Monday, January 30, 2012

APAKAH TERLARANG CINTA SEBELUM KAHWIN..???/

Oleh:
Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama spouses and partners. Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.

Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.


Anti-cinta

Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata:

“Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.


Jatuh cinta

Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitnah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.


Rayuan cinta

Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahu kah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?


Dua kekasih

Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).


Haram

Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitnah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitnah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

KEBERKATAN DALAM MENCARI REZEKI

Oleh:
Mohd Suhelmi Azham Bin Mohd Saufi

Dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, Allah membenarkan hamba-hambanya mencari rezeki di muka bumi ini dengan cara yang halal dan baik. Hal ini kerana dengan rezeki yang halal akan menjanjikan kehidupan yang sempurna, keberkataan dan menjanjikan kesihatan. Kerana hasil yang kita dapat akan dihadamkan di dalam perut dan menjadi darah daging kita. Daging yang tumbuh dari rezeki yang haram maka api neraka adalah lebih Aula kepadanya. Dan rezeki yang tidak berkat akan membuatkan kita sering mengalami masalah dalam kehidupan seperti kurang rezeki, anak-anak selalu sakit, masalah rumahtangga dan masalah dalaman.
Kita sering mengalamai masalah rumahtangga dengan berbagai masalah, cuba kita muhasabah kembali seminit atau beberapa zaman seketika dengan melihat segala permulaan hidup, permulaan rezeki, dari mana kita mendapatkan dan menghabiskannya. Saya yakin anda pasti kurang memikirkan kerana kita terlalu mengejar harta keduniaan tanpa kurang memikirkan sejauh mana halal haramnya dan baik buruknya. Sudah menjadi kebiasaan manusia mengejar apa yang tiada yang sering dirisaukan dan meninggalkan apa yang ada mencukupi di hadapan mata dan di tangan kita. Tatkala kita bermuhasabah dengan berpandukan Iman yang dikurniakan kepada kita, pasti kita akan dapat mencari penyelesaian. Di dalam dunia ini beberapa perkara akan merubah diri manusia, saya letakkan 3 perkara utama yang boleh merubah manusia kepada baik menjadi tidak baik dan sebaliknya. Perkara tersebut ialah WANITA, TAKHTA &HARTA. Dengan mengejar wanita manusia boleh hilang pertimbangan, dengan mengejar takhta manusia akan lupa segala tanggungjawab dengan mengejar harta manusia melupakan iman dan amalnya.
2. GAJI KITA...ADALAH HAK KITA....TAPI ADAKAH IANYA BERKAT....?????
Tepuk dada tanya diri buka minda tanya akal. Kita pasti dapat memikiran keadaan ini, dalam kehidupan kita ini Islam tidak pernah melarang kita bekerja samada bekerja sendiri atau mengambil upah( Makan gaji). Perkara ini telah di lakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W semasa hayat baginda, baginda pernah menjadi pengembala kambing dan menjadi ahli perniagaan. Antara sifat terpuji baginda di dalam pekerjaan ialah baginda merupakan seorang yang jujur dalam setiap urusan dan amalan pekerjaan
