Tuesday, March 2, 2010

1 PERWALIAN DALAM ISLAM ( file JAKIM )

1. PENDAHULUAN
Wali adalah satu aspek penting dan utama dalam perkahwinan, ia menentukan
sah atau tidaknya sesuatu akad nikah yang dijalankan ini dapat difahami dari
hadis Nabi s.a.w.:
" لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ "
Maksudnya: “ Tidak sah nikah kecuali dengan wali. ”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Dan Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: “Maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menghalang mereka
daripada berkahwin semula dengan bekas-bekas suami mereka, apabila mereka
bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik”.
(Surah al-Baqarah, ayat: 232)
Oleh itu menjadi tugas utama Penolong Pendaftar dan Pendaftar perkahwinan
dan masyarakat amnya memastikan wali yang menepati ketetapan syarak dalam
urusan perkahwinan, kerana kecuaian dalam masalah wali menyebabkan
pasangan menghadapi masalah di masa hadapan, yang mengakibatkan tekanan
emosi dan perasaan, sepertimana berita yang kita temui melalui media massa
2
berhubung pasangan yang terpaksa difarak atau dipisahkan buat sementara
waktu kerana didapati pernikahan itu tidak sah disebabkan masalah wali, begitu
juga ada majlis akad nikah yang terpaksa ditangguhkan kerana masalah yang
sama iaitu status wali diragui.
Untuk mengatasi masalah di atas supaya tidak berulang lagi, kita semua perlu
mengambil tanggungjawab bersama memahami masalah perwalian dalam
palaksanaan sesuatu perkahwinan, kerana perwalian adalah perkara pokok yang
perlu dikenalpasti sebelum sesuatu akad nikah dijalankan, dan kita jangan
mengambil jalan mudah dalam masalah wali, kerana tertib susunan wali
ketentuan Ilahi yang tidak boleh dilangkaui dan perlu dipatuhi sepertimana yang
telah ditetapkan oleh syarak, tiada kompromi dan tolak ansur dalam mematuhi
tertib / susunan wali tanpa sebab yang disyarakkan.
2. TAKRIF WALI
2.1 Perkataan wali diambil daripada perkataan Arab Al-Wilayah ( ( اَلْوِلاَيَةُ
yang bererti kesanggupan bertindak mengurus atau kekuasaan mentadbir
sesuatu seperti mengurus anak yatim dengan menjamin keperluannya
dan memperwalikan perempuan iaitu menjalankan akad nikah ke atasnya.
2.2 Ringkasnya, takrif wali dapat dibahagi kepada dua:
a) Dari segi bahasa : Kesanggupan bertindak, mengurus atau
kekuasaan mentadbir sesuatu.
b) Dari segi istilah : Orang yang memiliki atau diberikan
kuasa syarak untuk mengakad nikah.
3. SEBAB-SEBAB WILAYAH / KEKUASAAN
3
3.1 Terdapat empat sebab seseorang itu mendapat Wilayah / Kekuasaan
untuk menjadi wali.
a) Wilayah / Kekuasaan dengan sebab sifat kebapaan.
b) Wilayah dengan sebab sifat Asobah ( seperti dalam masalah harta
pusaka).
c) Wilayah dengan sebab memerdekakan hamba ( tuan yang
memerdekakan hamba ).
d) Wilayah / kekuasaan dengan sebab kekuasaan sebagai sultan atau
Raja.
4. BAHAGIAN WALI
4.1 Wali / Wilayah terbahagi kepada2 :-
a) Wali mujbir / paksa
b) Wali ikhtiar.
4.2 Wali Mujbir dianggap sebagai wali yang sempurna, kerana ia mempunyai
kuasa penuh untuk megahwinkan orang di bawah jagaannya, walaupun
bapa boleh mengahwinkan anaknya yang masih dara tanpa izinnya, tetapi
sunat bagi bapa meminta izinnya, dan bapa juga tidak boleh bertindak
sesuka hati mengguna kuasa ijbarnya, ia perlu memastikan tindakan itu
memang perlu dan wajar untuk kebaikan anaknya, kerana itu Islam
meletakkan tiga syarat yang membolehkan bapa mengguna kuasa paksa/
ijbarnya kepada anaknya.
