Tuesday, March 2, 2010

Jurnal Syariah 5, Bilangan I 1 Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh Raihanah Haji Abdullah. ( file JAKIM )

Abstract.- There are various forms of dissolution of marriages under The
Islamic Family Law. Most of the forms are initiated by a husband or by mutual
consent (talaq, zihar, ila', li'an and khul'). The only way a wife can obtain a
dissolution of marriage without the husband's consent is through the court
termination which is called Fasakh. This form particularly at the instances of
the wife can only be granted on a very limited grounds which is considerably
differed among the mazhab. However the grounds for the dissolution of
marriages at the wife's initiative has developed and expanded into numbers of
grounds since reforms in Islamic Family Law began in the 19th century.
Therefore, this article attempts to discuss the development particularly when
Fasakh is used to solve the problems of husband's cruelty, desertion and maltreatment.
Latar belakang
Pada asasnya suami mempunyai kuasa eksklusif untuk menceraikan isterinya
melalui cara Talaq. Ini bermakna seorang suami akan hanya menyatakan "saya
cerai/talaq kamu", maka perceraian antara suami isteri akan sabit. Di dalam
perbincangan Fiqh,
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
2
sebab-sebab untuk membolehkan seorang suami menjatuhkan talaqnya tidak
dinyatakan. Ini bermakna seorang suami boleh menceraikan isterinya samaada
bersebab atau tanpa sebab. Bukan setakat itu sahaja, perceraian tersebut tidak
memerlukan kepada campurtangan hakim dan juga persetujuan isteri.1
Bagaimanapun Islam juga telah memberi hak kepada isteri untuk
membubarkan perkahwinannya melalui beberapa cara iaitu khul', ta'liq dan fasakh.2
Ini bermakna kedua-dua suami isteri diberi hak untuk membubarkan perkahwinan
mereka melalui berbagai cara. Bagaimanapun hak yang diberikan kepada seorang
isteri untuk membuat tuntutan pembubaran, memerlukan sebab-sebab tertentu
serta elemen-elemen sampingan yang lain seperti bayaran tebus atau pembubaran
tersebut. Umpamanya khul', yang mana persetujuan dari suami adalah perlu dan
isteri dikehendaki membayar kepada suaminya suatu bayaran bagi tuntutan
tersebut. Manakala bagi- taaliq pula, pembubaran adalah berdasarkan pelanggaran
suami terhadap syarat-syarat yang telah dilafazkan. Fasakh pula, ialah apabila ada
sebab-sebab tertentu yang telah ditetapkan oleh Syarak. Yang demikian ternyata
bahawa seorang isteri adalah sukar untuk membubarkan perkahwinan mereka jika
dibandingkan dengan talaq. Bagaimanapun pembaharuan yang berlaku terhadap
undang-undang keluarga Islam sejak kurun ke 19 Masehi telah memberi peluang
kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh atas berbagai-bagai
alasan. Oleh itu untuk tujuan penulisan ini, perbincangan akan dibuat terhadap
alasan-alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh sebagaimana yang
diperuntukan dalam undang-undang keluarga Islam.
Fasakh dalam Perundangan Islam
Ibn Manzur dalam Lisan,al-Arab menyatakan. Bahawa fasakh bererti batal
(naqada) atau bubar (faraqqa).3 Apabila perkataan fasakh disandarkan kepada
nikah maka ia akan membawa maksud membatal atau membubar pernikahan oleh
sebab-sebab tertentu yang menghalang kekaInya perkahwinan tersebut.4
Perceraian secara fasakh tidak dinyatakan secara terang di dalam al-Qur'an.
Tetapi prinsipnya boleh dilihat dalam Surah al-Baqarah ayat 231 dan al-Nisa' ayat
35. la berbeza sekali dengan cara-cara pembubaran yang lain seperti talaq (Surah
al-Baqarah ayat 229), khul'(Surah al-Baqarah ayat 229), zihar(Surah al-Mujadalah
ayat 1-4),ila' (Surah aI-Baqarah ayat 226) dan li'an, (Surah al-Nur ayat 6-9) yang
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
3
telah disebut di dalam al-Qur’an dengan jelasnya. Walau bagaimanapun, fasakh
diterima sebagai salah satu cara untuk membubarkan perkahwinan berasaskan
kepada prinsip yang terkandung dalam hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi: (La darar
wa la dirar).
Pembubaran perkahwinan melalui fasakh memerlukan campurtangan kadi
(hakim) atas sebab-sebab yang biasanya diketengahkan oleh seseorang isteri.
