Monday, November 14, 2011

PANDANGAN ISLAM TERHADAP MAKHLUK HALUS

Oleh:Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi
Pengamal Perubatan Islam


PENDAHULUAN

Sebenarnya kewujudan makhluk halus adalah suatu hakikat atau realiti yang wajib diyakini oleh umat Islam. Kewujudan mahkluk halus seperti iblis, syaitan dan jin adalah benar. Islam tidak menolak kewujudan makhluk halus, malah perkara ghaib seperti kewujudan makhluk halus wajib dipercayai kerana Rukun Iman itu sendiri terdiri dari perkara-perkara ghaib yang wajib diimani. Mengatakan makhluk halus tidak wujud bermakna melakukan satu iktikad yang merosakkan akidah. Malaikat, Jin dan beberapa makhluk halus yang lain di sebut dengan jelas dalam Al-Qur’an. Perbuatan sihir juga di sebut dengan jelas oleh Allah dalam Al-Qur’an dan ia memang mampu dilakukan oleh mereka-mereka yang melampaui batas. Menolak kewujudan mereka bermakna menolak ayat-ayat Allah dalam Al-Qur’an dan As Sunnah. Menolak ayat Al-Qur’an bermakna kita beriktikad bahawa kandungan Al-Qur’an itu tidak betul. Dengan iktikad ini, kita mencampakkan diri kita dalam perbuatan tidak beriman kepada Allah Swt. Pandangan islam di sini melalui dalil Al Quran dan As-Sunnah (hadith) dan hanya merujuk kepada jin,iblis dan syaitan tanpa merujuk kepada malaikat kerana malaikat tidak dikenali sebagai makluk halus.

MAKLUK HALUS (JIN/IBLIS/SYAITAN) MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

1. JIN
Makna Jin: Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut Ginie - perkataan tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi, yang tertutup atau yang gelap pekat.
Dalil Al-Quran Mengenai Jin
“Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas .” (Al Hijr 27)
Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 :Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas.
Surah Al-‘Araf ayat 12 :Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata Iblis ) dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah.
“Dan Kami telah menciptakan jin dari nyala api.” (Ar Rahman 15)
Dalil Hadith Mengenai Jin
Dalil dari hadits, riwayat dari Aisyah r.a bahawasannya, Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
” Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang telah engkau ketahui.” [yaitu dari tanah]
(HR. Muslim didalam kitab Az Zuhdi dan Ahmad di dalam Al Musnad).
2.SYAITAN
Syaitan adalah daripada golongan manusia dan jin. Ia musuh bagi tiap-tiap Nabi. Tidak seperti Nabi, yang menyampaikan kepada manusia apa yang diwahyu Allah kepadanya, golongan syaitan pula menyampaikan wahyunya yang tersendiri, yang berupa ucapan palsu tetapi indah-indah belaka. Tujuannya adalah untuk menipu manusia, misalan, dengan mengada-adakan sesuatu dalam agama.
Dalil Al-Quran Mengenai Syaitan
Allah SWT telah berfirman:
“…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raaf, sebahagian ayat 27)
Allah SWT juga berfirman:

“Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya . Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Az-Zukhruf, ayat 36-37)
"ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu." (2:208)
Dalil Hadith Mengenai Syaitan
Shafiyah binti Huyay RA berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Syaitan berpindah pada diri manusia melalui urat darahnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. IBLIS
Dalil Al-Quran Mengenai IBLIS

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. Surah Al-Baqarah: 34

Kisah Iblis Laknatullah dengan Ahli Neraka
Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis laknatullah itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada iblis laknatullah: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah iblis laknatullah menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai para penghuni neraka." Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu iblis laknatullah .

Kata iblis laknatullah : "Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa'iir."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?"

Akhirnya iblis laknatullah berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata iblis laknatullah itu maka mereka melaknati iblis itu. Setelah itu iblis laknatullah dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya."
Begitulah serba sedikit pandangan islam terhadap makhluk halus yang sentiasa dalam menyesatkan umat manusia.semoga kita sentiasa dilindungi Allah Swt dari gangguannya.amin.

SANTAU

SANTAU
Oleh: Ust. Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi
Pengamal Perubatan Islam Darussyifa


Santau adalah merupakan satu perkara yang sering menjadi bualan masyarakat melayu dari zaman dahulu kala dan berlarutan sehingga hari ini. Sejarah bermulanya santau ini adalah dari zaman Wan Pok Wan Malini yang mana pada masa itu, ajaran Islam belum lagi sempurna di Tanah Melayu walaupun telah wujud agama Islam pada waktu itu. Pada masa itu masyarakat Melayu masih lagi mempercayai unsur-unsur kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus dan unsur-unsur pemujaan roh. Akan tetapi santau pada waktu itu digunakan untuk tujuan keselamatan dan peperangan kerana peperangan masih berlaku dengan sengitnya diantara kerajaan-kerajaan Melayu menentang musuh-musuh dari negara luar. Hal ini dapat dilihat dengan sejarah-sejarah Melayu yang menceritakan tentang ada tentera-tentera musuh muntah darah, sakit yang tidak dikenal pasti, sakit yang tidak sembuh, mata jadi tidak nampak, terlena dan sebagainya.

Akan tetapi selepas era peperangan berlaku santau ini digunakan untuk tujuan kepentingan diri, menganiaya orang lain atas sebab rasa tidak puas hati di kalangan manusia yang mana akan memudaratkan sehingga membawa kepada kematian. Hal sebegini amat menyedihkan kerana mangsa yang terkena santau ini akan kelihatan tidak bermaya, sakit selalu, dibayangi bayangan makhluk halus atau seseorang manusia dan berbagai lagi masalah akibat santau. Kebiasaannya santau ini memang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden dan tidak boleh diubati dengan ubatan moden akan tetapi perubatan moden mungkin boleh memberikan vitamin atau ubat tahan sakit sebagai painkiller kepada pesakit. Akan tetapi mereka yang terkena santau ini akan terus menderita dan makin teruk jika tidak dirawat dengan kaedah rawatan santau yang sebetulnya. Kesan santau ini boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman yang teruk sehingga membawa kepada muntah darah, namun tahap yang paling kritikal apabila bisa santau ini telah sampai ke otak dan akan menyebabkan kematian dan inilah dikatakan kemuncak kepada bisa santau yang membawa kepada kematian. Di hospital pegawai perubatan dapat mengesahkan dengan mengatakan kuman telah menyerang otak dan hati atau paru-paru dan menjadi punca kepada kematian. Namun di dalam perubatan Alternatif (perubatan islam) mempunyai diagnosisnya tersendiri jika pesakit disahkan terkena santau ini dengan mendiagnosiskan keracunan yang telah sampai kepada otak. Keracunan dalam perbincangan santau ini memberi maksud bisa santau yang terkena kepada mangsa. Akan tetapi sering kali berlaku percanggahan pandangan teori perubatan antara kedua bidang perubatan ini. Namun hanya pegawai perubatan moden sahaja yang dapat mengesahkan sesuatu kematian dan tidak kepada pengamal perubatan alternatif kerana tidak ada undang-undang yang berkaitan dengan santau ini dan penyakitnya juga tidak ada dalam senarai-senarai penyakit di dalam perubatan moden.

BAHAN-BAHAN YANG DIGUNAKAN UNTUK SANTAU

Di dalam santau ini dan untuk membuat santau, penyantau perlu menggunakan beberapa bahan ramuan untuk membuat santau. Jika disebutkan memang tidak masuk akal dan diterima oleh manusia berkaitan ramuannya. Antara ramuannya yang menjadi bisa kepada yang amat berbahaya kepada mereka yang terkena ialah:
i. Sabut Kelapa ( Dibuat Tali)
ii. Benang
iii. Jarum
iv. Miang buluh
v. Kaca Bal Lampu ( menggantikan miang buluh )
vi. Ulat Bulu Mati beragan
vii. Binatang Mati Beragan
viii. Kain
ix. Paku
x. Rambut
xi. Darah Haid
xii. Minyak Dagu ( anak dara sunti yang telah mati dibakar dagunya untuk mengambil minyak )
xiii. Ulat gonggok Hitam
xiv. Dan lain-lain mengikut kepakaran pembuat santau

Kesemua ramuan ini adakan diadunkan dan di satukan mengikut kepakaran dan kehendak pembuat santau sebelum dipuja dan diseru jin-jin untuk menghantar santau ini. Dalam proses memanggil atau memuja ini pembuat santau akan melakukan pemujaan ditengah-tengah hutan dengan mencari simpang tiga di mana simpang tersebut tidak pernah dilalui oleh manusia atau binatang, kemudian pembuat akan membaca mentera-mentera hinggalah keluar jin tersebut. Setelah jin itu tersebut keluar maka berlakulah perjanjian di antara keduanya maka sempurnalah santau tersebut untuk ditujukan kepada siapa.

Jika santau ini sampai kepada mereka yang ingin disantau, maka orang tersebut akan bermula dengan peringkat sakit yang biasa, seperti sakit kepala, lemah badan, lesu, kepenatan, susah tidur malam dan mimpi-mimpi yang mengerikan. Tanda-tanda yang boleh dirasai oleh mereka yang terkena santau adalah seperti berikut:-


1. BATUK
2. MUNTAH DARAH
3. RASA TERCUCUK DALAM BADAN SEPERTI ADA JARUM
4. DEMAN PANAS
5. SAKIT KEPALA
6. LEMAH SENDI&ANGGOTA BADAN
7. TIADA SELERA MAKAN
8. BADAN SUSUT
9. SUKAR TIDUR MALAM
10. KERAP MENGANTUK
11. GATAL-GATAL BADAN
12. PEMARAH
13. PELUPA
14. RESDUNG
15. KAYAP
16. LUM
17. GILA
18. LEMAH TENAGA BATIN
19. PENYEDIH
20. PENAKUT
21. HILANG KEYAKINAN
22. PEMBENCI
23. PEMALAS
24. FIKIRAN TAK TENTERAM
25. SUKA BERSENDIRIAN
26. SAKIT PERUT
27. SAKIT BELAKANG.....

Berikut adalah tanda-tanda yang dapat dirasakan oleh mereka yang terkena santau. Akan tetapi dinasihatkan agar mereka yang mengalami tanda-tanda ini mendapatkan rawatan di hospital dahulu, jika hospital tidak dapat mengesan penyakit atau diberi ubat tetapi tidak sembuh barulah mendapatkan rawatan di pusat perubatan Islam atau berjumpa dengan pengamal perubatan Islam dan bukanlah dengan berjumpa pawang atau bomoh-bomoh. Ini kerana kebiasaannya mereka yang berjumpa pawang dan bomoh ini makin bertambah teruk. Ini berdasarkan pengalaman saya dalam menangani beberapa kes seperti ini.

JENIS-JENIS SANTAU

Santau dapat dibahagikan kepada beberapa jenis santau yang dihantar mengikut unsur-unsur kejadian seperti unsur Tanah, Air, Api dan Angin. Santau akan dihantar melalui cara-cara ini. Contohnya Tanah, jika penyantau meletakkan santaunya di atas tanah, jika orang yang ingin penyantau inginkan melangkah atau terpijak santau itu, maka orang tersebut akan terus terkena santau. Dengan Kaedah air pula santau diletakkan di dalam air atau makanan dan jika termakan maka orang tersebut akan terkena santau. Bagi Api pula, kebiasaanya penyantau akan menggunakan api untuk menghantar santau kemudian orang yang terkena selalu kepanasan dan kulit seperti terbakar. Dengan kaedah Angin pula, penyantau akan tuju kepada seseorang itu menggunakan angin sahaja dan ini selalunya membuatkan mereka yang terkena santau angin ini merasakan seram sejuk, lemah badan dan akhirnya bila memasuki ke dalam organ badan disinilah membuatkan organ-organ dalam mereka yang terkena santau ini rosak. Namun mereka yang mengidap penyakit kanser boleh dikatakan juga berpunca dari santau dalam keadaan mereka tidak sedari.

Bagi pembuat santau ini, kebiasaannya santau diletakkan di dalam botol dan dalam tempoh genap 3 bulan santau ini akan memenuhi botol ini kerana santau ini hidup dan bertambah, pada bulan ke 4 maka penyantau akan membuang santau ini di kawasan-kawasan terbuka. Tempat yang dipilih untuk melepaskan ini ialah di kawasan orang ramai makan yang terdedah kepada angin. Penyantau akan berada membelakangi angin yang bertiup dan melepaskan santaunya yang diletakkan di jari-jarinya ke arah mereka yang duduk mengadap angin. Satu jari yang dilepaskan 10 orang akan terkena santau ini. Bagi yang duduk membelakangi angin tidak akan kena santau yang dilepaskan akan tetapi terkena jika mereka yang membelakangi itu lemah rohaninya, tidak solat, Gelak atau ketawa yang melampau-lampau.

Santau ini biasanya dilepaskan pada bulan 4, 8 dan 12. Jadi dinasihatkan agar kuranglah makan diluar ketika berada pada bulan ini bagi mengelakkan anda terkena santau ini. Bagi yang terkena santau ini ia akan mengambil masa 5 tahun dari hari mereka terkena dan santau ini dipanggil santau angin.

Ketika rawatan santau dilakukan, kebiasaannya pesakit akan berubah sikap dengan tindakan meracau-racau dan biasanya muntah darah. Kemudian keluarnya kaca-kaca, miang buluh, jarum dari badan ketika proses rawatan ini dilakukan. Selepas rawatan, pesakit akan mengalami kepenatan dan kelesuan yang amat membimbangkan dan kebiasaanya perawat akan memulihkan pesakit dengan air yang di doakan bahkan ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital kerana berlakunya kekurangan darah dengan tiba-tiba dan kekurangan air di dalam badan. Kebiasaannya hospital ini hanya menerima sebagai rawatan kecemasan sahaja dan tidak diterima masuk ke wad untuk rawatan susulan bagi keadaan mereka. Di sinilah berlakunya pertentangan pandangan antara pengamal perubatan moden dan pengamal perubatan Alternatif.

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

Bagi mereka yang mengalami simpton-simpton seperti yang dinyatakan maka dinasihatkan menguatkan ibadah dan bacaan Al-Quran dengan meminum air zam-zam yang dibacakan yasin ke atas air itu. Insyaallah ianya akan mengurangkan bias-bisa santau ini peringkat demi peringkat.

Anda juga boleh mengamalkan bacaan ayat ruqyah bagi mengatasi masalah santau ini iaitu dengan mengamalkan bacaan ayat Al-Quran iaitu surah Al-Fatihah, Surah Al-Hasyr ayat 21-24, 3 qul, Surah Yunus ayat 81-82, Surah Al-A`raff 118-122 dan Surah Toha ayat 69. Bacakan di air untuk di minum atau di amalkan.

Namun haruslah diingatkan bagi mereka yang sudah terkena, selepas anda membaca-baca ayat ini anda akan rasa sakit di dalam badan, letih dan menyucuk, janganlah dirisaukan kerana ayat-ayat ini melawan dengan bias-bisa santau dan memulihkan dalaman dan akan membuatkan badan-badan sakit dan ianya akan berkurangan dari hari ke hari sehinggalah disembuhkan. Rawatan penyakit santau ini memakan masa bertahun-tahun lamanya paling minimum adalah 3 tahun hingga 5 tahun.

Jika terkena santau juga elakkan dari memakan benda-benda yang berminyak, masam, pedas, daging, dan melakukan kerja-kerja berat kerana ianya akan membuatkan organ dalaman rosak dan menjadi penggalak kepada bias-bisa santau dalam badan memakan organ-organ dalaman mereka yang terkena santau ini. Ingatlah setiap penyakit itu ada ubatnya dan bila sakit maka dialah Allah yang menyembuhkan. Insyaallah.

Tuesday, November 1, 2011

9 ORANG "SITI" YANG PERLU DIJADIKAN CONTOH OLEH WANITA MUSLIMAH KITA HARI INI

1) Siti Khadijah
- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah
- Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah b'kata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aishah
- Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar
- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam
- Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah
- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah
- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah
- Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah
- Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

Sunday, October 2, 2011

POLEMIK PELAKSANAAN HUKUMAN HUDUD DI MALAYSIA oleh; Dato Zainul Rijal Abu Bakar

PENDAHULUAN

Mutakhir ini perbincangan mengenai pelaksanaan hukuman hudud mendapat tempat di dada akhbar arusperdana dan juga akhbar-akhbar alternatif. Ramai yang telah memberi kenyataan bagi menzahirkan pendirian mereka terhadap pelaksanaan hukuman hudud di Malaysia, Ada yang menyokong dan tidak ketinggalan juga yang menentang dengan memberi pelbagai alasan. Sebagaimana biasa ahli-ahli politik juga turut serta dalam perbahasan ini dan seolah-olah menjadikan isu ini isu politik.



Saya tidak berhasrat untuk menulis berkaitan isu ini dari perspektif politik tetapi lensa yang saya akan gunakan adalah lensa hukum syarak dan juga sistem perundangan di Malaysia. Saya juga cuba menulis semudah mungkin dan mengelak menggunakan terminologi dan bahasa perundangan yang menyebabkan ramai keliru tentang nukilan ini. Saya berharap nota ringkas ini dapat menzahirkan pandangan saya terhadap isu yang hangat diperkatakan ini tanpa merujuk kepada mana-mana kenyataan yang telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang lain.



PRINSIP ASAS HUDUD

Bagi saya undang-undang hudud adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Orang Islam yang mempertikaikan hudud boleh dipersoal aqidahnya. Umpamanya jika seorang Muslim mengatakan undang-undang hudud adalah zalim dan mundur boleh dipersoalkan syahadah beliau kerana mereka menolak sebahagian daripada apa yang tersurat di dalam Al Quran.

Hudud ataupun kalimah mufradnya had adalah batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Kesalahan dan hukuman hudud adalah tetap. Antara kesalahan hudud ialah berzina qazaf dan mencuri. Perbahasan ulama telah banyak memperkatakan tentang kesalahan hudud tersebut.



Pembuktian hudud pula adalah pembuktian yang amat tinggi iaitu melampaui sebarang keraguan. Ini bermakna sekiranya terdapat sedikit keraguan atau tidak mengikut cara yang ditetapkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan. Walau bagaimanapun sebagai gantinya hukuman takzir yang lebih ringan boleh dilaksanakan terhadap pesalah itu walaupun pembuktian hudud gagal. Berbeza dari fahaman sesetengah orang bahawa jika hudud gagal dibuktikan orang yang dituduh itu bebas sepenuhnya dari sebarang bentuk hukuman.

Perlu juga dizahirkan di sini bahawa undang-undang jenayah Islam terpakai kepada orang Islam sahaja. Orang bukan Islam tidak terikat dengan hukuman ini melainkan mereka sendiri berserah kepada undang-undang Islam untuk diadili.



PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutan memperuntukkan tiga senarai. Iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Parlimen boleh menggubal undang-undang yang terjumlah di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undang Negeri boleh menggubal undang-undang yang jatuh di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Perkara jenayah terletak di dalam item 4 Senarai Persekutuan. Oleh hal yang demikian jika undang-undang hudud tertentu seperti mencuri ingin digubal oleh Dewan Undang Negeri Pindaan terhadap Item 4 ini perlu dilakukan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun di dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan frasa ‘precepts of Islam’ di dalam Item 1 Senarai Negeri bermakna ‘ perintah agama Islam’ bukan ‘rukun Islam’. Oleh itu Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan melanggar ‘perintah agama Islam’ tidak sekadar kesalahan melanggar rukun Islam.

Namun begitu walaupun telah ditafsirkan precepts of Islam adalah sebagai perintah agama Islam Dewan Undangan Negeri masih terhalang untuk menggubal undang-undang hudud seperti mencuri kerana ia masih tertakluk kepada Item 4 Senarai Persekutuan. Kesalahan hudud lain pada pandangan saya seperti berzina riddah dan qazaf walau bagaimanapun boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri tertakluk kepada undang-undang lain.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Terdapat banyak peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Islam. Berhujah dengan menggunakan penghakiman di dalam Che Omar Che Soh sebagai menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tergelincir dari semangat penghakiman tersebut sendiri. Penghakiman Tun Salleh Abbas dalam kes tersebut tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Adalah salah jika kita katakan undang-undang hudud tidak boleh digubal kerana negara Malaysia adalah negara sekular. Sila baca penghakiman-penghakiman mahkamah yang menyatakan tentang kedudukan agama Islam, mahkamah syariah dan pengertian Islam sebagamana yang telah diputuskan di dalam kes-kes seperti Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi (Mahkamah Tinggi), Latifah Mat Zain mlwn Rosmawati Sharibuun (Mahkamah Persekutuan), Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mahkamah Persekutuan), Sulaiman Takrib mlwn Majlis Agama Islam Trengganu (Mahkamah Persekutuan) dan banyak lagi.


UNDANG-UNDANG LAIN

Walaupun kesalahan berzina dan qazaf boleh ditafsirkan sebagai kesalahan melanggar perintah agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan hukuman hudud sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Al Quran tidak dapat dijatuhkan kerana Dewan Undangan Negeri tidak ‘berkemampuan’ menggubal hukuman tersebut sebagai hukuman selepas disabitkan. Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 hanya memperuntukkan Dewan Undangan Negeri boleh mengadakan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan.



Dalam hal yang demikian selagi Akta ini tidak dipinda hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Akta ini telah menghalang pelaksanaan hukuman hudud sebagaimana yang ditentukan oleh Al Quran dan Al Sunnah. Akta ini perlu dimansuhkan terlebih dahulu sebelum Dewan Undangan Negeri dapat menggubal undang-undang bagi meaksanakan hukuman hudud.



PERANCANGAN

Taraf Mahkamah Syariah masih jauh lebih rendah dari mahkamah sivil dari sudut perjawatan, prasarana, gaji dan bidangkuasa. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada bulan Julai lepas telah meluluskan syor penstrukturan semula mahkamah syariah yang akan mewujudkan 5 peringkat mahkamah sebagaimana mahkamah sivil. Hakim-hakim mahkamah tinggi syariah ke atas tidak akan lagi diletakkan sebagai penjawat awam tetapi dalam skim khas sebagaimana rakan mereka di mahkamah sivil.

Dengan pewujudan skim khas ini sudah pasti peranan mahkamah syariah menjadi besar dan mempunyai justifikasi untuk mendapatkan lebih banyak bidangkuasa. Ini termasuklah memansuhkan Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 bagi membolehkan sebahagian hukuman hudud dilaksanakan tanpa perlu pindaan Perlembagaan.



Strategi ini juga bagi membolehkan mahkamah syariah bersedia menerima kes-kes hudud yang lebih kompleks berbanding dengan kes kekeluargaan sahaja. Jika dengan tiba-tiba sahaja mahkamah syariah diberikan kuasa melaksanakan hukuman hudud sedangkan prasarana dan persediaan tidak mencukupi adalah dikhuatiri ia akan menjadi fitnah kepada agama Islam pula. Difahamkan Majlis Raja Raja akan bersidang pada bulan Oktober ini bagi membincangkan syor penstrukturan semula Mahkamah Syariah ini dan diharapkan ia dapat dipekenankan oleh DYMM Raja Raja Melayu.


KESIMPULAN

Melaksanakan Undang-Undang Hudud adalah kewajipan orang Islam. Namun masih terdapat halangan-halangan yang perlu dilupuskan bagi melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. Semua pihak perlu ikhlas di dalam usaha bagi melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia.

Mahkamah Syariah perlu bersedia menerima kes-kes hudud untuk didengar oleh mereka. Latihan dan pengalaman perlu dicari bagi mengelakkan penghakiman kelak bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri disamping mengelakkan salahtanggapan terhadap agama Islam. Kerjaan Perseketuan perlu segera meminda Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan memansuhkan Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 bagi membolehkan negeri-negeri menggubal undang-undang bukan sahaja hudud tetapi undang-undang lain yang melanggar perintah agama Islam.

Dalam masa yang sama, perlu juga dipentingkan bahawa dalam keadaan kegawatan ekonomi, sosial dan kebejatan akhlak umat Islam yang begitu ketara, factor-faktor non-legal ini juga perlu diberi penekanan. Sistem ekonomi, pendidikan, tataatur masyarakat dan pemantapan aqidah perlu juga diperbaiki seiring dengan tuntutan melaksanakan hukuman hudud di Malaysia.

Hudud adalah batasan-batasan yang telah digariskan supaya umat Islam tidak melanggarinya. Batasan-batasan ini bukan hanya dalam aspek jenayah sahaja tetapi juga dalam setiap detik kehidupan kita. Janganlah diambil Islam itu dalam kompartmen tertentu sahaja tetapi Islam semestinya diambil secara keseluruhannya.

Adalah amat penting mendapat komitmen daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan hukuman hudud ini. Tanpa pindaan Perlembagaan dan pemasuhan Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1984 mungkin undang-undang hudud akan dicabar di mahkamah kelak. Sudah sampai masanya umat Islam bersatu bagi membuang semua halangan bagi pelaksaan undang-undang Islam bukan memberi pelabagai alasan untuk tidak melaksanakannya.



Adalah amat menyedihkan di dalam menegakkan hujah masing-masing terdapat golongan yang telah menegenepikan tuntutan Al Quran dan seolah-olah mempertikaikan nas-nas yang sahih di dalamnya.

Tuesday, April 26, 2011

RAWATAN GANGGUAN HISTERIA

RAWATAN GANGGUAN HISTERIA&KAEDAH MEREDAKAN GANGGUAN
Oleh:Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi

Histeria merupakan salah satu gangguan yang berpunca daripada kecelaruan emosi dan tekanan perasaan yang memuncak akibat dari trauma atau fobia terhadap sesuatu perkara. Daripada trauma dan fobia inilah maka tercetusnya fenomena yang dinamakan sebagai Histeria. Apabila jiwa kosong dan dan minda bercelaru maka pada saat inilah syaitan dan akan mengganggu fikiran manusia dan mencetuskan keadaan yang lebih teruk jika tidak di kawal. Kebiasaannya pesakit akan bertindak diluar kawalan dan kemampuan manusia hingga mampu melakukan sesuatu perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia dalam keadaan sedar.
Histeria boleh dibahagikan kepada dua:
• Histeria Tekanan Perasaan&Penyakit
• Histeria Gangguan Makhluk halus
Histeria Tekanan Perasaan&Penyakit
Berpunca dari tekanan perasaan akibat stress ditempat kerja ataupun ditempat belajar, manakala bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti masalah mental juga boleh mengalami histeria. Namun histeria pada tahap ini boleh dikawal dan tidak memudaratkan.
Histeria Gangguan Makhluk Halus
Pada tahap inilah mangsa akan menjadi tidak terkawal, meracau-racau, bercakap dalam nada bahasa yang sukar difahami, mempunyai tenaga yang luar biasa. Dalam keadaan sebegini syaitan ataupun makhluk halus akan menguasai jasad dan fikiran manusia. Pada tahap inilah mangsa amat sukar dikawal jika tidak tahu cara yang sebenarnya.
APA YANG PERLU DILAKUKAN JIKA BERLAKU HISTERIA????
 Jangan Panik
 Asingkan mangsa dari tempat yang terbuka atau kawasan orang ramai.
 Jika mangsa histeria melebihi seorang, asingkan mereka dan jangan diletakkan sekali dalam satu kawasan atau tempat kerana ianya akan memburukkan keadaan.
 Jauhkan mereka yang lemah semangat, dibimbangi akan mempengaruhi mindanya dan membuatkan diri mereka yang lemah turut terkena.
 Atau keluarkan terus dari kawasan kejadian.

Bacaan Ayat Suci Al-Quran bagi memulihkan histeria:
1.AL-FATIHAH
2.SURAH AL-IKHLAS
3.SURAH AL-FALAQ
4.SURAH AN-NAS
5.AYATUL QURSI
6.SURAH AL-HASYR AYAT 21-24
7.SURAH AL-MUKMINUN AYAT 115-118


CARA-CARA:
 Baca ikut turutan
 Semasa pembacaan ayat-ayat ruqyah ini hendaklah dipegang dibahagian hadapan kepala( dikawasan dahi dan ubun-ubun.
 Baca mestilah dalam nada yang kuat.
 Hembus sekuatnya dimuka dibahagian muka
 Boleh juga dibaca sambil menepuk-menepuk anggota badan mangsa kecuali tempat sulit mangsa jika yang melakukan adalah lelaki dan mangsa adalah perempuan. Tetapi jika perempuan sesama perempuan dibolehkan. Tepuk sekadar tepuk biasa dan jangan tepuk terlalu kuat.
 Jika belum pulih, Ulang bacaan ayat-ayat tadi untuk meredakan. Dan bawa mangsa berjumpa dengan pengamal perubatan islam bukan membawa jumpa bomoh.
 Jika mangsa sudah pulih buatkan air yang dibaca dengan ayat-ayat diatas dan diberi minum kemudian disapukan ke muka dan kepala.
 Ajar mengucap dan baca ayat kursi( Mangsa )
 Suruh mangsa rehat.

INSYAALLAH SELAMAT DAN SEMBUH……

Thursday, March 17, 2011

HARTA TIDAK PATUH SYARIAH MENJADI HALAL APABILA DI PERBENDAHARAAN&BAITULMAL YANG DISALURKAN UNTUK MANFAAT BERSAMA DAN NEGARA.
Oleh:Mohd Suhelmi Azham Mohd Saufi

Saya tertarik untuk menulis artikel ini apabila saya lihat isu ini telah dipolitikkan oleh sesetengah Ahli Politik demi kepentingan politik mereka. Kita sering melihat kesilapan dan keburukan orang tanpa memikirkan sendiri keburukan diri kita sendiri. Apa yang dilakukan oleh orang lain serba tidak kena pada pandangan mata mereka, inilah akibatnya jika kurangnya pengetahuan tentang ilmu agama. Hanya menafsirkan dengan menggunakan akal yang sempit tanpa menggunakan pandangan akademik dan akal fikiran sempurna.
Apa yang dimaksudkan dengan harta yang tidak patuh syariah ialah harta yang diperolehi dari hasil judi,riba,rampasan,hasil jualan arak dan lain-lain yang sumbernya bersumberkan dari hasil yang haram dan syubhah. Perbendaharaan pula ialah tempat yang mana segala harta dari hasil kutipan cukai Negara dikumpulkan dan baitulmal pula ialah tempat yang mana di uruskan oleh majlis agama Islam negeri. Dalam konteks yang mudah difahami segala harta dari cukai yang kita bayar akan disalurkan ke perbendaharaan Negara atau pun baitulmal.
Dalam isu kerajaan Pulau Pinang yang memberikan bantuan kewangan kepada penduduk miskin di negeri Pulau Pinang yang mana sumbernya dikatakan hasil dari pusat perjudian. Marilah kita faham secara bersama bahawa segala harta yang dimasukkan ke perbendaharaan Negara atau negeri maka secara automatiknya ia menjadi halal jika digunakan untuk manfaat bersama dan ianya tidak menjadi haram. Jika mengatakan bahawa wang yang diberikan ini haram,maka segala gaji mereka yang bekerja dengan kerajaan juga haram dan kita hidup di Malaysia ini hasil dari sumber yang haram, mendirikan masjid dengan menggunakan duit kerajaan juga haram sebab hasilnya dari perbendaharaan yang mengunakan wang yang tidak patuh syariah ini. Jika kita berfikiran sebegini maka kita akan berada dalam dilemma sepanjang masa sedangkan pada zaman khalifa telah menggunakan harta-harta rampasan perang, judi dan arak untuk membangunkan Negara dan memberikan kepada mereka yang memerlukan atas dasar manfaat bersama. Jika kita renung sejarah nabi S..A.W, baginda sendiri pernah menerima wang dari orang yahudi, maka rasullullah menggunakannya dan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Segala wang haram ini akan menjadi haram jika harta tersebut digunakan untuk manfaat pemilik harta tersebut, maka disitu secara automatiknya ia menjadi haram. Namun jika diserahkan ke Baitulmal maka harta itu menjadi halal sepenuhnya. Allah telah menggariskan segala.


Firman Allah s.w.t
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil melainkan dengan jalan perniagaan yang suka sesama suka antara kamu. Surah An-nisa:29