 SIDDIQ
 AMANAH
 FATHANAH
Andai ada sahaja ustaz atau guru yang mengatakan tentang sifat-sifat ini, kita pasti mengatakan “ itu nabi..kita manusia..mana nak sama..”. Tanggapan sebegini adalah salah sama sekali, hal ini kerana Allah telah mengutuskan baginda S.A.W untuk menyempurnakan akhlak manusia dan menjadi ikutan yang baik. Allah mengurniakan sifat sebegini kepada baginda dan dilihat oleh masyarakat sekelilingnya dan sudah mestinya ia menjadi contoh. Kita ambil contoh yang mudah, Kita melihat seseorang model memakai pakaian yang cantik dan dalam masa yang sama kita juga ingin sepertinya kerana ingin meniru segala pakaian dan perbuatan model tersebut. Begitu juga di utuskan baginda ke dunia ini agar kita mengambil contoh yang telah di didik oleh Allah S.W.T. Di dalam perkerjaan kita seharian semestinya kita mengambil contoh seperti yang di ajarkan oleh baginda kerana itulah contoh yang terbaik yang sudah pasti menjanjikan keberkatan kepada diri kita dan rezeki akan bertambah bila di berkati, kata sarjana Islam “Sedikit rezeki yang halal mencukupi dari sedikit rezeki yang haram tidak pernah mencukupi”.
Saya ambil contoh yang cukup mudah, andainya gaji kita RM2000.00 tetapi kerja yang kita lakukan sambil lewa tanpa memenuhi kehendak gaji yang diberikan dan skop pekerjaan. Maka gaji tersebut akan dipersoalkan di hari akhirat nanti tatkala mulut kita dibisukan dan segala anggota badan kita akan berhujah dengan sendirinya. Dalam dunia pekerjaan kita mesti diberikan ruang untuk “claim”. Cuba kita renung sejenak adakah kita claim mengikut apa yang kita keluarkan? Mengikut apa yang ditugaskan? Mengikut hari yang dinyatakan dalam syarat?. Andai kita mengikuti semuanya, Alhamdulillah keberkatan bersama kita andainya tidak maka tidak ada keberkatan dalam rezeki yang kita terima, andainya kita gunakan untuk makan minum maka seperti yang dijanjikan oleh Allah api neraka adalah yang terbaik untuk kita. Kebiasaan dengan rezeki yang tidak berkat ini Allah akan membalas di dunia, misalnya anak-anak mempunyai masalah sosial, suami isteri selalu bergaduh, duit seringkali tidak mencukupi dan banyak masalah menimpa, kebarangkalian yang nyata ialah berpunca dari rezeki yang tidak diberkati oleh Allah S.W.T.
Dalam hidup ini “ What You Give You Get Back”, apa yang anda lakukan, yang anda berikan maka anda akan dapat kembali. Dalam konteks Islam pula sama ada Allah membalas di dunia ini secara cash atau di hari pembalasan nanti. Namun menjadi lumrah manusia bila menasihati mereka akan berkata “ Kubur masing-masing tak perlu susah-susah fikirkan aku...”, Jawapannya mudah sahaja, sebab kubur masing-masinglah kita sampaikan sebab tatkala di dalam kubur nanti tiada talian CELCOM, MAXIS, DIGI tiada NOKIA, SONY ERICCSON, SAMSUNG, GALAXY TAB, I PHONE nak tolong SMS kan jawapan terhadap persoalan Malaikat di alam barzakh nanti.