Kerana itu sebagai contohnya Abu Zahrah menggunakan istilah al-Talaq bi al-
Hukm al-Qadi,5 manakala al-Zuhayli pula menyebutnya sebagai al-Tafriq al-Qada'I
6 apabila mereka membincangkan tentang fasakh. Namun ada juga yang
membincangkan soal ini di bawah tajuk al_Khiyar.7
Walaupun suami juga boleh menuntut fasakh namun suami mempunyai hak
eksklusifnya iaitu talaq. Fasakh yang dituntut oleh isteri ini adalah tetakluk kepada
beberapa sebab yang telah ditetapkan oleh para Fuqaha. Fasakh dan talaq ini
adalah berbeza terutamanya dan efek pembubaran itu dimana fasakh tidak terhad
kepada halangan tertentu, berbanding dengan talaq yang terhad kepada dua (talaq
raj’i). Dengan kata lain suami isteri yang terbubar pekahwinannya melalui metod
fasakh boleh kembali kepada isteri dan suami yang sama untuk sekian kalinya
dengan membuat akad dan mas kahwin yang baru. Bagaimanapun fasakh yang
jatuh dalam kategori selama-lamanya seperti fasakh perkahwinan adik beradik
kandung atau sesusuan dan juga murtad tidak boleh kembali semula.8 Fasakh
kerana sebab-sebab ini tidak perlu kepada campurtangan Hakim.9
Di dalam Perundangan Islam, perkara-perkara yang mengharuskan untuk
fasakh bagi suami isteri adalah berbeza antara satu mazhab dengan mazhab yang
lain. Dalam Mazhab Hanafi, seorang isteri boleh memohon untuk membubarkan
perkahwinan melalui cara fasakh hanya apabila suami yang dikahwininya itu
mengalami kecacatan dan keaiban. Marghinani dalam al-Hidayah menyatakan
bahawa hanya tiga penyakit sahaja iaitu mati pucuk, terpotong zakar dan terputus
dua biji pelir.10 Ini bermakna dalam Mazhab Hanafi seorang isteri itu tidak boleh
memohon fasakh atas sebab-sebab yang lain dari yang disebutkan itu sekalipun
suami itu terkena penyakit sopak dan kusta. Begitu juga, seorang isteri yang telah
dikahwinkan oleh wali mujbirnya sewaktu umurnya belum baligh, berhak memohon
fasakh perkahwinannya apabila sampai umur baligh. Fasakh seperti ini dikenali
sebagai khiyar al-bulugh. Bagaimanapun fasakh kerana sebab khiyar al-bulugh
tidak dibolehkan oleh mazhab Syafi'i dan Maliki.11 Pengertian suami berpenyakit
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
4
mengikut mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanbali mungkin agak luas sedikit, kerana ia
termasuk segala penyakit seperti sopak dan kusta. Prinsip mereka dalam soal ini
ialah sekiranya segala keaiban atau penyakit yang dialami oleh suami boleh
menjejaskan perhubungan jenis antara mereka atau boleh berjangkit kepada isteri
dan juga janin, maka isteri boleh memohon fasakh.12
Selain dari alasan di atas, ketidak mampuan suami untuk membayar nafkah,
hilang atau dipenjarakan juga diterima oleh Maliki, Syafi'i dan juga Hanbali sebagai
alasan untuk menuntut fasakh. Bagaimanapun Mazhab Maliki dan Hanbali telah
menambah satu lagi alasan iaitu berlaku kemudharatan dalam rumahtangga sebagai
sebab untak memohon fasakh. Kemudaratan yang dimaksudkan di sini adalah
kemudaratan kepada lima perkara iaitu, agama, diri, keturunan, harta, aqal
(maruah).14 Keadaan ini akan berlaku, apabila pertelingkahan dalam rumahtangga
wujud. Kerana itu Mustafa al-Siba'i menyebut pembubaran kerana sebab-sebab
wujud unsur-unsur pertelingkahan sebagai al-tafriq li al-syiqaq.15 Ini bermakna
sekiranya berlaku penderaan dan penganiayaan kepada isteri, maka keadaan ini
boleh dijadikan alasan bagi isteri membubarkan pekahwinannya melalui fasakh.
Nampaknya dengan adanya peruntukan dari prinsip Mazhab Maliki ini maka
masalah penderaan yang berlaku dalam masyarakat hari ini dapat diselesaikan.
Reformasi Undang-undang Keluarga
Prinsip-prinsip dari Mazhab Hanafi terutamanya dalam masalah pembubaran
perkahwinan ini nampaknya telah mendominasi dan menjadi pandangan yang
autoriti dalam Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kekecualian prinsip Mazhab Hanafi ini,
bagaimanapun hanya akan berlaku kepada mereka yang bukan dari Mazhab Hanafi.
Umpamanya prinsip Mazhab Syafi'i akan digunakan kepada litigan Syafi'i atau
mereka akan menyelesaikannya sendiri tanpa di bawa ke Mahkamah secara rasmi.
16 Jika demikian, maka seseorang isteri yang bermazhab Hanafi tidak boleh
memohon Fasakh selain dari alasan kecacatan suami. Ini bermakna jika isteri
tersebut didera oleh suaminya maka ia, tidak mempunyai ruang untak keluar dari
rumahtangganya. Oleh itu terdapat beberapa tulisan seperti Anderson, Carroll dan
Ahmad Ibrahim yang menyatakan tentang prinsip Hanafi dalam majalah ini sebagai
“…rigid and retrogressive than those of any other schools”, “...Hanafi Law is the most
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
5
restrictive...” dan “The Hanafis are more rigid than even the dominant Syafi'i opinion.
17
Oleh kerana itu pada tahun 1915, Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah
memulakan langkah pertama melakukan reformasi, Undang-undang Keluarga
Antara perkara yang diambil perhatian ialah memperuntukkan hak pembubaran
perkahwinan melalui fasakh sekiranya berlaku kemudaratan dalam rumahtangga
berasaskan prinsip Mazhab Maliki yang berpegang kepada kaedah takhayyur.
SusuIan dari itu beberapa perundangan telah digubal dengan memasukkan alasan
kemudaratan dalam tuntutan isteri untuk fasakh perkahwinannya. Ini boleh dilihat
dalam Undang-undang Keluarga Mesir (Seksyen 6-11, No.29/1929),Tunisia (S.32,
No.7/1981), Morocco (S.56), Jordan (S.132) dan Kuwait (S.126-135).15 Peruntukan
yang sama juga terdapat di negeri-negeri di benua Indo-Pakistan. Umpamanya
dalam Seksyen 2, Akta Pembubaran Perkahwinan Islam 1939 telah menyenaraikan
9 alasan yang boleh digunakan oleh seseorang isteri bagi membubarkan
perkahwinannya. Ini bermakna bagi isteri di India, Pakistan dan Bangladesh, Akta ini
sebagai suatu relif kepada mereka. Hodkinson menyebut “The Act represents a
radical enhancement of her rights of dissolution...”.19 Pengubalan Akta 1939 di India
yang telah mengambil pnnsip dari Mazhab Maliki telah mendapat sokongan dari
para ulama. Ini adalah kerana sebelum penggubalan Akta 1939 ini, isteri-isteri yang
terperangkap dalam rumahtangga yang tidak aman dan damai akan mengambil
keputusan murtad sebagai jalan keluar dari rumahtangga mereka.20 Manakala di
Pakistan dan Bangladesh yang mana Akta 1939 ini dipinda dengan Ordinan
Undang-undang - Keluarga Islam 1961 telah menambah alasan sebagaimana dalam
Seksyen 13(a) Ordinan 1961 iaitu apabila suami berpoligami dan didapati menyalahi
Ordinan 1961 iaitu kebenaran daripada "Arbitration Council" tidak diperolehi.
Peruntukan Fasakh di Malaysia
Peruntukan tentang fasakh, bukanlah perkara baru. Ini adalah kerana dalam
Fasal 27, Hukum Kanun Melaka alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui
fasakh telah diperuntukkan iaitu:
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
6
"Fasal yang kedua puluh tujuh pada menyatakan hukum khiyar itu mau pada
perempuan, mau pada laki-laki itu atas lima perkara 'aibnya itu, pertama-tama
'aib gila (dan) judham, kedua baras, ya'ni sopak atau kedal, ketiga 'aib ratak,
keempat 'aib karan, ya'ni tumbuh tulang pada perjinya, 'aib kebiri (dan) orang
yang lemah zakarnya iaitu seperti orang ratak hukumnya, dan judham pun
demikian juga, tiada sah nikahnya kahwin dengan orang yang demikian itu.
Adapun jikalau dikahwinkan orang suatu laki-laki maka tiada diberinya akan
hal ada perempuan itu berpenyakit yang demikian itu.Telah kemudian, maka
baharu diketahuinya, nescaya-terurailah kahwinnya itu yakni “fasakh”,
tiadalah laki-laki itu menanggung isi kahwin perempuan. Dan demikian lagi,
jikalau ada 'aib laki-laki yang berpenyakit seperti yang tersebut itu, maka
itupun “fasakh” jua, jikalau tiada kabul perempuan itu, diberitahunya kepada
Hakim, niscaya cerai jua.
Jika lemah zakarnya laki-laki itu, maka disuruh oleh Hakim berubat kepada
tabib yang tahu, maka dinantikan setahun lamanya. Jikalau tiada sembuh di
dalam setahun, maka “fasakh” nikahnya itu.
Adapun akan orang yang baras dan judham dan gila itu jikalau reda
perempuan itu akan laki-laki itu, atau reda laki-laki itu akan perempuan itu,
tiadalah ia “difasakhkan” oleh Hakim akan mereka itu, kerana sama reda
keduanya, ya'ni ia suka keduanya, tiada lagi khiyar daripada yang demikian,
itu kaul yang sah.
Adapun jikalau diperoleh 'aib tatkala di dalam laki-laki, difasakhkannya dirinya
perempuan itu atas isi kahwinnya akan laki-laki itu. Demikian lagi jikalau ada
“aib laki-laki itu di dalam perempuan itu, itupun difasakhkan dirinya daripada
perempuan itu. Demikian lagi atas barang yang diperoleh 'aib di dalam sudah
kahwin, itu pun fasakh jua. Itulah hukum khiyar atas tiap-tiap kahwin.
Demikianlah hukumnya itu.”
Nampaknya alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh telah
dinyatakan dalam Hukum Kanun Melaka. Alasan tersebut ialah berhubung dengan
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
7
kecacatan yang ada pada suami atau isteri. Ini sesuailah dengan prinsip yang
terdapat dalam Mazhab Syafi'i.21 Dengan adanya peruntukan tentang fasakh dalam
Hukum Kanun Malaka, maka bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Melayu pada
ketika itu sudah ada yang membubarkan perkahwinan melalui fasakh mengikut
Mazhab Syafi'i. Ini adalah kerana bagi Ismail Hamid, Hukum Kanun Melaka
merupakan suatu peraturan yang menggambarkan corak dan perkembangan yang
dialami oleh masyarakat Melayu lama.22
Bahkan ini diakui oleh Alwi Syekh al-Hadi, yang menyebut secara sepintas
lalu tentang fasakh apabila beliau membincangkan tentang perkahwinan seorang
janda dalam adat orang-orang Melayu.23 Walau apa pun, bagi Wilkinson, Undangundang
Melaka itu hanyalah suatu digest Melayu lama dan bukannya kod undangundang
yang mempunyai kesan kepada sesiapa yang melanggarnya.24
Manakala dalam Mohammedan Marriage Ordinance 1880,25 fasakh tidak
diperuntukkan secara langsung begitu juga dengan alasan-alasannya tetapi ia
menyebut dalam S.10, Ordinan 1880 “...... if the entry by a divorce, other than the
kind known of Khul...”. Maka fasakh bolehlah dimaksudkan di sini. Bagaimanapun
dalam pindaan tahun 1908, Seksyen 19(l), perkataan fasakh telah dinyatakan
dengan terangnya tetapi masih tiada alasan-alasan pembubaran tersebut.
“A kathi shall have power to receive from a married woman who has either
been resident for at least four months in the district within which he is
appointed or for whose nationality or sect he is specially appointed, an
application for the divorce known in Muhammadan Law as fasakh”.
Sekalipun tiada alasan yang diperuntukkan bagi memohon fasakh, namun
bagi E.n. Taylor, kebanyakan Muslim di Tanah Melayu adalah bermazhab Shafie,
maka dengan sendirinya prinsip dalam mazhab Syafi'i bagi masalah ini akan
terpakai.26
Keadaan yang serupa juga berlaku dalam Enakmen Pentadbiran Islam tiaptiap
Negeri. Sebagai contohnya Seksyen 123, Enakmen Pentadbiran Islam Kedah
1962, hanya memperuntukkan perkara-perkara tentang pendaftaran dan
pentabirannya tatkala isteri memohon fasakh.
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
8
Alasan-alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh nampaknya
telah semakin berkembang dan tersusun. Ini berlaku apabila Malaysia juga tidak
ketinggalan dalam membuat reformasi atas Undang-undang. Keluarga
sebagaimana negara-negara Islam yang lain. Bahkan penggubalan dan
penguatkuasaannya mendapat desakan daripada beberapa perkumpulan Wanita
Islam yang mahukan kedudukan wanita disisi undang-undang berkaitan tentang
undang-undang keluarga diperbaiki.27
Semua Undang-undang Keluarga yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf
bahawa seorang isteri dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau
beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang
Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Di Negeri Perak, alasan yang disenaraikan
sebagaimana yang diperuntukkan,dalam Seksyen 49, Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Perak, Bil 13, Tahun 1984,
a) Bahawa suami telah mati pucuk dan masih lagi sedemikian
keadaannya dalam masa setahun setelah dibuat pengaduan,
b) Bahawa suami telah gila atau sedang mengidap penyakit kusta atau
vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh
berjangkit selama tidak ada kenyataan yang terang menunjukkan
relanya dengan penyakit tersebut.