1) Tidak ada perseteruan yang nyata di antara bapa dan anak
gadisnya.
4
2) Hendaklah calon suami itu kufu / sesuai denga anaknya.
3) Hendaklah suami itu mampu membayar mahar dengan segera.
4.3. Anak perempuan janda, bapa / wali tidak boleh memaksa anaknya yang
telah janda, kecuali dengan izin yang jelas daripadanya kerana hadis Nabi
s.a.w. yang diriwayatkan oleh Darulqutni menyatakan:
" اَلثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا وَالْبِكْرُ يُزَوِّجُهَا اَبُوْهَا "
Maksudnya: “Perempuan yang janda itu lebih berhak ke atas dirinya
sendiri dari walinya dan perempuan yang dara itu dikahwinkan oleh
walinya”.
4.4 Wali ikhtiar adalah wali yang sabit dari semua wali-wali dari Asobah pada
menghawinkan perempuan dengan izinnya, termasuk dalam wali ikhtiar
ialah wali Akrab dan Wali Aba`ad, iaitu wali yang sabit perwaliannya
apabila ketiadaan Wali Mujbir iaitu Bapa atau Datuk sebelah bapa, wali ini
terpakai kepada perempuan dewasa yang berakal dan ia tidak
mempunyai kuasa paksa di dalam akad nikah. Wali Ikhtiar hanya boleh
mengahwinkan setelah mendapat persetujuan / izin perempuan. Lafaz izin
diperolehi dengan dua cara:
a. Bagi perempuan yang janda, perlu lafaz izin secara jelas dalam
bentuk lafaz tidak memadai diamnya.
b. Izin perempuan yang dara memadai dengan diamnya.
Nabi s.a.w. bersabda:
5
" وَالْبِكْرُ يَسْتَأْمِرُهَا أَبُوْهَا وَإِذْنُهَا سُكُوْتُهَا "
Maksudnya: “Perempuan yang dara sunat diminta izin oleh bapanya, dan
izinnya adalah diamnya”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
4.5 Mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)
1984 Akta 303 berhubung dengan wali adalah seperti berikut :-
Seksyen 7.
(1) Sesuatu perkahwinan di Wilayah Persekutuan hendaklah mengikut
peruntukan Akta ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum
Syara` Oleh :-
a. Wali dihadapan Pendaftar.
b. Wakil wali di hadapan Pendaftar dan dengan kebenaran
Pendaftar, atau
c. Pendaftar sebagai wakil wali.
(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang
tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan
itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali raja.
5. SYARAT-SYARAT MENJADI WALI
6
5.1 Syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang wali adalah seperti berikut:-
a) Lelaki
b) Baligh dan berakal
c) Beragama Islam
d) Bersifat adil tidak fasik
e) Wali tidak dalam ihram
f) Merdeka / Bukan hamba
g) Tiada kecacatan penglihatan ( disebabkan tua ) yang boleh
menjejaskan pandangan.
5.2 Keterangan ringkas mengenai syarat-syarat wali:
a) Wali lelaki – orang perempuan tidak diberi kuasa menjadi wali
kepada orang lain dan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri.
b) Wali itu baligh dan berakal, oleh itu tidak sabit perwalian kanakkanak
yang mumaiyiz terhadap orang lain. Hendaklah wali itu tidak
gila dan tidak rosak fikiran misalnya terlalu bodoh / safih ( .( سَفِيْه
Maksud Safih di sisi Imam Al-Syafie ialah orang yang membazirkan
hartanya dengan perkara haram seperti berjudi, minum arak dan
sebagainya, kerana itu mengikut hukum syarak pemerintah boleh
menahan hartanya dari diguna pemilik yang safih.
c) Wali itu adalah seorang Islam. Orang kafir tidak boleh
mengahwinkan perempuan Islam kerana tidak ada Al-Wilayah
(kekuasaan) orang kafir terhadap orang Islam. Firman Allah
S.W.T.:
7
Maksudnya: “Dan Allah tidak akan menjadikan orang kafir
mempunyai sebarang jalan (perwalian) kuasa terhadap orang
mukmin”.
