Monday, October 5, 2009

DEFINISI HARTA SEPENCARIAN

Definisi Harta Sepencarian
Harta sepencarian adalah harta alih atau tak alih yang diperoleh bersama ketika di dalam perkahwinan yang sah, sama ada secara langsung atau sebaliknya dengan berlandaskan kepada hukum syarak. Menurut Seksyen 2 Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 memberi takrifan dengan erti harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak, hukum syarak yang dimaksudkan disini ialah mengikut mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali.
Harta sepencarian berperanan memastikan pasangan suami isteri mendapat hak masing-masing hasil daripada sumbangan mereka dalam rumah tangga selain memastikan kehidupan lebih sempurna dapat dikecapi terutama apabila isteri diceraikan suami. Ia merupakan tanda penghargaan suami kepada isterinya di atas sumbangan yang diberikan oleh isteri semasa mereka belum bercerai. Harta sepencarian adalah berlandaskan adat Melayu semata-mata yang mana ia melibatkan sumbangan langsung dan sumbangan tidak langsung, yang dimaksudkan dengan sumbangan tidak langsung ini ialah sumbangan yang tidak dapat dilihat secara hakiki seperti ketaatan isteri menguruskan rumah tangga.
Di dalam Islam tidak diletakkan dalil khusus mengenai harta sepencarian ini kerana ia berlandaskan adat dan adat diterima oleh hukum. Di dalam perundangan Islam apabila sesuatu adat mempunyai kebaikan pelaksanaanya maka ia bertukar menjadi adat yang mesti diikuti.





Kes-kes berkaitan harta sepencarian yang melibatkan pembuktian.
Mamat lwn Fatimah
Di dalam kes ini kedua pihak telah berkahwin dalam tahun 1945, pihak suami telah bekerja sebagai anggota polis cawangan khas dan telah tamat perkidmatannya pada tahun 1975. Dia ( suami) telah ditawarkan dan telah membeli tanah dengan bayaran pendahuluan RM160 dari duit simpanan mereka berdua. Mereka berdua bekerja atas tanah itu dengan seorang lain yang membantu dan mereka telah mendirkan rumah di atas tanah itu. Kemudiannya suami telah membeli dua keping tanah lagi pada tahun 1974. Isteri itu telah dicerai pada tahun pada tahun yang sama, dan dia telah menuntut bahagiannya sebagai harta sepencarian dari tanah dan rumah itu. Mahkamah Syariah atau Mahkamah Kadhi pada masa itu telah memutuskan bahawa oleh kerana suami mengaku dia menerima RM160 dari wang bersama dan tanah itu dikerjakan secara bersama maka tuntutan harta sepencarian sabit atas tanah tersebut. Mengenai tanah yang lain suami diminta bersumpah bahawa ianya adalah bukan dari harta sepencarian. Jika suami itu tidak berani bersumpah , sumpah itu dibalikkan kepada isteri dan jika si isteri mengangkat sumpah maka tuntutan tersebut akan sabit kepada isteri.
Di sini pihak kena tuntut telah merayu dari keputusan Mahkamah Kadhi, jemaah pengadilan membuat keputusan bahawa rayuan diterima dan kes itu diperintah dibicarakan semula kerana jemaah pengadilan mendapati perbicaraan tidak `Muharrar` dengan adanya perkara-perkara yang sepatutnya ditimbulkan dalam perbicaraan tetapi tidak ditimbulkan antaranya:
1. 1/3 usaha isteri yang diakui oleh suami itu tidak ditimbulkan dan tidak dinilai dalam perbicaraan.
2. Kerjasa yang didakwa oleh isteri itu tidak diminta penjelasan. Adakah sama banyak dengan usaha suami dan adakah ia sebagai tolong-menolong antara suami isteri yang pernah berlaku atau dilakukan oleh isteri dengan tujuan habuan dari apa yang dikerjakan. Tidak berbangkit dalam perbicaraan adakah isteri mengeluarkan wang untuk membuat bayaran tanah itu atau memberi dengan tujuan untuk mendapat sebahagian dari tanah itu.
Jemaah pengadilan memerintahkan agar kes itu dibicarakan semula.
Sharifah Sapoyah lwn Wan Alwi
Kes ini berlaku di Sarawak. Di dalam kes ini isteri yang telah dicerai menuntut sebahagian dari harta sepencarian. Tuntutan bekas isteri itu ke atas tanah dan rumah telah ditolak Kadi Besar kerana isteri itu mengatakan dia tidak tahu di mana tempat rumah tersebut. Bekas suami pihak menuntut menafikan tuntutan tersebut sebagai tuntutan harta sepencarian bahkan menafikan rumah itu tidak wujud dan tidak ada. Kadi besar berpendapat pihak yang menuntut hendaklah mengemukakan dokumen yang menunjukkan bahawa harta yang didakwa itu milik yang kena tuntut. Kadi besar juga menolak tuntutan mengenai kereta Toyota kerana yang menuntut gagal membuktikan bahawa kereta itu diperolehi oleh yang kena tuntut semasa perkahwinan mereka, lebih-lebih lagi kereta itu telah didaftarkan atas nama anak perempuan pihak yang kena tuntut. Tuntutan yang lain yang dibuat seperti televisyen, peti sejuk, mesin pembasuh, dan kereta yang sudah terpakai jenis Ford Escort, Mahkamah menerimanya sebagai harta sepencarian di atas pengakuan yang kena tuntut sendiri semasa yang kena tuntut mengemukakan keterangan dan Mahkamah memberi 1/3 atau nilainya kepada yang menuntut.
Didalam kes ini didapati bahawa pihak yang menuntut gagal menunjukkan bukti yang menyokong tuntutannya didalam proses mendapatkan harta sepencarian.
Dapat dilihat dari kedua-dua kes yang yang dinyatakan memerlukan pembuktian ataupun keterangan dari pihak yang menuntut dan pihak yang kena tuntut. Jika dilihat dalam kes Mamat lwn Faridah bertepatan dengan konsep bayyinah dan syahadah yang terkandung didalam seksyen 3(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang memberi takrifan tentang bayyinah dan Seksyen 83 (1) yang memberi takrifan tentang syahadah bagi membuktikan sesuatu.
Didalam kes Sharifah Sapoyah lwn Wan Alwi pula dapat dilihat pihak menuntut gagal menunjukkan bukti dan dokumen bagi mengsabitkan tuntutannya seperti keterangan lisan ataupun keterangan dokumentar sebagai bukti.

1 comment:

Rahaman Rasid said...

Satu artikel yang menarik mengenai beberapa kes pembuktian mahkamah mengenai konsep harta pencarian. Konsep harta sepencarian adalah satu konsep yang boleh diterima pakai khususnya kepada orang Melayu (Islam).

Sila lawai blog saya mengenai maklumat tambahan mengenai harta sepencarian