“ Antara yang perkara yang membuatkan Roh tertahan untuk naik ke langit ialah bila di tanya oleh Malaikat tentang harta yang kita dapat ke mana kita salurkan......”

MULAKAN HARI KITA, KERJA KITA DENGAN ROHANI YANG POSITIF

Oleh:
Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi

Pernahkah kita merasakan badan kita, otak kita, fizikal kita lemah tatkala kita ingin mulakan sesuatu kerja atau tugasan??diri kita tidak ceria, hati kita tidak tenang perasaan kucar-kacir..??sekarang mari kita renungkan seketika...Pernahkah kita mulakan hari kita dengan perkara ini..
 Solat subuh dengan bacaan Qunut yang betul…???
 Senyum sebelum memakai pakaian kerja…????
 Mulakan hari kita dengan perkataan yang baik..???
 Mulakan hari kita dengan minta restu dan doa dari ibu, ayah, suami dan anak-anak???
 Memulakan dengan doa, ucapan selawat, zikir semasa dalam perjalanan ke tempat kerja…???
 Sebelum masuk kerja pernahkah kita solat sunat DHUHA atau solah sunat yang lain…???

Segala jawapanya di tangan anda, anda yang akan menilainya nanti. Sekarang mari kita renungkan seketika setiap apa yang dikatakan di atas. Perkata yang pertama berkaitan dengan qunut, di dalam doa qunut terkandung di dalamnya doa-doa agar Allah memberikan kesihatan kepada kita, keberkatan kepada kita, petunjuk kepada kita sebelum kita memulakan sesuatu setelah kita bangkit dari kematian seketika. Hati kita, jiwa kita, perasaan kita, aura dalam badan kita akan menjadi tenang, cas-cas positif apabila kita mulakan hidup kita dengan doa dan ayat-ayat Al-Quran kerana semuanya telah bertasbih memuji Allah dan meneutralkan semua aura yang negafif dalam diri. Oleh yang demikian JANGANLAH kita meninggalkan solat subuh dan merugilah bagi yang meninggalkanya.
Senyum sebelum memakai pakaian kerja membuatkan anda merasakan diri anda akan bekerja dengan semangat, ikhlas dan akan lakukan yang terbaik buat diri anda. Ini akan membuatkan anda sentiasa ceria hinggalah sampai ke tempat kerja anda. Bahkan akan menjadikan wajah anda berseri.
Jangan sekali mulakan hari kita dengan perkataan yang tidak baik dengan menggunakan perkataan yang kurang enak didengar, maki hamun orang, marah diri sendiri kerana ini akan membuatkan cas negative dalam badan anda akan mempengaruhi diri anda dan ia akan terbawa-bawa dalam kerja anda. Sentiasa ada yang tidak kena.
Sebelum melangkah ke mana-mana, alangkah baiknya jika kita memohon restu dari orang tua, suami bahkan anak-anak. Tatkala redhanya ibu bapa kepada anaknya, maka Allah akan redhakan kehidupan kita. Tatkala redhanya suami kepada isterinya, malaikat sentiasa memayungi si isteri hingga ia pulang ke rumah. Doa anak-anak yang soleh kepada ibu dan bapanya tidak akan ada hijab dan terus sampai kepada Allah, didiklah anak-anak dengan kebaikan. Kerana andalah ROLE MODEL kepada anak-anak anda.
Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja kurangkan mendengar lagu-lagu yang agak rock, dengarkan lagu yang slow temponya. Tahukah anda bahawa semasa dalam perjalanan apabila mendengar lagu adalah sebahagian dari sunnah Nabim kerana nabi tatkala dalam perjalanan ke mana sahaja dengan para sahabat. Nabi akan meminta sahabat mendendangkan lagu bahkan baginda tersenyum tatkala mendengar lagu. Sebaiknya ialah lagu yang berunsurkan selawat atau puji memuji.
Pernahkan kita merasa sulit hendak menyelesaikan masalah ditempat kerja..???STRESS…..Islam telah mengaturkan ubatnya. Cuba kita praktikkan solat dhuha sebelum masuk kerja. Singgahlah di mana-mana tempat untuk solat atau solat sahaja di pejabat anda, solat dhuha tidaklah lama, tak sampai 10 minit pon. Ini kerana apabila mengamalkan solat dhuha maka Allah akan mempermudahkan urusannya, diperluaskan rezekinya di keluarkan dari kesulitan. Cuba anda lihat makna doa dalam solat dhuha..
“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”
Di dalam doa ini jelas dan terang kita dapat lihat bahawa dengan solat dhuha akan membuatkan diri kita dikeluarkan dari masalah dipermudahkan rezeki dan dalam masa yang sama kita memohon kekuatan dari Allah untuk menjalani kehidupan manusia. Allah swt tidak pernah menjauhi hamba-hambanya tetapi hambaNYA sentiasa menjauhiNYA, melupakanNYA lalai kepadaNYA sehingga melupakan nikmat yang diberikan olehNYA. Seperti dalam firmannya dalam maksud ayat “ Dan apabila hambaku bertanya tentang aku. Maka katakanlah wahai Muhammad, aku terlalu dekat dengan mereka..” dalam maksud firmanya lagi “ Dan berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan permohonanmu..”. lihat betapa dekatnya Allah dengan kita sayangnya Allah kepada kita.
Dalam satu hadis qudsi mengatakan dalam sanad yang sahih menyebut “ Tatkala Allah menjadikan manusia lalu Allah mengambil daun dan menulis SAYANGKU MELEBIHI MARAHKU…dan di letakkan di sisiNYA Subhannallah, selama ini kita menyangkakan Allah membenci kita, murka pada kita namun kita silap, sebenarnya sayang Allah melebihi marahNYA.


Sekarang, marilah kita mulakan hari kita dengan hari yang diberkati, tenang, ikhlas, ceria selalu, gembira selalu dengan KUASA POSITIF DALAM DIRI.
“Proud To Be The Excellent Ummah”