(Surah Al-Nisa’, ayat: 141)
Demikian juga al-Wilayah dalam perkahwinan merujuk kepada
golongan Asobah seperti dalam masalah harta pusaka, dalam
masalah ini orang Islam dan orang kafir tidak boleh saling mewarisi
harta pusaka antara satu sama lain.
d) Wali adil – maksud adil ialah tidak melakukan dosa-dosa besar,
tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, dan tidak melakukan
perkara-perkara yang menjatuhkan maruah seperti kencing dijalanjalan
raya, tanpa bertaubat, tetapi apabila wali bertaubat dengan
sebenarnya, maka ia layak untuk menjadi wali.
e) Wali tidak dalam Ihram
Orang yang sedang berihram haji atau umrah tidak boleh
berkahwin atau mengahwinkan orang lain sebagaimana yang dapat
difahami dari hadis Nabi s.a.w.:
" لاَ يَنْكِحُ الْمُحْرِمُ وَلاَ يُنْكَحُ وَلاَ يخطب "
8
Maksudnya: “Orang yang berihram (lelaki dan perempuan) tidak
boleh berkahwin dan tidak boleh mengahwinkan (perempuan sama
ada yang berihram ataupun tidak), dan dia tidak boleh meminang”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
f) Wali itu merdeka, oleh itu hamba tidak mempunyai kuasa perwalian
terhadap sesiapa pun, kerana apabila dia tidak mempunyai kuasa
ke atas dirinya sendiri maka sudah pasti dia tidak mempunyai
kuasa terhadap orang lain.
6 TERTIB WALI
Tertib wali dalam perkahwinan orang Islam adalah satu tuntutan yang
perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh semua pihak samaada
pasangan yang akan berkahwin, ibubapa, terutama mereka yang terlibat
secara langsung dalam urusan perkahwinan, seperti Penolong Pendaftar
dan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk. Di sini diperturunkan susunan wali
mengikut tertibnya:-
i) Bapa kandung
ii) Datuk lelaki sebelah bapa ke atas
iii) Saudara lelaki seibu sebapa
iv) Saudara lelaki sebapa
v) Anak saudara lelaki sebelah bapa seibu sebapa ke bawah.
vi) Anak saudara lelaki sebapa ke bawah.
vii) Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
viii) Bapa saudara sebelah bapa sebapa
ix) Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa ke bawah
(sepupu)
9
x) Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah (sepupu)
xi) Bapa saudara bapa seibu sebapa (datuk saudara)
xii) Bapa saudara bapa sebapa (datuk saudara)
xiii) Anak lelaki bapa saudara bapa seibu sebapa (dua pupu)
xiv) Anak lelaki bapa saudara bapa sebapa ke bawah (dua pupu)
xv) Bapa saudara datuk lelaki seibu sebapa
xvi) Bapa saudara datuk lelaki sebapa
xvii) Anak lelaki bapa saudara datuk lelaki seibu sebapa ke bawah
xviii) Anak lelaki bapa saudara datuk lelaki sebapa ke bawah
xix) Wali hakim / raja
xx) Wali tahkim ( bagi negeri yang tiada wali hakim )
xxi) Al-Mu’tiq ( اَلْمُعْتِق ) tuan yang memerdekakan hambanya yang
perempuan.
7. PERNIKAHAN / AKAD NIKAH MELALUI WALI HAKIM
7.1 Bagi perempuan yang tiada mempunyai wali nasab, atau mempunyai
masalah dengan wali, mereka boleh mendapatkan wali Hakim / Wali Raja
kerana Raja menjadi wali bagi mereka yang tiada wali, Hadis Nabi s.a.w.:
" اَلسُّلْطَانُ وَلِيٌّ مَنْ لاَ وَلِيّ لَهُ "
Maksudnya: “Sultan / Raja adalah menjadi wali bagi mereka yang tidak
mempunyai wali”.