c) Bahawa izin isteri terhadap perkahwinan itu telah diberi secara tidak
sah samada oleh sebab paksaan, kesilapan ketidak sempurnaan akal
atau pun lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak,
d) Bahawa pada masa perkahwinan itu, suami adalah seorang yang sakit
otak (samada berterusan atau berselangan) dalam erti Ordinan sakit
0tak 1952 dari jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk
berkahwin;
e) Atas apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan
perkahwinan atau bagi fasakh menurut Hukum Syarak”.
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
9
Akuan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh
Manakala dalam enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 1,
tahun 1983, Seksyen 38 selain dari memperuntukkan sebagaimana Undang-undang
Bil.13/1984 (Perak), ia juga ada memperuntukkan alasan bahawa isteri yang telah
dikahwinkan oleh bapanya atau datuknya sebelum ia cukup umur mengikut Hukum
Syarak yang mana ia boleh menolak perkahwinan tersebut setelah mencapai umur
18 tahun. Penambahan kepada 3 alasan yang lain sebagaimana yang diperuntukkan
dalam Seksyen 44 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, Bil. 1/1984
iaitu :
a) Bahawa suaminya, kerana kepapaan tidak mampu menyarainya
b) Bahawa isterinya mempunyai kecacatan yang menghalang
persetubuhan dilakukan,
c) Bahawa suaminya mempunyai kemaluan yang luar biasa.
Bagaimanapun bagi negeri-negeri Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah
Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor 28 telah memperuntukkan alasanalasannya
dengan agak luas sebagaimana:
a) Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh
lebih daripada satu tahun.
b) Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan
nafkahnya selama tempoh tiga tahun.
c) Bahawa suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih
d) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah,
kewajipan perkahwinan (nafkah batin) selama tempoh satu tahun
e) Bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain:
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
10
i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita
disebabkan oleh kelakuan aniya, atau
ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup
berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak, atau
iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau
iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari
menggunakan hak-haknya di sisi-undang-undang terhadap
harta itu, atau
v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan
atau amalan agamanya, atau
vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak
melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendakkehendak
Hukum Syarak
f) Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum
disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya.
g) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan
perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.
Dengan tersenarainya alasan-alasan tersebut, maka mudahlah bagi
seseorang isteri untuk memohon fasakh terutamanya apabila terdapat peruntukkan,
apa-apa alasan lain..." yang dianggap sah dan munasabah.
Fasakh Kerana Keganasan yang Berlaku dalam Rumahtangga
Masalah penderaan dan penganiayaan yang dilakukan suami kepada isteri
bukanlah suatu fenomena baru di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa kes-kes
tersebut meningkat dari tahun ke tahun. Bahkan kalau dilihat dari sudut
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
11
pembahagian kumpulan etnik yang terlibat dengan kes sebegini, maka bangsa
Melayu menduduki tangga yang teratas diikuti oleh bangsa Cina, India dan lain.29
Dan antara punca terbesar berlaku keganasan itu adalah kerana tiada
persefahaman dalam rumahtangga. Dengan kata lain bibit-bibit pertelingkahan
memang telah wujud dalam rumahtangga tersebut.
Walter, telah memberi takrif keganasan sebagai sebarang bentuk perlakuan
yang mendatangkan bahaya, bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi juga melalui
apa cara atau teknik yang boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi kepada
mangsa yang terlibat.30 Melalui takrif ini, apa-apa sahaja perlakuan yang boleh
mendatangkan bahaya kepada mangsa adalah suatu keganasan. Bukan setakat itu
sahaja, mana-mana perbuatan yang menyekat dan menafikan hak dan kebebasan
seseorang itu juga dianggap sebagai keganasan.31 Ini bermakna jika seseorang itu
dengan sengaja tidak memberi nafkah dan seumpamanya, maka perbuatan ini juga
dianggap sebagai. Yang demikian, keganasan telah berlaku apabila hak-hak individu
dalam satu-satu rumahtangga telah dicabuli, diderai dan disakiti samada ia
berbentuk fizikal, emosi dan seksual.
Di Malaysia, terdapat kes-kes serius yang telah dilaporkan berlaku seperti
ditikam sehingga terkeluar tali perut, ditendang hingga keguguran, ditumbuk, disiram
air panas, ditetak dengan senjata tajam dan sebagainya. Dalam keadaan sebegini,
isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinannya melalui fasakh
sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 52, Akta Undang-Undang
Keluarga Islam 1984. Dalam kes Hairun bt. Mohd Shariff lawan Omar Mohd Noor 32,
Mahkamah Kadi Kelang telah menolak permohonan fasakh kerana Yang Ariff Hakim
berpendapat bahawa tindakan memukul yang dilakukan suami sebanyak dua kali
belum lagi diertikan sebagai “lazim menyakiti” di bawah Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Selangor. Bagaimanapun rayuan telah dibuat, dan Jawatankuasa
Rayuan berpendapat bahawa Yang Ariff Hakim telah tersilap membuat tafsiran
terhadap maksud “lazim menyakiti”. Mereka juga berpendapat “jika sesuatu
perkahwinan itu ternyata telah gagal dan tujuan suci serta matlamat murninya tidak
tercapai, sebaliknya ianya menimbulkan mudarat, kesusahan, penderitaan,
pertengkaran, pukul memukul, maki hamun dan perkelahian yang berpanjangan,
maka ada baiknya berpisah dengan cara yang baik dan bertimbangrasa, sebagai
jalan penyelesaian terakhir”. Oleh itu Jawatankuasa Rayuan berpendapat bahawa
serangan fizikal yang dilakukan suami adalah penganiayaan mengikut Enakmen
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
12
Keluarga Selangor dan akhirnya permohonan isteri untuk fasakh perkahwinan
dibenarkan.
Begitu juga dalam kes Rosilah Abu Kassim lawan Abdul Rahman Ibrahim
33 di mana perayu (isteri) telah memohon Fasakh kerana suami tidak memberi
nafkah dan pernah menggugut akan membunuh atau mencederakan isteri jika ia
membuat aduan kepada Pejabat Kadi, Setelah mendengar hujah, mahkamah telah
memerintahkan membentuk satu Jawatankuasa Pendamai. Dalam laporan
Jawatankuasa tersebut menyatakan bahawa mereka gagal untuk berdamai dan.
mencadangkan supaya diputuskan samaada dengan cerai biasa atau tebus talaq.
Yang Ariff Hakim telah menolak permohonan isteri kerana isteri gagal untuk
membuktikan salah satu peruntukan yang terdapat di dalam Seksyen 52, Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983. Bagaimanapun
Jawatankuasa Ulangbicara telah memutuskan bahawa “ternyata adanya sebab yang
kuat untuk menggunakan Seksyen 52(h)(i) yang berbunyi..Iazim menyakiti atau
menjadikan kehidupannya menderita di sebabkan oleh kelakuan aniaya... dan
ceraian 1 yang berbunyi... apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi
membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”. Oleh itu
Jawatankuasa Ulangbicara memutuskan supaya dilakukan perceraian biasa
mengikut prosedur dalam Seksyen 47(1) Enakmen 1983.
Dalam dua kes yang berlaku di India, Umar bibi lawan Mohammad Din dan
Sayeeda lawan Muhamntad sami 35, Mahkamah Tinggi Lahore telah menolak
keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rendah. Dalam kedua-dua kes ini, isteri
telah memohon untuk membubarkan perkahwinan melalui Seksyen 2(ix) Akta
pembubaran Perkahwinan Islam 1939 kerana perkahwinan mereka sudah tidak ada
persefahaman dan keserasian. Begitu juga dalam kes kedua isteri tidak dapat
membuktikan bahawa dia telah didera oleh suaminya. Oleh kerana itu Hakim Daerah
telah menolak permohonan isteri untuk membubarkan perkahwinan tersebut.
Melihat kepada kedua-dua kes ini, carroll berpendapat bahawa walaupun undangundang
telah memperuntukkan satu senarai alasan-alasan bagi isteri membubarkan
perkahwinannya namun dari segi realitinya, Mahkamah sukar untuk membenarkan
permohonan isteri.36 Keadaan ini boleh dilihat dalam kes Mohamed Habibullah bin
Mahmood lawan Faridah binti Dato' Talib 37, yang mana isteri mendakwa telah
diserang dan serang sentuh oleh suaminya. Dengan itu isteri memohon pembubaran
perkahwinan melalui Mahkamah. Oleh kerana kes ini membincangkan bidangkuasa
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
13
Mahkamah dalam membicarakan kes ini dan isteri masih terus lagi diserang sentuh,
menyebabkan dia mengambil keputusan untuk keluar dari Islam (murtad).
Keputusannya ini hanyalah untuk mengelakkan dari diserang berterusan dan
membubarkan perkahwinan apabila Mahkamah tidak dapat memutuskan tentang
kes tersebut.
Kesimpulan:
Dengan adanya peruntukan yang diambil dari prinsip mazhab Maliki ini, maka
isteri-isteri yang berumahtangganya tidak bahagia terutamanya disebabkan oleh
penganiayaan akan dapat diselesaikan. Bagaimanapun kalau dilihat dari takrif yang
di nyatakan sebelum ini berhubung dengan konsep keganasan maka ini bermakna
mana-mana peruntukan yang boleh menggambarkan wujud penderaan dan
penganiayaan akan membawa maksud sebagai “penderaan". Tidak kiralah samada
suami tidak membayar nafkah, suami hilang, suami menjatuhkan maruah atau
sebagainya maka ini sudah boleh dimaksudkan sebagai suatu penganiyaan dan
penderaan. Dengan kata lain perkara-perkara tersebut boleh mendatangkan
kemudaratan rumahtangga terutama sekiranya isteri yang menjadi mangsa.Seksyen
2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984
memperuntukkan bahawa yang dimaksudkan dengan "darar syarie " itu ialah bahaya
yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran atau harta
benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak. Perkara-perkara ini
boleh dilihat umpamanya dalam Seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam
1984 telah menyenaraikan alasan-alasan yang boleh membubarkan perkahwinan
melalui fasakh. Alasan-alasan tersebut bolehlah kita rangkumkan didalamnya empat
aspek utama iaitu : Kerana keaiban dan kecacatan suami, kerana suami hilang atau
dipenjarakan, kerana berlaku dharar kepada isteri dan kerana suami tidak
membayar nafkah. Keempat-empat aspek ini adalah yang dikatakan termasuk di
dalam definasi al-Shatibiy dan Walter sebagai keganasan iaitu menyentuh fizikal,
mental dan emosi. Tetapi malangnya walaupun undang-undang telah
memperuntukkan fasakh namun kes-kes yang diputuskan melalui fasakh untuk
tahun 1995 hanyalah 3 kes sahaja jika dibandingkan dengan khlu'. Ini berlaku
kerana mengikut Prof. Madya Redzuan Awang, proses fasakh di Mahkamah
mengambil masa jika dibandingkan dengan ta'liq dan khul'.38 Bagaimanapun
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
14
Sulaiman Endut menyatakan “kejahilan mengenai hak sebagai seorang wanita
menyebabkan ramai wanita ditindas, ditipu, ditinggal dan digantung tidak bertali oleh
suami”.39 Oleh itu, apakah ini bermakna isteri-isteri memang tidak tahu fungsi fasakh
bagi membubarkan perkahwinan mereka atau kerana memang benar prosesnya
merumitkan!
NOTA HUJUNG
1. Ali al-Khafif, Furaqal-Ziwajfi al-Madhahib al-Islamiyyah, 1957, m.s. 10 Abu Zuhrah, al-Al-
Ahwal al-Syakhsiyyah, 1957, Dar al-Arabiy, m.s. 277 juga al-Zuhayli, Wahbah, al-Fiqh al-
Islamiy wa Adillatuhu, 1989, Juz:7, Dar al-Fikr, hal. 347
2. Syekh Muhammad bin Umar ‘Utayni, Huquq al Mar’ah fi al-ziwaj, t.t.,Dar I’tisam, hal 303
3. Ibn MAnzur, Lisan al-Arab, 1994, juz:3, Dar al-Fikr, hal. 45
4. Khallaf, Abdul Wahab, Ahkam al-Ahwal al-Syaksiyyah fi al-Shariati al-Islamiyyah, 1990, Dar
al-Qalam:Kuwait, hal. 160.
5. Abu Zqhrah, op.cit, hal 347.
6. al-Zuhayli, opcit, hal 509.
7. Lihat sebagai contohnya dalam al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, al-Haramain, t.t. hal.85 dan juga
Abu Shuja’, al-Iqna, juz;2 hal. 129.
8. Ibid
9. Khallaf, Abdul Wahab, op.cit, hal 167
10. al-Marghinani, al-Hidayah, t.t. juz:1, hal 26
11. Ali Khafif, op.cit, hal. 319.
12. Contohnya keterangan lihat dalam Ibn Qudamah, al-Mughni, hal. 585, juz:7, juga lihat dalam
Taj, Abdul Rahman.
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
15
13. Taj, Abdul Rahman, al-Syariah al-Islamiyyah fi al-Ahwal al-Shakhsiyyah, 1952, Dar al-Ta’lif,
hal. 367-378; Abdul Kadir Muhammad, “fasakh kerana ketidak mampuan memberi nafkah
dan kecacatan suami” dalam Monograf Syariah, 2, Mei 1994, hal 107.
14. Abu Ishaq al-Syatibi, al-Muafaqat fi Usul al-Shariah, juz. 4 hal. 28-30.
15. Dr. Mustafa al-Sibai’e, al-Mar’ah baina al-Fiqh wa al-Qanun, 1962, al-Maktabah al-Islamiy:
Damsyik, hal.144.
16. Lihat Anderson, “Recent Developments in Shariah Law V” dalam The Muslim World, Vol:XLI,
hal. 271.
17. J.N.D. Anderson, ““Recent Developments in Shariah Law V” dalam The Muslim World,
Vol:XLI, hal. 271 Lucy Carroll, “Qur’an 2:229, A Charter granted to the wife, judicial Khulu’ in
Pakistan” dalam Islamic Law and Society, vol:3, No.1, 1996, hal 91 dan Ahmad Ibrahim.
“Fasakh for failure to maintain” dalam Journal of Malaysian and Comparative Law, 1970, hal.
329.
18. Untuk keterangan lanjut dan peruntukan tambahan bagi seksyen-seksyen tersebut lihat J.J.
Nasir, The Islamic Law of Personal Status, 1990, London & Trotman, hal-hal. 125-141.
19. Hodkinson, K., Muslim Family Law, A Sourcebook, 1984, Croom Helm: London, hal 224.
20. Lucy Carroll, “Muslim Women and Judicial Divorce:An Apparently Misunderstood Aspect of
Muslim Law” dalam Islamic & Comparative Law Quarterly, 1988, vol:5, hal. 226.
21. G.W.J.Drewes, On a recent Edition of the Undang-undang Melaka” dalam JMBRAS, vol:LIII,
Part 1, 1980, hal. 40.
22. Ismail Hamid, Masyarakat dan Budaya Melayu, 1991 DBP:KL.
23. Alwi Sheikh al-Hady, Malay Customs and Traditions, 1962, Eastern Universities Press,
Singapore, hal. 49.
24. R.J. Wilkinson, “Law, Introduction Sketch” dalam Papers on Malay Subject, 1922, hal. 3.
25. Suatu Ordinan yang memperuntukkan tentang pendaftaran, penceraian dan kesannya
terhadap harta dan juga pelantikan kadhi. Ordinan ini terpakai untuk-untuk orang Islam yang
menetap di negeri-negeri Selat.
Jurnal Syariah 5, Bilangan I
16
26. Lihat dalam E.N. Taylor, “Mohammedan Divorce by Khulu” dalam JMBRAS, vol. Xxi, Pt.2, hal.
6, lihat juga dalam kes Rokiah lwn Abu Bakar dalam Ibid, hal. 10.
27. Lihat Ahilemah Joned, “Keupayaan dan Hak Wanita untuk Berkahwin:Indah Khabar Dari
Rupa” dalam Makalah Undang-undang Menghormati Ahmad Ibrahim, DBP:KL, 1988, hal. 2.
28. Sek. 49 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, 1985; Sek. 52
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Pulau Pinang, Bil 2/1985;Sek. 52, Akta Undang-
Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, 1984; Sek.52, Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Negeri Sembilan, 1983 dan Sek.52 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Selangor, 1984.
29. Utusan Malaysia, 19.8.1996, hal. 21.
30. Lihat dalam Freeman, M.D.A. Violence in the Family, Saxon House: England, (1979), hal. 1.
31. Wallace, H, Family Violence, Legal, Medical and Social Perspective, 1996, Allyn Bacon:
U.S.A., hal.2.
32. Kanun, Jurnal Undang-Undang Malaysia, (1993), hal. 163.
33. (1991) 8 JH 249
34. ILR (25, Lahore) 1944, 542
35. PLD, 1952, Lahore, 113
36. Lucy Carroll, “Quran 2;229: A Charter granted to the wife? Judicial Khulu’ in Pakistan” dalam
Islamic Law and Society, 1996, vol:3, No.1. hal. 90.
37. Lihat dalam Kanun:Jurnal Undang-Undang Malaysia, 1993, (1) hal. 79.
38. Lihat Dakwah 1996, Bil 226, hal-hal. 14-15.
39. Utusan Malaysia, 9.9.1996.

1 comment:

Arif Aziz said...

Salam. Boleh try produk saya ni tgk.. please refer di link kat bawah ni..

http://www.ubatvitiligo.com/

Contact saya untuk pertanyaan lanjut, 019-5440021 (Arif Aziz)

TQ.