Tuesday, March 2, 2010

1 FARAQ DALAM PERKAHWINAN ( file JAKIM )

1.0 PENGERTIAN:
Faraq berasal daripada perkataan faraqa dan masdarnya ialah tafriq yang
bermaksud perkahwinan yang dipisahkan/dibubarkan. Pada sudut istilah faraq
yang digunakan di dalam kitab-kitab fiqh membawa maksud pemisahan atau
pembubaran bagi perkahwinan samada melalui talak atau selainnya. Namun di
dalam sistem perundangan Islam di Malaysia perkataan faraq/istilah faraq
digunakan bagi merujuk kepada sesuatu pembubaran perkahwinan bukan
melalui talak.
2.0 ASAS AMBILAN HUKUM
Faraq banyak disebut dalam kitab fiqh selalunya ia dikaitkan dengan kesan
daripada perkahwinan yang tidak sah. Faraq dibezakan dari talak raj’ie yang
biasa melihat kepada pembubaran perkahwinan melalui talak adalah disebabkan
oleh kerana tidak ada persefahaman dan sebagainya sedangkan faraq
disebabkan oleh rukun perkahwinan itu sendiri yang tidak sah. Dalam hal faraq
hanya mahkamah yang boleh menentukan kesahihan suatu perkahwinan.
Justeru perintah faraq juga hanya boleh dikeluarkan oleh mahkamah apabila
terbukti sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Apa yang dimaksudkan dengan
akad nikah yang tidak sah ialah nikah yang tiada/hilang salah satu syarat atau
tiada kebanyakan daripada syarat sah nikah.
3.0 HUKUM-HUKUM PERKAHWINAN
Sebelum dibincang lanjut mengenai faraq perlu difahami terlebih dahulu hukumhukum
bagi suatu perkahwinan yang terbit daripada akad nikah yang lazim
dan tak lazim. Secara umumnya hukum bagi perkahwinan boleh dikategorikan
kepada dua iaitu samada perkahwinan yang sah atau tidak sah. Walaupun
begitu terdapat sesetengah ulamak seperi Ulamak Hanafi yang membezakan di
antara perkahwinan yang bathil dan yang fasid. Namun di dalam kertas ini
hanya membincangkan secara umum sahaja iaitu perkahwinan yang sah dan
tidak sah.
3.1 Perkahwinan yang sah
Perkahwinan yang sah adalah perkahwinan yang memenuhi segala rukun
dan syarat perkahwinan. Bagi perkahwinan yang sah ia mempunyai
2
kesan bagi semua perkara yang berkaitan dengan suami isteri seperti mas
kahwin (mahar), nafkah untuk isteri, nasb terhadap anak yang dilahirkan
juga mempunyai kesan terhadap pengharaman persemendaan
(pengharaman berkahwin disebabkan wujud kaitan perkahwinan).
3.2 Perkahwinan yang tidak sah/fasid (perkahwinan yang bathil pada
pandangan Abu hanifah)
3.2.1 Bagi perkahwinan fasid ini Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf
dan Imam Muhammad mengatakan bahawa perkahwinan yang bathil
tidak mempunyai kesan undang-undang sebagaimana yang berlaku ke
atas perkahwinan yang sah. Oleh itu tidak halal bagi suami melakukan
persetubuhan dengan perempuan yang dikahwininya. Dari segi yang lain
pula perempuan yang dikahwini tidak berhak mendapat nafkah dan
mahar juga tidak diwajibkan bereddah. Selain itu isteri tersebut juga tidak
terlibat dengan pegharaman musoharah (pengharaman berkahwin
disebabkan wujud kaitan perkahwinan) dengan mana-mana lelaki dari
kalangan keluarga suami. Sekiranya persetubuhan telah berlaku, qadi
hendaklah memfaraqkan mereka secara paksa. Perpisahan yang berlaku
bagi perkahwinan yang bathil tidak dikenakan eddah menurut Imam Abu
Hanifah.
3.2.2 Bagi Ulamak Maliki perkahwinan yang perlu difaraqkan adalah
tidak kira perkahwinan itu bathil atau fasid kerana Ulamak Maliki tidak
membezakan di antara perkahwinan yang fasid dengan yang batil.
Ulamak Maliki menyatakan beberapa hukum yang terbit daripada
perkahwinan yang fasid atau bathil antaranya ialah:
1. Haram dan diwajibkan faraq dengan serta merta. Tujuan faraq di
sini adalah untuk menghalang daripada berlanjutannya maksiat
yang mereka lakukan. Kedudukan faraq sebelum persetubuhan di
sini adalah berbeza dengan talak biasa sebelum persetubuhan yang
mana faraq sebelum berlaku persetubuhan adalah terlepas daripada
bayaran mahar.
2. Diwajibkan membayar mahar dengan berlakunya persetubuhan
3. Sekiranya akad itu dipertikaikan atau disepakati tentang fasadnya
maka anak yang dilahir hasil daripada aqad tersebut tetap
dinasabkan kepada bapanya. Persebuhan yang berlaku antara
3
mereka berdua tidak dianggap zina dengan syarat pihak suami
tidak menyedari bahawa persetubuhan itu adalah haram.
Sebaliknya jika suami menyedari tentang haramnya persetubuhan
tersebutmaka perbuatannya dianggap zina dan dikenakan
hukuman had. Anak yang dilahirkan hasil daripada persetubuhan
itu juga tidak dinasabkan kepada suami tersebut.
4. Bagi aqad fasid yang dipertikaikan ia masih memberi kesan
undang-undang yang berkaitan dengan hak warisan antara suami
isteri. Sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia
sebelum difaraqkan maka pasangan yang masih hidup berhak
mewarisi harta pasangannya tanpa mengambilkira persetubuhan
telah berlaku ataupun belum. Walau bagaimanapun bagi