(Hadis riwayat Ahmad dan Ashabul Sunan Al-Arba`ah dari Aishah)
10
Pernikahan yang memerlukan Wali Hakim bagi perempuan yang
mempunyai masalah dengan wali dalam keadaan berikut:-
a) Wali enggan
b) Wali ghaib / hilang
c) Wali bagi saudara baru
d) Wali bagi anak tak sah taraf
e) Wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali nasab
7.2 Mengikut seksyen 13(b) Akta Undang-Undang keluarga Islam Wilayah
Persekutuan, menjelaskan bahawa:-
Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak
perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am
atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas
penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi
persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali raja mengikut hukum
Syarak, persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada
mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak
dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa
sebab yang mencukupi.
7.3. Mengikut seksyen 18(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu:-
(a) Jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang
dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan
dalam seksyen 8; atau
(b) Jika pihak perempuan adalah seorang janda yang tersabit
oleh seksyen 14(3); atau
(c) Jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab
mengikut Hukum Syara’.
11
Maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen
17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syar`iah yang
mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.
8. PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN PERINTAH WALI HAKIM
DARI MAHKAMAH SYARIAH
8.1 Tindakan Pertama. Permohonan perlu menyediakan dokumen seperti
berikut:-
i. Salinan kad pengenalan pemohon
ii. Surat beranak pemohon
iii. Salinan Sijil Nikah Wali
iv. Salinan Kad Pengenalan Wali ( bagi perempuan )
v. Salinan Kad Pengenalan saksi ( 2 orang lelaki )
vi. Surat pengesahan teruna / dara daripada majikan / ketua
kampung / Penghulu / Pengawa, Surat Akuan Bersumpah
bagi yang tiada majikan.
vii. Salinan sijil kematian ( bagi balu atau duda )
viii. Sijil cerai yang asal ( bagi janda atau duda )
ix. Perakuan memeluk Islam ( bagi saudra baru )
8.2 Tindakan Kedua
a) Mengisi borang permohonan untuk berkahwin dengan sempurna
dan melampirkan dokumen di atas ( yang berkaitan dengan
pemohon sahaja ).
b) Pemohon dan dua saksinya perlu hadir ke Bahagian Perundangan
Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri atau Daerah dan bertemu
12
dengan pendaftar untuk menyatakan masalah yang dihadapi
sebagai contoh wali enggan, dalam kes wali enggan dokumen yang
diperlukan:
i) Salinan kad pengenalan pemohon dan dua orang saksi.
ii) Surat akuan dara.
iii) Surat cerai asal atau salinan sijil kematian ( bagi janda atau
balu ).
c) Pendaftar akan mengeluarkan surat temu janji kepada wali
menjemput beliau untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan
wali.
d) Jika wali tetap enggan, samaada tidak hadir pada hari temujanji
atau hadir temujanji, tetapi tetap enggan untuk menjadi wali,
pendaftar akan menyediakan satu laporan yang menyatakan
tindakan-tindakan yang telah diambil oleh pemohon dan pendaftar
untuk mendapatkan persetujuan wali.
e) Laporan tersebut akan diserahkan kepada pemohon untuk
dipanjangkan ke Mahkamah Syariah sebagai lampiran bersama
borang permohonan wali hakim di Mahkamah Syariah.
f) Setelah mendapat perintah menggunakan wali hakim daripada
Mahkamah Syariah pemohon hendaklah hadir semula ke Bahagian
Perundangan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri atau Daerah
untuk urusan akad nikah.
g) Akad Nikah dilakukan oleh Pendaftar atau Penolong Pendaftar
yang ditauliahkan sebagai Wali Hakim.
13
7. KESIMPULAN
Wali adalah salah satu dari rukun-rukun nikah yang perlu dikenalpasti dan
dilaksanakan mengikut tertib atau susunannya yang sebenar. Kegagalan
mematuhinya mengakibatkan akad nikah yang dijalankan tidak sah dan memberi
kesan yang negatif kepada pasangan, keluarga, masyarakat dan Institusi
Pentadbiran Agama Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab semua pihak
terutama keluarga terdekat mesti berani berterus terang menyatakan kebenaran
dan Penolong Pendaftar dan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk pula perlu mahir
dalam masalah perwalian dan cekap serta cermat dalam soal selidik berhubung
dengan tertib wali.

No comments: