meletakkan umur sebagai syarat hibah samada berkait dengan umur pemberi atau umur penerima.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Al-'Umra dibenarkan."
Muslim juga meriwayatkan bahawa Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jagalah harta kamu dan janganlah kamu merosakkannya. Sesiapa yang mengucapkan 'umra, ia adalah hak orang yang ditujukan 'umra itu, hidup atau mati dan kepada keturunannya."
Hibah secara 'umra menjadi hakmilik penerima sepenuhnya dan tidak akan dikembalikan semula kepada pemberi selama-lamanya.

2. Al-Ruqba
Istilah ini diambil dari perkataan Arab, ruqub atau taraqqub yang bermaksud menunggu. Iaitu masing-masing menunggu kematian siapa terlebih dahulu. Kontrak ini juga diterima sebagai kontrak hibah yang diakui oleh syara'.
Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Umra dibenarkan untuk pemiliknya, begitu juga ruqba dibenarkan untuk pemiliknya."
Kebenaran berdasarkan hadis ini bererti bahawa pengecualian diberikan kepada kedua-dua jenis kontrak ini terhadap anugerah bersyarat yang tidak dibenarkan.
Menurut Mughni al-Muhtaj, al-Subki berkata: Kesahihan al'umra dan al-ruqba bukan berpandukan kepada qias, tetapi hadis lebih diutamakan berbanding segala usul dan segala qias.
APAKAH KEISTIMEWAAN HIBAH?
Harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka
Apabila seseorang meninggal dunia maka harta yang ditinggalkan akan dikategorikan sebagai harta pusaka. Jika simati mempunyai dokumen hibah, maka harta yang dihibahkan itu tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka.
Harta yang telah dihibah tidak boleh dituntut oleh waris lain
Seseorang pemilik harta yang sah berhak memberikan hartanya kepada siapa yang dikehendaki semasa hayatnya. Hibah adalah satu akad yang sangat kuat untuk seseorang memberi harta kepada orang lain. Harta yang telah dihibahkan adalah menjadi hakmilik penerima hibah. Waris yang lain tidak berhak untuk menuntut harta yang telah dihibahkan itu.
Pewarisan harta dapat dibuat dengan pantas
Dengan adanya dokumen pengisytiharan hibah, maka pemindahan harta dapat dibuat dengan lebih pantas kerana harta yang telah dihibahkan tidak perlu melalui prosedur pentadbiran harta pusaka
SIAPAKAH YANG PERLU MEMBUAT HIBAH?
Mereka yang mempunyai anak angkat
Anak angkat tidak mendapat bahagian pusaka di bawah hukum faraid. Dengan adanya dokumen hibah maka anak angkat akan dapat memiliki harta.
Suami yang ingin mewariskan harta kepada isterinya secara mutlak
Suami dapat membuktikan kasih sayang terhadap isterinya dengan membuat hibah. Dengan adanya dokumen hibah, isteri akan dapat memiliki harta dengan cepat dan dapat membantu isteri bagi menyara kehidupan dirinya dan anak-anaknya.
Ibubapa yang ingin mewariskan harta kepada anak
Ibubapa yang ingin membuat pembahagian harta selain daripada pembahagian menurut faraid atas sebab-sebab yang dibenarkan syara’, misalnya kesusahan hidup seseorang anaknya berbanding anak-anaknya yang lain, atau bagi tujuan pewarisan perniagaan, maka hibah ketika hidup boleh dilakukan.

rujukan: http://www.warisanmukmin.com/jenis_hibah.htm
tarikh; 27/9/2008

WAKAF.
Pada hukum syarak pembahagian wakaf tiada kadar yang ditetapkan. Hal ini kerana terpulang kepada pewakaf untuk menentukan kadar wakaf yang hendak diwakafkan. Apabila sesuatu harta telah diwakafkan maka ia terletak dibawah bidangkuasa Majlis Agama Islam Negeri.
Artikel:
Dr. Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia
09/05/2002
Negara kita baru saja selesai menjadi tuan rumah kepada Muktamar Ketujuh Menteri-Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam. Persidangan ini sudah tentulah penting bagi usaha meningkatkan lagi kelicinan dan kecekapan pengurusan dan pembangunan harta wakaf di dunia Islam. Institusi wakaf itu sendiri adalah merupakan satu institusi yang telah memainkan peranan besar di sepanjang sejarah tamadun Islam terutamanya dalam menyuburkan semangat suka berbakti di kalangan umat Islam.
Di Malaysia, kebanyakan undang-undang pentadbiran Islam memperuntukkan bahawa pihak Majlis Agama Islam negeri-negeri adalah pemegang amanah tunggal bagi harta-harta wakaf. Dari segi fekah semua mazhab membolehkan pewakaf melantik dirinya sendiri sebagai pentadbir wakaf (mutawalli/nazir) atau dia juga boleh melantik orang lain ataupun pihak pewaris sendiri sebagai pentadbir wakaf berkenaan.
Jika dia tidak membuat apa-apa pelantikan kepada sesiapa, mengikut mazhab Maliki dan Shafie hak mentadbir berpindah kepada mahkamah (kadi) yang mempunyai bidang kuasa am.
Mengikut pendapat mazhab Hanbali, hak ini berpindah kepada pewaris (mawquf alayhi) jika dia seseorang atau segolongan tertentu yang baginya atau bagi mereka wakaf itu dikhaskan. Tetapi jika wakaf itu dikhaskan kepada umum (tiada pewaris tertentu yang dinamakan), maka hak ini berpindah kepada pemerintah menurut mazhab Hanbali. Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat sama ada pewakaf melantik dirinya sebagai pentadbir atau tidak, hak mentadbir adalah dipegang oleh dirinya, selepas itu berpindah kepada wasinya kalau ada dan selepas itu kepada pemerintah.
Melihat kepada pelaksanaan yang diamalkan di Malaysia sekarang adalah difikirkan kemungkinan perlu diberikan ruang kepada pengurus yang dilantik oleh pewakaf bagi menguruskan hartanah wakaf berkenaan jika itu adalah yang dikehendaki oleh pewakaf kerana ini memang dibolehkan dari segi syarak.
Begitu juga peranan yang sepatutnya boleh dimainkan oleh mahkamah syariah (kadi) dalam hal-hal berkaitan wakaf ini perlulah difikirkan kembali kerana sejak dari zaman awal Islam, pihak kadi (mahkamah syariah) memang telah terlibat secara langsung berhubung masalah wakaf.
Ini adalah penting kerana dengan adanya pengawasan daripada pihak mahkamah yang bebas dan tidak terikat dengan pihak-pihak lain maka kepentingan sebenar wakaf berkenaan dan tujuan pewakaf dapat dipastikan tercapai. Dalam undang-undang Islam konsep wakaf ini telah diterima ulama secara umumnya memiliki identiti perundangannya yang tersendiri (zimmah tersendiri) ataupun entiti perundangan berbeza yang ada hak dan tanggungannya yang tersendiri yang disahkan berkekalan sifatnya.
Walaupun peranan diberikan kepada pihak Majlis Agama Islam yang mewakili pemerintah/Sultan sebagai pihak berkuasa, namun bagi kes-kes di mana pewakaf telah atau ingin melantik pentadbir wakafnya sendiri, tidaklah patut dilarang.
Peranan Majlis Agama Islam dalam kes di mana pewakaf telah tidak membuat pelantikan pentadbir memang wajar dari segi hukum syarak (walaupun ada mazhab yang tidak menyetujuinya), mahkamah sebenarnya yang berhak mentadbirkannya. Maka demi untuk menggalakkan lagi orang ramai melaksanakan amal jariah melalui wakaf adalah disarankan agar patut dibenarkan kewujudan badan-badan atau yayasan bukan kerajaan bagi dilantik oleh pewakaf sebagai pentadbir kepada wakaf mereka, dan tidak hanya diberikan hak ini kepada Majlis/Jabatan agama sahaja, lebih-lebih lagi jika inilah yang dimahukan oleh pewakaf.
Undang-undang terpenting mengenai tanah di negara ini ialah Kanun Tanah Negara 1966 (KTN) yang memberikan pengecualian kepada tanah-tanah wakaf.
Secara umumnya hartanah wakaf hendaklah diurus dan dibangunkan supaya harta berkenaan dapat diselenggarakan dengan baik dan manfaatnya dapat digunakan atau diserahkan kepada pewaris yang dikehendaki oleh pewakaf serta supaya harta itu dapat dikembangkan dan wujud secara berterusan dan dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Dalam hal ini matlamat yang dikhaskan dan cara pembangunan yang ditetapkan oleh pewakaf, jika ada hendaklah diikuti dengan sepenuhnya.
Umumnya tugas pentadbir wakaf termasuklah memelihara, membangun, menyewakannya dengan harga sewaan pasaran, mengusahakan tanah pertanian dan lain-lain, mempertahankan dan mengambil tindakan mahkamah bagi kepentingan wakaf tersebut, mengumpul dan mengutip hasil, menuntut sewa bagi hartanah yang diduduki secara tidak sah, dan menguruskan pembahagian atau penyerahan hasil/manfaat wakaf itu kepada pewaris yang dikhaskan oleh pewakaf.
Dalam menjalankan tugas sebagai pentadbir wakaf seseorang atau sesuatu pihak itu dianggap sebagai pemegang amanah, jika dia bertindak secara sukarela dan keterangannya diterima tanpa perlu diminta bersumpah membuktikan keterangannya mengenai wakaf itu serta cara pentadbirannya. Tetapi jika dibayar gaji atau diupah maka apa-apa kenyataannya mengenai wakaf itu dan pengurusannya hendaklah disokong dengan bukti yang kukuh termasuk keperluan bersumpah jika tidak dapat dibuktikan dengan bukti-bukti lain.
Adalah disyaratkan jika wakaf itu dikhaskan bagi tujuan kebajikan umat Islam pentadbir hendaklah seorang Islam. Di samping itu dua syarat umum yang perlu ada pada seseorang pentadbir ialah dia mestilah seorang yang adil menurut kacamata Islam serta berkebolehan mengurus.
Dalam menjalankan tugasnya mentadbir harta wakaf, pentadbir mestilah bersikap berhati-hati seperti mana sifat seorang pentadbir harta anak yatim. Bagaimanapun, pentadbir juga mesti memikirkan secara terbaik bagi memastikan harta itu berkekalan dan dapat dimanfaatkan sebagaimana yang diharapkan oleh pewakaf.
Dari segi kos pengurusan wakaf, ia boleh diambil daripada hasil wakaf itu jika pewakaf tiada memperuntukkan cara-cara lain bagaimana kos mengurus itu dapat ditampung. Jika hasil daripada wakaf tidak cukup untuk membiayai pengurusannya atau harta wakaf itu tidak dapat disewakan atau digunakan bagi tujuan mendapatkan pendapatan atau hasil, maka di dalam fekah ada pendapat yang mengatakan bahawa kos itu hendaklah ditanggung oleh baitul mal.
Ada juga pendapat yang mengatakan ia perlu ditanggung oleh pewaris (berdasarkan prinsip al-gunmu bil gurmi) dan ada juga yang menyatakan ia ditanggung oleh pentadbir atau pengurus berkenaan. Namun demikian, pihak-pihak tersebut ini dikira memberi pinjaman kepada wakaf berkenaan sehingga hasilnya diperoleh dan dibayar semula kepada pemberi pinjaman berkenaan. Pendapat yang membenarkan wakaf meminjam mensyaratkan:
1. Tiada jalan lain bagi menguruskan wakaf itu.
2. Hendaklah pinjaman dibuat dengan kebenaran mahkamah.
Di dalam fekah disebutkan bahawa kadi mempunyai bidang kuasa menyelia pentadbiran wakaf dan berhak melucutkan jawatan seseorang pentadbir yang terbukti tidak amanah dalam menjalankan tugasnya. Manakala seseorang yang memang dilantik oleh mahkamah menjadi pentadbir boleh diberhentikan jika mahkamah berpendapat wajar untuk berbuat demikian walaupun dia tidak semestinya dibuktikan tidak amanah.

Rujukan : ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=170 - 11k
© 1992 - 2008 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Pahala sedekah biasa tidak setaraf wakaf
Oleh Dr Siti Mashitoh Mahamood
WAKAF adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya.
Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.
Wakaf sudah wujud sekian lama seperti di Tunisia ia dipanggil hubus, di Perancis dikenali sebagai habous dan di Turki dipanggil vaqf manakala waqf di negara Arab. Di Singapura dan Indonesia pula dikenali sebagai wakaf manakala di Iran sebagai boniyad.
Dalam berwakaf, seseorang yang mempunyai lebihan harta kekayaan mengorbankan sebahagian untuk diaplikasikan kepada tujuan yang dibenarkan Islam dan menepati ciri qurbah. Sebagai pewakaf yang beriman kepada Allah, hak waris terlebih dulu dijadikan keutamaan dengan tidak bertindak mewakafkan keseluruhan harta yang ada supaya kebajikan waris terpelihara.
Mengikut hukum harta wakaf tidak boleh diwarisi. Cuma, pemberian wakaf kepada keluarga masih boleh diwujudkan menerusi wakaf keluarga yang dikenali sebagai wakaf ahli atau dhurri.
Apa yang penting, amalan berwakaf adalah bentuk sedekah yang terbaik kerana ia diterima sebagai sedekah jariah yang dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada penerima wakaf dan pahala yang berkekalan kepada pewakaf.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah (jariyah), ataupun ilmu yang dimanfaatkan, ataupun anak yang salih yang mendoakan untuknya.”
Merujuk hadis itu, ahli tafsir menafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ sebagai merujuk kepada amalan wakaf. Menurut mereka, bentuk sedekah yang lain tidak mengandungi elemen kekal atau berpanjangan (jariyah) seperti amalan wakaf.
Justeru, sedekah biasa tidak boleh dikategorikan sebagai wakaf kerana tidak menepati elemen itu. Menyedari faedah yang besar ini, maka sahabat didapati berlumba-lumba untuk melaksanakan amalan jariah melalui ibadat wakaf sehingga Jabir ada mengatakan, “tidak ada sahabat yang kaya, melainkan mereka melakukan wakaf.”
Banyak ayat al-Quran yang boleh dilandaskan bagi menjelaskan kebaikan berwakaf antaranya dalam surah Al-Baqarah, ayat 177, 195, 215 dan surah Ali-‘Imran, ayat 92.
Firman Allah yang bermaksud: “Kamu tidak akan sekali-kali mencapai kebaktian sehinggalah kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” – (Surah Ali-`Imran, ayat 92)
Ayat itu mendorong Abu Talhah mewakafkan kebun yang paling disayanginya iaitu ‘Bayruha’. Kebun terletak bertentangan Masjid Nabawi itu sangat subur dan mengeluarkan banyak hasil tamar. Rasulullah SAW sendiri pernah berteduh di bawah rimbunan pepohonnya dan meminum airnya.

Abu Talhah telah membahagikan hasil dan manfaatnya kepada sanak-saudaranya, termasuk Ubay bin Ka’ab dan Hassan Ibn Thabit.
Saidina ‘Umar Ibn Al-Khattab pula mewakafkan sebidang tanahnya yang dikenali sebagai ‘thamgh’ yang diperoleh sewaktu pembahagian harta di Khaybar. Harta itu yang paling berharga pernah dimilikinya dan sangat disayanginya.
Begitu juga Saidina ‘Uthman Ibn Al-‘Affan yang mewakafkan telaga untuk bekalan air yang dikenali sebagai ‘bi'r al-raumah’ kepada penduduk Madinah. Saidina Ali bin Abi Talib mewakafkan tanahnya ‘Yanbu’ kepada fakir miskin.
Wakaf berperanan besar dalam meningkatkan ekonomi ummah dan negara di dunia. Di Mesir, keseluruhan keperluan ekonomi asasnya diperoleh daripada dana dan aset wakaf. Kerajaannya sendiri berhutang dengan institusi wakafnya.
Ketika pemerintahan Kesultanan Mamluk, institusi keagamaan di Mesir dan Syria dikatakan menerima pendapatan berjumlah hampir satu juta dirham daripada wakaf di Mesir. Pembangunan negara di Turki pada satu ketika dulu juga dibiayai bukan saja oleh pihak pemerintah, tetapi juga dana wakaf.
Di negara lain juga, dana wakaf sudah menyumbang ke arah kecemerlangan ummah sama ada dalam bidang pendidikan, perubatan, pertanian dan pembangunan spiritual. Pendek kata, pembangunan ekonomi ummah turut direalisasi oleh dana wakaf negara itu di samping sumber lain.
Sejarah dunia membuktikan bahawa dana dan hasil yang diwakafkan dapat membantu dalam pembiayaan pembinaan masjid, perkuburan, hospital, sekolah, perpustakaan awam, rumah kebajikan dan penempatan anak yatim, gudang, kilang roti dan tepung, kilang perusahaan dan lain-lain tujuan kebajikan, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.
Dana wakaf digunakan untuk membantu meredakan keperluan warga emas dan orang cacat, mengurangkan kemiskinan, malah turut menyumbang ke arah pemeliharaan binatang dan pembangunan manusia di bidang pertanian, hortikultur dan sumber air.
Semua ini disumbangkan pewakaf sama ada daripada golongan orang biasa mahupun yang mempunyai kedudukan tinggi di kalangan masyarakat. Amalan masa kini pula menunjukkan wakaf sudah dimanfaatkan untuk tujuan pemikiran, kebudayaan, pembangunan saintifik, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengukuhan sosial dan kebajikan kekeluargaan, pemuliharaan alam sekitar dan kemasyarakatan.
Pendek kata, wakaf pada hakikatnya mempunyai peranan sangat penting dalam pembangunan masyarakat. Ia dapat meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam di mana agama Islam itu sendiri dapat dimartabatkan sebaiknya.
Amalan masa kini menunjukkan wakaf boleh menjana pendapatan lebih tinggi seperti membabitkan bidang pelaburan dan komersial. Di Kuwait misalnya, wakaf tunainya dilaburkan dalam bentuk pelaburan deposit di bank tempatan termasuk pelaburan dalam saham syarikat yang beroperasi mengikut syarak, sama ada dalam ataupun luar Kuwait.
Ini termasuklah pelaburan dalam projek hartanah seperti projek pusat kediaman dan komersial Awqaf Complex pada 1960-an. Penubuhan Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF), sebuah badan kerajaan pada 1993, pelbagai strategi pelaburan dirangka yang mengambil kira prinsip pelaburan syariah dalam bentuk aplikasi moden dengan tujuan strategiknya mengekalkan aset waqf, membangunkan modal dan meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.
Pada 1996 saja, banyak wakaf baru dihasilkan yang bernilai KD4.2 juta (RM50 juta) iaitu 18 kali ganda berbanding dengan kewujudan wakaf baru pada tahun asas KAPF 1993. Nilai bersih pelaburan wakafnya meningkat kepada lebih daripada KD10.1 juta (RM120 juta) pada 1996 yang melambangkan 294 peratus daripada pendapatan pada 1994.
Turki yang sememangnya sinonim dengan kegemilangan wakaf khususnya pada zaman Kerajaan Uthmaniyyah, sudah mempunyai bank wakafnya yang dikenali sebagai Waqf Bank & Finance Corporation.
Sumber wakaf telah dimobilisasikan menerusinya termasuk membiayai pelbagai projek usaha sama. Di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Awqaf Properties Investment Fund ditubuhkan oleh Menteri-Menteri Wakaf dunia yang menganggotainya, Direktorat dan pelbagai bank Islam pada 2001.
Ia bertujuan membangunkan harta wakaf pada peringkat global. Cara pembiayaannya membabitkan pajakan, istisna dan murabahah. Di samping itu, IDB juga mewujudkan Yayasan Wakaf Dunia yang diberi mandat untuk mengelola, memelihara, melabur dananya serta mengagihkan pendapatannya kepada tujuan yang selaras dengan syarak.
Dari sudut pembangunan harta wakaf pula, penggunaan konsep muamalat Islam seperti ijarah (sewaan), mudarabah (perkongsian untung dan rugi), syarikah (perkongsian bersama) dan sebagainya boleh digunakan.
Begitu juga pembiayaan pembangunan wakaf membabitkan konsep sukuk (bon Islam) selain konsep wakaf lain seperti wakaf irsad (membabitkan pemerintah sebagai penyumbang harta), wakaf istibdal (pertukaran syarat harta yang diwakafkan), wakaf tunai (duit/wang tunai diwakafkan), saham wakaf dan lain lagi untuk membangunkan harta wakaf sedia ada di samping mewujudkan wakaf baru.
Sehubungan itu, masyarakat yang dikurniakan kelebihan memiliki harta oleh Allah digalakkan berwakaf demi kepentingan agama, bangsa dan negara di samping manfaat yang tidak ternilai untuk pewakaf.
Jika tidak mampu untuk mewakafkan harta tidak alih seperti tanah dan bangunan yang memerlukan pengorbanan harta bernilai tinggi, maka mereka boleh memilih skim atau produk wakaf kontemporari harta alih yang ditawarkan Majlis Agama Islam negeri dan agensi lain seperti skim dana wakaf, wakaf saham, wakaf kaki dan wakaf ladang yang membabitkan modal wakaf yang rendah.
Semoga ummah terbela dengan pengorbanan mewakafkan harta yang akan memberikan pulangan kekal dan berlipat kali ganda in
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Rujukan : ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=170 - 11k
© 1992 - 2008 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Rujukan lain;
Undang-undang Pusaka Islam di Malaysia. Mohd Zamro Muda& Mohd Ridhuan Awang. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Undang-undang Muamalat dan aplikasinya kepada Produk-produk Perbankan Islam. Dr. Abdul Halim El-Muhammady.
Undang- undang Pusaka dalam Islam suatu Kajian dan Perbandingan, Abdul Rashid Abdul latif.
Konsep pelaksanaan wakaf di Malaysia. Nik Mustafa Nik Hassan. Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Sistem Pusaka Islam, Haji Abdul Kadir Haji Ismail.
Wasiat dalam Islam, Abdul Rashid Abdul Latif. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Enakmen Wakaf& Wasiat Orang Islam ( Selangor ) 1999.

4 comments:

mama wana said...

alhamdulillah, tq untuk info ni.memang sarat dengan info dan pelbagai penerangan yang berbangkit.

tq

Anonymous said...

yang tak bestnye, walaupn anak perempuan yg menjaga dan menyara ibubapa mereka tetapi anak lelaki ttp mndapat harta lebih. Tapi nak buat mcm mn..dh hukum Islam mcm tu, redha jela..

Unknown said...

sy faham keadaan tu..ank perempuan yg menjaga ibu bapa..tp ank lelaki yg dapat lebih..hukum tetap hukum..kita redha..semoga kita mendapat rahmat dan pahala yg lebih kerana menjaga ibubapa..walaupun didunia kita dapat sikit harta..insha Allah di akhirat kita mendapat lebih nikmat dan rahmat Allah

Kawan Sepang - KL ulang said...

Kalo anak lelaki tu faham maksud dan tanggungjawab yg tersirat dalam faraid ni, x sanggup lah dia nak ambil 2 bahagian tu.. what you give, you will get back.... and what you get, you should give back.. huhuhu.. berat²..