perkahwinan yang telah disepakati fasidnya hak warisan tidak
wujud sama sekali.
5. Sabit pengharaman persemendaan bila berlaku persetubuhan atau
muqaddimah persetubuhan tanpa mengira perkahwinan itu
disepakati fasid atau dipertikaikan.
6. Perempuan yang difaraqkan dan telah disetubuhi oleh suaminya
diwajibkan bereddah sekiranya ingin berkahwin dengan lelaki lain
tetapi tidak jika dengan lelaki yang sama.
4.0 PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG
Melalui peruntukan seksyen 10 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga
Islam Negeri terengganu 1985 memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan
adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu mengikut hukum
syarak untuk menjadikannya sah.
Sekiranya sesuatu pernikahan itu ternyata fasid atau batal seperti tersilap
wali, tidak menepati rukun nikah atau sebagainya maka sesuatu perkahwinan
itu boleh dimohon untuk dibubarkan dan pasangan suami isteri tersebut
difaraqkan.
Permohonan untuk memfaraqkan sesuatu perkahwinan yang tidak sah
boleh dibuat oleh pasangan tersebut iaitu sama ada isteri atau suami, ibu bapa
atau penjaga atau juga pejabat agama yang menyedari kesilapan atau kekhilafan
yang berlaku. Beberapa perkara yang perlu disertakan semasa permohonan
faraq sesuatu perkahwinan di Mahkamah Syariah ialah:
4
1. Permohonan
2. Afidavit sokongan
3. Salinan kad pengenalan
4. Sijil nikah
5. Surat pengesahan perkahwinan
5.0 KES-KES FARAQ
Kebiasaannya pembubaran perkahwinan secara faraq yang berlaku di
Malaysia adalah disebabkan oleh keraguan pada wali atau saksi.
Kebanyakan kes faraq nikah juga adalah disebabkan oleh perkahwinan
tanpa kebenaran wali/perkahwinan luar negara atau lebih tepat lagi
perkahwinan sindiket.
5.1 Contoh kes pertama
Satu kes faraq nikah yang berlaku di Terengganu, Kes Hashim Bin
Mohamad lwn Syed Yusof Bin Syed Mohamad dan Suryani Bt hashim
yang mana seorang bapa telah memohon daripada mahkamah untuk
memfaraqkan perkahwinan anak perempuannya yang dijalankan di
Thailand. Hakim bicara dalam kes tersebut telah memutuskan beberapa
perkara iaitu:
1. Sabit akad nikah perkahwinan antara lelaki dan perempuan sebagai
akad nikah bagi perkahwinan yang fasid kerana wali yang digunakan
dalam perkahwinan adalah wali am dan bukannya seseorang yang
diistikhlafkan sebagai wali hakim.
2. Mahkamah tidak dapat memberikan pengiktirafan undang-undang
terhadap akad nikah pasangan tersebut.
3. Sabit persetubuhan yang telah berlaku sebelum ini sebagai
persetubuhan syubhat
Oleh kerana pernikahan itu adalah fasid maka mahkamah mengarahkan
kedua-dua pasangan suami dan isteri itu difaraqkan.
5.2 Contoh kes kedua
Kes yang berlaku di Johor baru-baru ini adalah satu kes yang jarangjarang
berlaku di Malaysia. Dalam kes tersebut sepasang suami isteri,
Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah telah
diarahkan berpisah setelah pejabat agama mengesahkan pernikahn
mereka tidak sah. Perkahwinan kedua-duanya tidak sah kerana
5
pernikahan yang didlangsungkan menggunakan wali hakim sedangkan
adik lelaki Zanariah, Mohd Shafiq yang ketika itu berusia 19 tahun layak
menjadi wali. Permohonan faraq nikah pasangan tersebut yang dibuat
oleh jabatan agama seterusnya diterima oleh mahkamah apabila
mahkamah memutuskan pasangan berpisah secara faraq dan boleh
bernikah semula pada bila-bila masa.
6. KEDUDUKAN EDDAH ISTERI YANG DIFARAQ
Kes faraq adalah berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Bagi talak rajie,
perempuan yang diceraikan perlu menunggu sehingga habis eddah iaitu tiga
kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain. Dalam perkahwinan
yang dibubarkan secara faraq pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan
semula tanpa perlu menunggu tiga kali suci. Bagaimanapun jika pengantin
perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu
hingga habis eddahnya. Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula pula
bergantung kepada proses perkahwinan yang dilakukan.
7. PENUTUP
Perlu diingatkan bahawa hal-hal yang berkaitan dengan rukun nikah adalah
sesuatu yang tidak harus dipandang remeh dan ia juga bukanlah suatu perkara
yang boleh dimain-mainkan. Selain itu sah atau tidak sesuatu perkahwinan juga
memberi kesan kepada zuriat yang bakal dilahirkan. Justeru faraq adalah satu
jalan penyelesaian yang ditentukan syarak bagi perkahwinan yang meragukan
agar maksiat yang berlaku hasil perkahwinan yang meragukan tidak terus
berlanjutan.
Rujukan:
Abdul Karim Zaidan. 2000. Al Mufassol Fi Ahkam Al Mar’ah Wa Baitul Muslim.
Muassasah risalah: Beirut.
Utusan Malaysia. Selasa. 21 Februari 2006
Wahbah Al-Zuhaily. 2001. Fiqh dan Perundangan Islam, Jilid 7. Terjemahan
Ahmad Shahbari Salamon. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

No comments: